Wednesday, September 1, 2010

Pengalaman Di Unit Penilaian PTK

Bersama dengan bos-bos dan rakan-rakan di Unit Penilaian

Mulai 16 Ogos 2010, Bonda berkhidmat di Unit Dasar, Penyelidikan dan Penandaarasan, Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Bonda mahukan kelainan tugas supaya Bonda mempunyai pelbagai kemahiran, jadi Bonda memohonlah untuk dibuat job rotation. Pada pandangan Bonda, tiga (3) tahun saja berada di satu-satu unit sudah memadai, eloklah bergerak (cari peluang). Dapatkan pengalaman yang pelbagai kerana ia amat berguna dalam laluan kerjaya.

Sebelum ni Bonda di Unit Penilaian selama 4 tahun 5 bulan. Apa yang Bonda dapat sepanjang tempoh itu adalah:
  • ilmu menggubal soalan esei Penilaian Tahap Kecekapan (PTK);
  • ilmu dan kemahiran mengurus bengkel kerja penggubalan soalan esei PTK;
  • kemahiran mengurus bank soalan dan item;
  • ilmu dan kemahiran menggubal panduan bagi calon PTK;
  • ilmu dan kemahiran menggubal rubrik penilaian PTK;
  • kemahiran menggubal instrumen penilaian PTK;
  • kemahiran mengendalikan penilaian PTK di pusat-pusat penilaian;
  • kemahiran mengurus bengkel kerja pemeriksaan skrip jawapan secara berpusat;
  • kemahiran (sikit-sikit) memproses markah calon PTK;
  • kemahiran menyediakan modul latihan;
  • kenalan yang berpangkat besar-besar, komited dan baik hati seperti Pengarah bahagian di KPM, Pengarah institut pendidikan guru, Pengarah JPN, Pengetua cemerlang Jusa C, Guru cemerlang gred khas C
Berkhidmat di Unit Penilaian telah mematangkan Bonda terutamanya apabila bos Bonda bersara. Ini kerana Bonda perlu belajar cepat-cepat dan melakukannya sendiri (tak ada siapa nak bergantung harap) kerana bos baru lambat datang dan masih baru dalam mengendalikan penilaian.

Unit Penilaian PTK - Peningkatan Tahap Kecemasan. Apa taknya kerana setiap bulan ada penilaian PTK yang mesti dikendalikan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semasa PTK dijalankan mengikut kaedah kursus 7 hari atau 5 hari di hotel, sesi penilaiannya melibat penilai dilantik. Kerap terjadi pukul 8 malam ke atas, Bonda masih lagi di pejabat, menalipon penilai untuk dapatkan persetujuan kehadiran di pusat-pusat penilaian. Ni kes di mana ada penilai yang tarik diri di saat akhir atas sebab yang tak dapat dielakkan. Perasaan takut buang jauh-jauh (tinggal seorang diri kat ofis) demi kerana tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Mintak tolong orang? Perkara yang sukar Bonda lakukan kerana Bonda tak suka menyusahkan orang lain. Jika dia hulur bantuan pasti Bonda terima dengan besar hati. Tulah hakikat kehidupan. Banyak airmata yang mengalir.

Sementara ingatan masih segar, Bonda mahu merakamkan sejarah Bonda di BPPK. Bonda bermula di BPPK sebelum ianya wujud lagi, kira-kiranya Bonda ni perintis lah. Sebelum BPPK diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjadi satu bahagian dalam KPM, satu kumpulan task force ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pengambilalihan pengendalian PTK daripada dua (2) agensi iaitu Institut Aminuddin Baki dan Bahagian Pendidikan Guru.

Kenapa ada dua pengendali PTK? Ni kerana ada dua bidang yang berbeza iaitu bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan bidang pengurusan dan pentadbiran (P&T). Bidang P&P untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang mengajar di sekolah, institut pendidikan guru, kolej matrikulasi dan juga Institut Aminuddin Baki. Manakala bidang P&T untuk PPP yang bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), dan bahagian-bahagian di KPM.

Mungkin di peringkat awal pelaksanaan PTK, dua agensi ni melaksanakannya sementara menantikan satu bahagian khusus diwujudkan untuk mengendalikan PTK warga KPM. Tapi dua agensi ini tidak melaksanakan PTK untuk semua warga KPM. Ada satu lagi agensi iaitu Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (nama lamanya Bahagian Sumber Manusia). Bahagian ini menguruskan PTK staf sokongan KPM, sebahagian PPP Lepasan Diploma dan sebahagian PPP siswazah. Wah! bersimpang siur.

