Wednesday, August 11, 2010

Yang di-Pertuan Agong

YANG DI-PERTUAN AGONG KETIGABELAS
Al-Watiqhu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah

'Kesetiaan kepada Raja dan Negara' -- Rukun Negara ke-2.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah airnya, bagaimanakah anda menghayati Rukun Negara ke-2 dalam kehidupan seharian anda? Bonda juga sekadar tahu menyebutnya aje dan jarang sekali berfikir secara mendalam tentangnya. Apabila Bonda pergi ke luar negara (atas urusan rasmi), Bonda merasa cukup malu pada diri sendiri kerana tidak dapat menjelaskan sistem beraja yang diamalkan di negara kita. Nak cerita tentang Yang di-Pertuan Agong pun tak dapat. Begitu ceteknya pengetahuan dan tak ambil pusing tentang negara sendiri.

Bersempena Bulan Kemerdekaan (bulan Ogos), Bonda mahu berkongsi sedikit informasi dengan anak-anak Bonda khususnya dan dengan anda amnya. Kita mulakan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong adalah institusi Ketua Negara sepeti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Gelaran rasmi yang penuh bagi baginda adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Ingat! hati-hati dengan ejaannya dan tanda sempang. Ejaan 'Agong' hanya untuk Yang di-Pertuan Agong. Manakala 'Agung' untuk yang lain-lain seperti mesyuarat agung.

Baginda menjalankan tugas-tugas seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Sebagai Kepala Utama Negara, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak (4 negeri) dan Wilayah Persekutuan K. Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kenapa hanya untuk negeri dan wilayah persekutuan ini sahaja? Kerana mereka tiada Sultan. Bagi negeri yang mempunyai Sultan, Ketua Agama Islam adalah Sultan.

Untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda hendaklah merupakan Raja yang memerintah di salah sebuah daripada sembilan (9) negeri persekutuan iaitu Johor, Pahang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kedah, dan Kelantan.

Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah dan tatacara yang ditetapkan Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Raja-Raja. Yang di-Pertuan Agong dilantik setiap lima (5) tahun mengikut giliran yang ditetapkan oleh Majlis Raja-Raja.

Sejarah Pelantikan
Pada Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah berkenan untuk memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong bagi Ketua Negara Persekutuan Tanah Melayu. Pelantikan Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengikut susunan Raja yang paling lama memerintah. Mengikut susunan ini, Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar adalah yang paling lama memerintah. Tetapi baginda, yang ketika itu berusia 84 tahun, telah menolak pencalonan tersebut disebabkan telah lanjut usia.

Sultan Johor ke-2
Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar
diputerakan pada 17 September 1873 dan menaiki tahta pada 10 Mei 1895.
Tuanku Sultan mangkat pada 8 Mei 1959

Yang kedua dalam turutan, Sultan Pahang Almarhum Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah, juga telah menolak pencalonan.
Sultan Pahang
Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah
diputerakan pada 29 Mei 1904 dan menaiki tahta pada 24 Jun 1932

Maka itu, Raja yang ketiga paling lama memerintah iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan telah sebulat suara dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong yang pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu.

Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong mengikut turutan pemerintahan:

YANG DI-PERTUAN AGONG PERTAMA
Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad
Negeri: Negeri Sembilan
Tempoh: 3 Ogos 1957 hingga 1 April 1960

YANG DI-PERTUAN AGONG KEDUA
Almarhum Tuanku Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah
Negeri : Selangor
Tempoh : 14 April 1960 hingga 1 September 1960

YANG DI-PERTUAN AGONG KETIGA
Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail
Negeri : Perlis
Tempoh : 21 September 1960 hingga 20 September 1965

YANG DI-PERTUAN AGONG KEEMPAT
Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin
Negeri : Terengganu
Tempoh : 21 September 1965 hingga 20 September 1970

YANG DI-PERTUAN AGONG KELIMA
Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
Negeri : Kedah
Tempoh : 21 September 1970 hingga 20 September 1975

YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM
Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim
Negeri : Kelantan
Tempoh : 21 September 1975 hingga 30 Mac 1979

YANG DI-PERTUAN AGONG KETUJUH
Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah
Negeri : Pahang
Tempoh : 26 April 1979 hingga 25 April 1984

YANG DI-PERTUAN AGONG KELAPAN
Almarhum Tuanku Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail
Negeri : Johor
Tempoh : 26 April 1984 hingga 26 April 1989

YANG DI-PERTUAN AGONG KESEMBILAN
Tuanku Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahulah
Negeri : Perak
Tempoh : 26 April 1989 hingga 25 April 1994

YANG DI-PERTUAN AGONG KESEPULUH
Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Negeri : Negeri Sembilan
Tempoh : 26 April 1994 hingga 25 April 1999

YANG DI-PERTUAN AGONG KESEBELAS
Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj
Negeri : Selangor
Tempoh : 26 April 1999 hingga 21 November 2001

YANG DI-PERTUAN AGONG KEDUABELAS
Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
Negeri : Perlis
Tempoh : 13 Disember 2001 hingga 12 Disember 2006

YANG DI-PERTUAN AGONG KETIGABELAS
Al-Watiqhu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah
Negeri : Terengganu
Tempoh : 12 Disember 2006 hingga kini

Rukun Negara ke-2: "Kesetiaan kepada Raja dan Negara" menuntut kita kenali Raja kita sebagai langkah awal kita mempamerkan kesetiaan kita kepada Raja.

Kesimpulan ringkas yang Bonda dapat buat adalah:
  • Pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang pertama dibuat dalam bulan dan tahun yang sama dengan Hari Kemerdekaan negara kita iaitu Ogos 1957.
  • Yang di-Pertuan Agong adalah
Kepala Utama Negara
Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia
Ketua Agama Islam bagi negeri yang tiada mempunyai Sultan dan bagi wilayah-wilayah persekutuan
  • Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat antara Raja-Raja yang memerintah sembilan (9) negeri persekutuan bagi setiap lima (5) tahun.

Sumber rujukan yang Bonda gunakan adalah:
  1. http://www.malaysiamerdeka.gov.my
  2. http://www.parlimen.gov.my

Semoga informasi yang sedikit ini menambah sedikit ilmu anda tentang negara kita.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...