Friday, January 28, 2011

Lewat ke pejabat

Sepanjang ingatan Bonda, inilah kali pertama Bonda diarahkan menulis surat tunjuk sebab dan kali ke-2 menandatangani Surat Aku Janji. Kesnya adalah lewat hadir ke pejabat sebanyak 13 kali sepanjang tahun 2010. Arahan mesti dipatuhi walaupun jiwa memberontak. Kadang-kala terasa seolah-olah tiada pertimbangan daripada pihak pengurusan atas komitmen pegawainya membereskan tugas.
Bos sering melihat siapa yang lewat tiba di pejabat. Siapa pekerjanya yang selalu pulang lewat kerana menyiapkan tugasan atas rasa tanggungjawab sendiri, tidak ditonjolkan pula. Sedikit sebanyak semangat Bonda tergugat juga.
Ada seorang teman Bonda ni juga mendapat surat arahan. Bonda kasihan pada teman Bonda ni. Dia seorang yang komited dengan tugas, sering pulang lewat kerana mencari penyelesaian kepada tugasnya. Tugasnya berkaitan dengan sistem aplikasi. Tak ramai yang dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan IT. Bos pun tak dapat tolong kerana bos buta programmer.

Jadi bila nama dia juga tersenarai, Bonda rasa agak kurang wajarlah. Sekiranya bos nak senaraikan juga, Bonda cadangkan, senaraikan juga jumlah hari di mana kami semua (yang lewat datang ni) balik lewat. Lagi cantik sekiranya bos dapat menyatakan secara purata, berapa jam kami terlebih masa berada di pejabat. Kebanyakan kami yang lewat ni tak dapat claim elaun lebih masa. Jika senarai seumpama ni dikeluarkan, tak adalah semangat jatuh sangat. Adalah juga penawarnya.
Mendapat surat arahan minta diberikan surat tunjuk sebab bukanlah sesuatu yang tidak memberi kesan kepada seseorang. Oleh kerana kali pertama perlu buat surat tunjuk sebab, Bonda tanya bos sama ada surat rasmi atau surat tidak rasmi yang perlu Bonda buat. Jika surat rasmi, ia mestilah mempunyai nombor rujukan fail dan disimpan dalam fail. Jawapannya, format surat tidak rasmi digunakan bagi surat tunjuk sebab.

Memanglah silap kami kerana melanggar peraturan iaitu datang lewat. Satu perkara yang menarik perhatian Bonda adalah janji Bonda dalam Surat Aku Janji. Templet nya sudah disediakan, kami menandatangani saja. Tiga perkara yang Bonda berjanji dalam surat itu adalah
Janji Bonda pada tahun 2011 ...
  1. tidak akan lewat ke pejabat kecuali atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan;
  2. akan mengurangkan bilangan ketikan merah pada kad perakam waktu saya bagi tahun 2011 pada tahap yang paling minima;
  3. redha dikenakan tindakan tatatertib jika saya mengulangi perbuatan datang lambat pada tahun 2011.
Bonda sokong niat bos Bonda yang mahukan anak buahnya bekerja mengikut peraturan. Isu ini berlaku pada 25 Januari 2011. Nampak gaya, tak perlulah Bonda fikir dan tuliskan matlamat Bonda bagi tahun 2011. Dalam Surat Aku Janji Bonda dah tersenarai janji-janji Bonda bagi tahun 2011.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...