Friday, August 6, 2010

Pengakuan Pembubaran Perkahwinan

Pernah dengar tentang perceraian taklik?
Wahai Sang Suami, tahu dan faham ke apa yang anda baca/lafazkan selepas akad nikah?

Apabila dah baca artikel "Taklik Tambahan" dalam majalah SOLUSI isu no.20, barulah Bonda faham tentang taklik. Taklik diucapkan oleh pihak suami selepas akad nikah. Bonda kerap juga tengok dan dengar pengantin lelaki baca suatu skrip selepas akad nikah, tapi tak faham apa yang dibacanya serta implikasinya. Bonda agak tentu ramai juga pengantin yang alami sama macam Bonda, tak faham apa yang diucapkan.
Taklik adalah pengakuan pembubaran perkahwinan bersyarat iaitu jika suami melanggar syarat-syarat yang ditaklikkan itu, terbubarlah perkahwinan mereka.

Taklik berkait langsung dengan pengabaian nafkah dan penderaan. Contoh skrip taklik adalah ....
"Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih, dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa tersebut sedangkan dia mentaati saya, atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian dia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya di Mahkamah Syariah, dan dia memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya RM1.00, maka pada ketika itu, tertalaklah dia dengan cara khuluk."

Ini bermakna pihak isteri juga perlu faham apa yang dimaksudkan dengan taklik, faham secara keseluruhan isi perjanjian, dan bagaimana ia dapat melindungi hak isteri supaya dia tidak dianiayai.

Sekiranya berlaku pelanggaran terhadap syarat-syarat yang ditaklik, pihak isteri hendaklah kemukakan aduan kepada pihak mahkamah. Jika didapati sabit pelanggaran itu, maka akan gugurlah talak.

Pengantin (lelaki dan perempuan) boleh menokok tambah taklik standard yang disediakan oleh pihak berkuasa agama (rujuk Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984).

Taklik tambahan boleh dikarang dan dipersetujui oleh kedua-dua pengantin. Contohnya ...
"... bahawa saya atau kamu tidak boleh terlibat dengan dadah atau lain-lain perbuatan haram yang melanggar syariat. Jika saya atau kamu terlibat dalam mana-mana kerja haram itu, dan disahkan di mahkamah, maka jatuhlah talak kita berdua."

Taklik tambahan hanya sah/ terpakai/ berkuat kuasa apabila dibaca oleh pengantin lelaki selepas akad nikah. Oleh itu teks taklik tambahan perlu dibawa semasa akad nikah supaya dibaca bersama dan boleh didaftarkan dalam Daftar Perkahwinan.

Surat taklik yang sah/ didaftarkan, mestilah mempunyai tandatangan pengantin dan Pendaftar Perkahwinan. Surat ini hendaklah disimpan bersama dengan sijil nikah. Surat taklik ini akan menjadi bukti dan pengesahan jika berlaku pelanggaran terhadap syarat-syarat yang dinyatakan. Perceraian hanya berlaku dengan pengesahan mahkamah. Hanya mahkamah yang boleh memutuskan perceraian taklik.

Tulah serba sedikit yang Bonda faham dan dapat dikongsi tentang taklik dan implikasinya ke atas suatu perkahwinan. Untuk kefahaman dan lebih menarik lagi, rujuk majalah SOLUSI isu no. 20, memang berbaloi majalah tu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...