Pengalaman menghadiri temuduga untuk lantikan sebagai Pegawai Cemerlang DG48 seharusnya Bonda rakamkan kerana ia mungkin menjadi rujukan rakan lain.
Bonda dah lama benar tidak menghadiri temuduga. Kali pertama hadiri temuduga semasa mula-mula bekerja, kira-kira 24 tahun yang lalu. Masa tu gred jawatan Bonda adalah DG41. Selepas DG41, Bonda dinaikkan pangkat DG44 pada tahun 2004. Tempoh masa antara DG41 dengan DG44 adalah lebih kurang 17 tahun. Maknanya, dah berkhidmat 17 tahun, baru dapat pangkat ke-2. Sepanjang yang Bonda tahu, skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan (guru) paling lambat pergerakan kenaikan pangkat berbanding dengan skim Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Itulah punca yang menyebabkan ramai guru marah/kurang berpuas hati dengan PTD. Sampai bila keadaan ini akan berlanjutan? Tiada sesiapa ke yang membuat kajian berkaitan ketidakseragaman tempoh pergerakan pangkat bagi semua skim perkhidmatan bagi penjawat awam?
Tiada atau tak perlu hadiri temuduga apabila Bonda dilantik ke pangkat DG44. Ini kerana Bonda dilantik secara time based. Time based bermaksud, cukup masa, pangkat kita akan dinaikkan secara automatik. Itu yang Bonda fahamlah. Tapi nak tunggu 'cukup masa' ni lama sangat, kurang-kurang 10 tahun.
Sebagai makluman, pergerakan pangkat bagi skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Siswazah adalah seperti berikut:
- DG41
- DG44
- DG48
- DG52
- DG54
- JUSA C
- JUSA B
- JUSA A
- Turus III
Okaylah, berbalik kepada cerita Bonda menghadiri temuduga Pegawai Cemerlang DG48. Temuduga itu dijalankan secara berkumpulan. Maksud Bonda, kami (calon) berlima ditemuduga secara serentak oleh dua (2) penemuduga. Masa yang diperuntukkan bagi sesi itu adalah 45 minit. Susunan kedudukan kami dalam bilik temuduga ditentukan oleh penemuduga.
Kami tahu siapa penemuduga kerana mereka memakai name tag. Teringat Bonda semasa Bonda menguruskan sesi penilaian PTK, penilai tidak dibenarkan memakai name tag.
Masuk aje bilik temuduga, salah seorang panel dah kenal Bonda. Sebabnya Bonda kerap menghubungi beliau untuk bertugas sebagai penilai PTK.
Hanya tiga (3) soalan aje yang dikemukakan.
Soalan 1: Sumbangan yang memberi impak sepanjang tempoh perkhidmatan.
Cerita mestilah yang menunjukkan hasil kerja pegawai yang cemerlang. Tapi tak bolehlah cerita panjang-panjang sebabnya ada lima (5) calon nak berkongsi pengalaman.
Soalan 2: Isu-isu berkaitan pendidikan atau mungkin diberi kajian kes.
Penemuduga nak lihat lontaran idea kita berkaitan sesuatu isu. Adakah ianya bernas?
Kumpulan Bonda diminta beri cadangan kaedah penilaian baru menggantikan PTK. Wow! Memang bestlah sebab Bonda dah pernah berbincang tentang isu ini dengan bos dan kawan-kawan lain di pejabat. Rakan kumpulan Bonda pun seronok juga dapat soalan ni kerana sehari sebelum pergi interview, dah ada dalam emel mereka yang memohon kemukakan cadangan sistem penilaian baru bagi warga KPM. Emel mereka tu daripada Bondalah, atas arahan bos Bonda. Jadi rakan-rakan Bonda tu dah fikir jugalah sikit-sikit tentang isu ini. Oleh itu sesi temuduga bertukar menjadi seolah-olah sesi perbincangan pulak. Semua orang diberi peluang bercakap, dahlah tu ada yang menambah-nambah lagi walaupun gilirannya dah lepas. Hangat.
Soalan 3: Soalan berkaitan kewangan.
Kumpulan Bonda ditanya soalan bagaimana meningkatkan integriti dalam pengurusan kewangan. Perbincangan tidaklah serancak sebelum ini. Lagipun masa dah terlebih rasanya.
Keluar dari bilik temuduga, semua calon nampaknya gembira, ceria dan seronok. Rezeki kamilah dapat penemuduga yang cool dan soalan pun agak mudah jugalah. Peluang dapat jawatan Pegawai Cemerlang? Entahlah kerana Bonda dengar cerita sumbangan rakan sekumpulan pun tidak kurang hebatnya. Lokasi temuduga Bonda di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya, Presint 16. Tarikhnya pada 16 Disember 2010.
Rupa-rupanya proses temuduga dijalankan selama 5 hari. Setiap hari Bonda agak ada 6 sesi dan setiap sesi, 3 kumpulan berjalan secara serentak dan 1 kumpulan ada 5 calon. Agak-agak berapa ramailah calonnya. Mari kita sama-sama kira.
5 calon x 3 kumpulan x 6 sesi x 5 hari = 450 calon.
Itu baru 1 pusat temuduga. Tak taulah Bonda berapa pusat temuduga yang ada.
Persediaan sebelum menghadiri temuduga.
Ini berdasarkan pengalaman dan kesilapan Bonda.
1. Beritahu bos sebaik saja terima surat tawaran/panggilan untuk mendapat restu, doa dan tips.
Bukan aje bos sendiri, bos orang lain pun Bonda bagi tahu juga sebab nak share keseronokan dapat tawaran. Berita baiklah katakan. Bekas bos pun Bonda bagi tau juga.
2. Baca surat panggilan dengan teliti.
Ambil maklum tentang perkara berikut:
- Tarikh;
- Lokasi;
- Masa;
- Dokumen yang perlu dibawa;
- Dokumen yang perlu diserahkan;
3. Pakaian yang bersesuaian.
Hari interview Bonda pada hari Khamis. Hari Khamis adalah hari berpakaian batik bagi penjawat awam.
4. Ambil tahu tentang isu-isu semasa terutamanya tentang pendidikan.
Baca dan buat sedikit ulasan atau beri pandangan tentang isu yang diperkatakan. Kebetulan pulak, apabila Bonda dapat surat tawaran, Bonda baru aje mula memberi pandangan tentang sesuatu isu di bawah label Isu Semasa dalam blog.
5. Ambil tahu tentang dasar-dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ada dan terkini.
Kaitkan dasar-dasar tu dengan fungsi atau tugas bahagian/jabatan kita.
6. Fikirkan keunikan atau X-Faktor kita.
Soalan-soalan berikut sesuai untuk diikirkan:
- sumbangan kita yang memberi impak;
- kenapa kita layak dapat pangkat itu;
- apa bagusnya kita;
Rasa-rasanya itu saja yang dapat Bonda coretkan kerana setakat ini, tu yang terlintas. Mudah-mudahan ianya membantu anda dalam menempuhi temuduga terutama dalam konteks yang sama dengan Bonda.
Terima kasih Bonda. Saya akan menduduki temuduga Pegawai Cemerlang DG48 pagi ini, InsyaAllah. Semoga segalanya dipermudahkan.... Semoga berjaya... Amin.
ReplyDeleteAskm..bonda berjaya tak dlm temuduga tu
ReplyDeleteAssalammualaikum bonda..apa kelebihan jawatan pegawai cemerlang
ReplyDelete