BPPK menjadi satu bahagian pada Januari 2007. Sebelum ini Bonda di tempatkan secara pool (tiada jawatan tetap atau jawatan yang diluluskan oleh JPA, kiranya dipinjam sementara) di Unit Pembangunan Manusia dan Latihan (PML), Bahagian Sumber Manusia (BSM). Bonda berempat, tiada kerani, menguruskan PTK bagi gred DG54, DG52, DG48, DG44 dan DGA34 bagi kedua-dua bidang iaitu P&P dan P&T. Untuk gred-gred lain yang dikendalikan oleh BSM, diuruskan oleh sekumpulan pegawai lain. Pada masa tu Bonda pun kurang faham dan gambaran keseluruhan apa yang berlaku pun kurang jelas. Ikut ajelah apa yang diarah. Sebenarnya itu kurang elok. Pandangan Bonda, kita perlu memberi kefahaman dan gambaran keseluruhan apa yang berlaku (what business we are doing) kepada staf baru. Program atau modul orientasi tugas yang berstruktur perlu ada. Insya Allah Bonda akan menghasilkan modul ini apabila dah bertugas di unit baru ni (mungkin ada sedikit ruang untuk difikir-fikirkan).

Proses pelaksanaan penilaian PTK bermula dengan penggubalan soalan. Soalan digubal berdasarkan sukatan. Sukatan dah ada, jadi guna ajelah. Review sukatan? Tak cukup kaki dan tangan. Siapa penggubal soalan? Penggubal adalah warga KPM, ada pengalaman dalam bidang yang akan digubal dan sekurang-kurangnya berada pada satu gred lebih tinggi daripada gred soalan. Dengan kata mudah, jika untuk bidang P&P bagi DG48, penggubalnya adalah guru dan pensyarah gred DG52 ke atas. Jika untuk bidang P&T, penggubalnya adalah pentadbir di sekolah, institusi pendidikan dan pegawai di bahagian KPM.

Mendapatkan penggubal soalan merupakan suatu cabaran. Kenapa? Bengkel penggubalan soalan dijalankan selama 5 hari 4 malam di hotel-hotel. Calon penggubal tak mahu hadir kerana lama sangat tinggalkan pejabat/tempat bertugas. Bagi pihak urus setia bengkel, ianya tak boleh dijalankan sekejap-sekejap kerana bengkel ini termasuk latihan dan hands on. Lagi satu, ianya melibatkan idea. Petik jari, idea tak terus datang. Kos atau tuntutan perjalanan peserta dapat juga dijimatkan.

Pelbagai alasan diberi oleh calon penggubal yang tidak mahu hadir. Mereka keberatan memberi sumbangan fikiran (malas nak fikir untuk menggubal soalan). Mereka tidak sedar sebenarnya mereka menolong rakan-rakan mereka yang akan menduduki PTK dan mereka juga perlu menduduki PTK untuk naik pangkat.

Satu perkara lagi yang menghalang kehadiran calon penggubal adalah bos atau ketua jabatan mereka. Jika bos tak izinkan macam mana mereka nak gubal soalan. Alasan bos mereka adalah penggubalan soalan bukan core business mereka. Teruk betul mentaliti bos tu. Kami seboleh-bolehnya nak sediakan soalan yang berkaitan apa yang calon lakukan sebab itulah penggubalnya perlu ada pengalaman yang berkaitan tugas atau jawatan tu.

Masa mula-mula joint (kerja di ofis) KPM dan berada di Unit Penilaian PTK (Peningkatan Tahap Kecemasan), Bonda memberikan seluruh jiwa raga kepada kerja, tiada istilah cuti, dalam bulan Ramadhan pun terpaksa buat bengkel penggubalan soalan kat hotel. Untuk menarik penggubal, hotel yang berdekatan masjid menjadi pilihan, sesi malam tiada kerana memberi peluang kepada penggubal untuk solat terawih. Ni semua gara-gara soalan mesti ada bila tiba masanya.

Bertugas di bahagian KPM penuh dengan cabaran, kita perlu banyak belajar dan berusaha sendiri. Semuanya baru, tak sama semasa bertugas kat sekolah dulu. Kita mesti banyak berfikir, beri cadangan atau idea kepada bos, bukannya harapkan bos fikirkan bagaimana nak laksanakannya. Pegawai yang bertugas di bahagian/KPM sentiasa dipandang tinggi oleh warga sekolah atau institusi pendidikan. Oleh itu, berkhidmatlah di sekolah dulu lebih kurang 10 tahun sebelum bertukar angin di KPM.

Rasanya cukuplah buat setakat ini dulu. Insya Allah Bonda sambung lagi di lain entri.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...