Temuduga tidak dapat dielakkan sekiranya kita nak kerja kat tempat baru. Anggapkan yang sesi temuduga tu macam sesi berkenalan dengan lebih rapat tetapi agak berstruktur. Bakal majikan akan bertanya soalan untuk menentukan sama ada kita menepati atau tidak ciri-ciri yang mereka cari. Sebenarnya bakal majikan juga berdebar dan takut-takut dalam proses nak ambil pekerja baru ni. Yalah masing-masing belum kenal dan mempunyai pelbagai tanggapan. Pada Bonda, jika kita tahu siapa diri kita, apa kelebihan kita, usahlah dibimbang sangat. Kelulusan pada sijil jangan diambil kira kerana semua yang datang menghadiri temuduga sudah layak dari segi akademik. Jadi kita kena ada strategi untuk menghadiri temuduga. Cuba kita buat check list dalam menghadapi temuduga ni.
Sebelum sesi temuduga:
- Kenal pasti kekuatan, kelemahan, matlamat (goal), kemahiran dan sebagainya.
- Buat kajian tentang syarikat/organisasi yang bakal kita bekerja.
- Berlatih apa yang kita rancang nak cakapkan.
- Berlatih menjawab soalan-soalan yang sering ditanya.
- Bersedia dengan soalan yang mahu ditanya kepada bakal majikan kita. Dalam sesi temuduga, kita nak tahu jugalah tentang kerja yang akan kita buat supaya senanglah kita nak buat keputusan sama ada kita terima atau tidak tawaran itu.
- Pastikan kita sampai beberapa minit awal.
- Hati-hati dengan komunikasi bukan lisan (body language). Duduk tegak, kelihatan sentiasa bersedia atau peka, bercakap dengan jelas dan tegas tetapi kekal relax.
- Pastikan ada eye contact yang baik, elakkan atau kawal rasa gemuruh, gementar atau cemas, jadilah pendengar yang baik, pembicara yang baik. Senyum.
- Hayati dan ikuti sesi itu. Seboleh-bolehnya usahakan supaya penemuduga itu menerangkan apa jawatan dan tugas yang akan diberi. Jadi dapatlah kita mengaitkan latar belakang, pengalaman dan kemahiran kita dengan tugas yang ditawarkan.
- Jawapan kita mestilah spesifik, konkrit dan terperinci. Lebih banyak maklumat yang kita berikan, lebih baik gambaran yang bakal majikan dapat tentang kita.
- Kongsikan pengalaman kerja dan rujukan yang menunjukkan kualiti terbaik kita.
- Jawab setiap soalan secara ikhlas dan jujur. Jawab setakat yang diperlukan sahaja.
Penutup sesi temuduga:
- Jangan berputus asa jika tiada perincian tawaran atau gaji yang dibincangkan.
- Jika kita merasakan yang sesi temuduga itu tidak berjalan lancar dan kita telah ditolak, jangan tunjukkan kekesalan. Kadang-kala ada penemuduga yang sengaja mahu melihat reaksi kita dalam menerima penolakan.
- Kebiasaannya di akhir sesi, penemuduga akan bertanya sekiranya kita mempunyai apa-apa soalan. Gunakan soalan-soalan yang telah kita sediakan sebelum sesi.
- Sebagai penutup sesi temuduga, tanya bilakah keputusan temuduga itu akan diketahui. Kemudian ucapkan terima kasih atas masa yang diberikan. Sekali lagi nyatakan minat kita ke atas tawaran itu.
Selepas sesi temuduga:
- Buat refleksi. Catatkan apa yang kita patut perbaiki bagi sesi temuduga yang akan datang.
- Tulis dan hantar nota Terima Kasih kepada penemuduga dalam tempoh 24 jam selepas sesi. Nyatakan minat dan harapan kita terhadap sesi itu.
- Jika pekerjaan itu ditawarkan kepada kita, tempoh bagi kita untuk membuat keputusan kebiasaannya antara 1 hingga 2 minggu. Seharusnya kita menjawab secara bertulis sama ada kita menerima atau tidak.
Itulah serba sedikit yang dapat Bonda pesan dan kongsi bersama. Macam mana? Rasa-rasa dapat membantu anda sedikit sebanyak?
No comments:
Post a Comment