Sunday, January 23, 2011

Cerita Inspirasi: Beristeri Empat

Seronok juga membaca cerita orang beristeri empat. Cerita ini berlaku pada suatu masa di suatu daerah, ada seorang saudagar yang kaya-raya. Dia mempunyai empat (4) orang isteri. Dia paling sayang dan cinta kepada isteri ke-4 nya. Saudagar itu akan belikan pakaian yang cantik-cantik dan hiasi isterinya dengan perhiasan yang lawa-lawa. Pendek kata, apa yang terbaik dan menarik adalah buat isteri ke-4 nya.

Saudagar itu juga menyayangi isteri ke-3 nya. Dia sungguh bangga dengan isteri ke-3 nya itu. Selalulah dia menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakannya tentang kebanggaannya mempunyai isteri ke-3 itu. Walau bagaimanapun dia sering dalam ketakutan. Takut-takut isterinya itu akan lari, ikut lelaki lain.

Saudagar itu juga kasih pada isteri ke-2 nya. Isteri ke-2 nya seorang yang sangat bertimbang rasa, memahami dan penyabar. Sebenarnya itulah sumber kekuatan dan semangat buat saudagar itu. Setiap kali saudagar menghadapi masalah, kepada isteri ke-2 lah tempat dia mengadu. Isterinya itu akan sentiasa membantu suaminya melalui saat-saat genting.

Sekarang, kita berkenalan pula dengan isteri pertama saudagar itu. Isteri pertamanya paling setia dengan saudagar. Dia akan menjaga kesihatan dan urusan perniagaan saudagar itu dengan baik sekali seperti mana dia menguruskan rumah tangga. Akan tetapi saudagar itu tidak menyayangi isteri pertamanya itu. Puas sudah isterinya itu menunjukkan rasa kasih sayang yang begitu mendalam tetapi suaminya tidak ambil peduli dan tidak menyedarinya.

Suatu hari saudagar jatuh sakit. Dia sedar, dia akan meninggal dunia tidak lama lagi. Dia terfikir tentang kemewahan dan kehidupannya. Dia berkata pada dirinya, "Sekarang aku ada 4 orang isteri bersamaku. Tapi apabila aku mati, aku akan keseorangan. Betapa sunyinya aku nanti."

Jadi saudagar itupun bertanyalah kepada isteri ke-4 nya, "Darlinglah isteri abang yang paling abang cintai. Abang belikan pakaian dan perhiasan diri yang cantik-cantik buat Darling. Abang jaga Darling baik-baik. Sekarang abang dah nak mati, bolehkah Darling ikut abang? Menemani abang?" "Oh! Tidak sama sekali." Jawab isteri ke-4 nya lantas meninggalkan saudagar itu.

Jawapan isteri ke-4 nya begitu tajam, menusuk kalbu. Saudagar itu merasa sungguh sedih dan kecewa. Dia bertanya pula kepada isteri ke-3 nya, "abang menyayangi Sayang seluruh jiwa raga abang. Sekarang abang dah nak mati, sanggupkah Sayang ikut abang? Menemani abang?" "Tidak sanggup!" "Hidup di sini ni sangat bagus. Nanti, bila abang dah meninggal, Sayang akan kahwin lain!" Jantung saudagar bagai terhenti sejenak apabila mendengar jawapan isteri ke-3 nya itu.

Saudagar itu bertanya pula kepada isteri ke-2 nya, "Manjalah tempat abang bergantung harap. Manja sentiasa menolong abang. Tidak pernah mengecewakan abang. Kali ini abang perlukan pertolongan Manja buat kali terakhir. Apabila abang mati, sudikah Manja ikut abang? Menemani abang?" "Maafkan saya, abang. Saya tidak dapat menolong abang kali ini." Jawab isteri ke-2 nya. "Yang Manja dapat tolong cuma mengiringi abang ke kubur sahaja." Kata-kata itu bagai halilintar yang menyambar diri saudagar. Dia merasa begitu perit untuk menerima hakikat.

Kemudian, saudagar itu terdengar suara, "saya akan menemani abang. Saya akan ikut abang walau ke mana abang pergi." Saudagar itu memandang ke arah suara itu. Dia melihat isteri pertamanya. Begitu kecil dan kurus sekali isteri pertamanya. Dalam kesedihan dan kekesalan, saudagar itu berkata, " Sepatutnya abang menjagamu sebaik mungkin semasa abang berpeluang. Abang telah mensia-siakan dirimu."

Pengajarannya:
Sebenarnya kita semua mempunyai 4 isteri.

Isteri ke-4 adalah badan atau jasad kita. Tak kiralah berapa banyak duit kita habiskan untuk mencantikkannya, bila tiba masanya, dia akan pergi meninggalkan kita.

Isteri ke-3 adalah jawatan, status dan kekayaan kita. Apabila kita meninggal dunia, mereka akan bertukar tangan, jadi milik orang lain pula.

Isteri ke-2 adalah keluarga dan sahabat karib kita. Tak kira berapa rapat dan mesranya kita dengan mereka, paling jauh mereka dapat pergi bersama kita hanya setakat perkuburan sahaja.

Isteri pertama adalah roh kita. Kita sering mengabaikannya kerana kita sibuk mengejar kemewahan, kekayaan dan keseronokan. "Sihatkan" roh kita dengan amalan baik kita sementara kita masih berpeluang.

Cerita ini tidak dapat dikenal pasti siapa pengarang asalnya. Walau bagaimanapun, Bonda terbaca cerita ini dalam blog Hassan Ali daripada Hyderabad, Andhra Pradesh, India.

3 comments:

  1. betullah kak Saba...kite seringkali terlupe yang "isteri pertama" tu....thats story really inspires me to remember that we will die one day...

    ReplyDelete
  2. Ya, betul. Kak saba pun sama macam you juga. Pada mulanya Kak Saba terpedaya dan pening-pening lalat sehinggalah di penghujung cerita baru tersedar.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...