Friday, December 10, 2010

Perintis Sekolah Amanah

Hari ini, 10 Disember 2010, lahirlah satu jenis sekolah lagi di Malaysia iaitu Sekolah Amanah AMIR. Setakat yang Bonda tahu, sekolah di Malaysia ni dikelompok dan dinamakan dengan pelbagai nama, contohnya, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Wawasan, Sekolah Model Khas, Sekolah Bestari dan pelbagai nama lagi. Bila nak bercerita kat orang luar negara tentang sistem pendidikan di Malaysia, sendiri pun naik pening. Tak payahlah nak cerita kat orang luar, cerita kat orang biasa-biasa (orang awam), pun sukar bagi Bonda. Sebabnya Bonda sendiri pun tak berapa jelas kriteria dan objektif penubuhan setiap kelompok sekolah. Lagi parah bila ada yang bertindan, maksud Bonda, contohnya Sekolah Berasrama Penuh ada juga yang dikelompokkan sebagai Sekolah Kluster.

Berbalik kepada cerita Sekolah Amanah AMIR. Terdapat 10 buah sekolah yang dikategorikan sebagai Rangkaian Sekolah Amanah AMIR, iaitu enam (6) buah sekolah rendah dan empat (4) buah sekolah menengah. Hal ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sekolah yang dipilih itu mewakili dua (2) negeri iaitu Johor dan Sarawak.
Di Johor, sekolah yang dipilih adalah:
  1. Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda (2), Johor Bahru
  2. Sekolah Kebangsaan Kampung Layan, Kota Tinggi
  3. Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Kangkar, Pulai
  4. Sekolah Menengah Kebangsaan (Felda) Semenchu, Kota Tinggi
  5. Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah, Johor Bahru
Di Sarawak, sekolah yang dipilih adalah:
  1. Sekolah Kebangsaan Kampung Empila, Samarahan
  2. Sekolah Kebangsaan Combine
  3. Sekolah Kebangsaan Tabuan
  4. Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuching (2)
  5. Sekolah Menengah Sains Kuching
Bagi memahamkan diri Bonda dengan Sekolah Amanah, beberapa persoalan dilontarkan. Sendiri tanya, sendiri cari jawapannya. Oleh itu, ada yang ada jawapannya, ada yang tertinggal jawapannya diawangan.

Apa itu Sekolah Amanah?
Ia adalah sekolah awam yang diurus secara bersama dengan pihak swasta. Walau bagaimanapun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) masih lagi mengawal selia sekolah tersebut.
Dalam kes Rangkaian Sekolah Amanah AMIR, pihak swasta yang terlibat adalah Khazanah Nasional Berhad di mana Yayasan AMIR akan menguruskannya.

Bila timbul nama Sekolah Amanah ni?
Istilah Sekolah Amanah timbul semasa pembentangan Belanjawan 2011 pada 15 Oktober 2010 oleh Perdana Menteri YAB Dato' Sri Najib Razak.
Istilah Sekolah Amanah ni dalam bahasa Inggeris adalah Trust School. Manalah tau nak bercerita kat orang luar negara, istilah yang digunakan mestilah boleh difahami mereka.

Kenapa nak diwujudkan Sekolah Amanah?
Objektifnya adalah untuk membawa perubahan kepada prestasi sekolah tanpa mengira pencapaian semasa sekolah berkenaan.
Apa maksud prestasi sekolah dalam konteks ini? Jika ia diukur berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan, Bonda agak, pemikiran kita masih berada di takuk lama. Sampai bila kita nak capai status negara maju? Bonda berharap benar agar dapat dijelaskan definisi prestasi sekolah dengan terperinci dan lengkap.
Cadangan Bonda, pelan strategik setiap sekolah terlibat diteliti dengan terperinci. Pengetahuan dan kemahiran membina pelan strategik mesti diberi dan disemai kepada warga sekolah. Bonda pasti pihak swasta mempunyai ilmu dan kemahiran dalam menyediakan dan review pelan strategik.
Pelan strategik sangat penting bagi sesebuah organisasi dan ianya perlu mengikut kehendak dan keperluan sekolah berkenaan. Pengetahuan dan pengalaman mengurus dan mengendalikan sesebuah organisasi mengikut pelan strategik amat berharga buat guru.
Guru juga dikenali sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat di sekolah.

Apa bagusnya Sekolah Amanah ni?
Sekolah Amanah ini mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan kurikulum, kewangan dan sumber manusia. Autonomi yang dimaksudkan di sini adalah diberi kebebasan memilih kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi dan pemilihan guru dan kakitangan bukan guru.
Banyak persoalan yang berlegar-legar dalam kepala otak Bonda berhubung tiga (3) perkara ini. Bonda cari juga maklumat lanjut tapi gagal.
Apa maksud kebebasan memilih kurikulum jika pelajar masih lagi terikat dengan peperiksaan awam?
Selain pengagihan peruntukan mengikut keperluan, elok juga sekiranya pihak swasta berkongsi pengalaman dalam pemantauan perbelanjaan supaya perbelanjaan berhemah dapat diserap dan diamalkan.
Apakah bentuk atau kaedah dalam menilai prestasi semua staf? Apakah langkah-langkah bagi mengelakkan bias dalam menentukan prestasi staf? Apakah kriteria dalam pemilihan guru dan kakitangan bukan guru yang akan berkhidmat di Sekolah Amanah?

Apa yang sekolah dapat (sekolah terlibat)?
Cuma dikatakan pelajar akan memperoleh pendidikan berkualiti.
Bagi Bonda, selain daripada pelajar, guru juga patut diberitahu apa yang mereka akan dapat sekiranya mereka berkhidmat di Sekolah Amanah.
Ganjaran dalam bentuk peningkatan tahap profesionalisme keguruan lebih bermakna dan berfaedah bagi guru. Bagi memastikan pendidikan berkualiti wujud di Sekolah Amanah, guru perlu didedahkan kepada kursus atau latihan yang dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian guru. Masalah pelajar juga berpunca daripada penyampaian guru yang kurang berkesan dan menarik.

Apa faedahnya kepada pihak swasta yang terbabit?
Pihak swasta dapat melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya. Guru juga perlu belajar dan didedahkan dengan pengurusan organisasi korporat. Bagi Bonda, inilah sumbangan terbesar pihak swasta dalam membangunkan modal insan negara.

Bonda begitu optimis bahawa usaha ini (Sekolah Amanah) akan berjaya dengan syarat perancangan yang terperinci, pemantauan yang teliti dan penambahbaikan yang berterusan diamalkan oleh semua pihak terlibat iaitu sekolah, pihak swasta dan KPM. Pihak Khazanah Nasional Berhad memperuntukkan RM100 juta bagi tempoh lima (5) tahun pelaksanaan projek ini.

5 comments:

  1. Salam Bonda. Maaf menumpang lalu dan meluahkan rasa mengenai sekolah amanah ni. Sekolah amanah ini mmg baik andai dari segi pengurusan mungkin tapi bagaimana kebajikan murid2x. Sekolah amanah atau TRUST SCHOOL akan dilaksanakan di sekolah anak saya. Untuk pengetahuan Bonda pihak sekolah telah mengenakan sumbangan IKLAS kata suratnya sebanyak RM120 bagi murid tahun 6 di mana pelbagai program upsr akan di laksanakan menerusi sumbangan ibu bapa tersebut. andai katalah rm120 di kalikan dgn 150 org murid bermakna sekolah tersebut telah dapat rm18k sahaja. Bonda tak semua ibu bapa mampu. Pada saya perlaksanaan sekolah ini membebankan bukan utk pihak sekolah kerana sekolah hanya tahu meminta tapi membebankan kami ibu bapa. terima kasih bonda. ini pendapat saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf puan aizul57...sumbangan RM120 setahun itu tak banyak. Cuba bahagikan RM120 dengan 12 bulan = RM10.
      Ini bermakna puan cuma perlu sumbangkan Rm10 shj sebulan. Harga sekeping pizza pun RM16!.
      Apalah sangat dengan RM10 berbanding dengan hasil yang diperolehi oleh anak puan.
      Janganlah berkira sangat untuk anak2 belajar!

      Guru pencen

      Delete
  2. RM120 itu tiada mengena dgn sekolah amanah. Baca Dan fahamilah. Itu inisiatif tambahan sekolah

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum bonda. Post bonda ni tahun 2010, sekarang da 2016. Maybe bonda da dapat byk info mengenai sekolah wawasan ni. Saya nak bertanya sedikit sbb sekolah anak saya akan dijadikan sekolah amanah dlm masa terdekat ni. Boleh tolong jelaskan pada saya, silibus pembelajaran adakah masih same seperti sekolah yg lain (silibus yg ditetapkan oleh KPM)? Anak saya Form 4, asyik duk mengomen dan memburukkan pasal sistem sekolah amanah. Dia cakap nanti dia takde masa nak belajar utk SPM sbb sekolah amanah ade silibus extra yg kena belajar disamping silibus utk SPM yg sedia ade. Terima kasih atas penjelasan.

    ReplyDelete
  4. Banyak maklumat x tepat tentang sekolah amanah di atas.. SA masih kekal ikut sistem yg ada. X ubah apa2 kecuali utk tingkatkan prestasi sekolah dlm 4 Gold Strategic iaitu kepimpinan berprestasi tinggi, PdP berkualiti, kemenjadian murid & penglibatan aktif ibubapa serta komuniti... Soal bayaran 120 tu rasanya inisiatif sekolah, sbb semua SA ada tajaan dr Khazanah Nasional & penaja lain spt Petronas (ikut area)...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...