Friday, April 20, 2012

Aktiviti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Salam buat rakan taulan dan anak-anak.
Terima kasih kerana sudi datang menjenguk Bonda. Lama betul Bonda menidurkan diri dalam Pena Bonda ini, maaf ya. Malaslah nak celoteh panjang-panjang. Kali ni Bonda nak cerita satu perkara aje, gosip pejabat. 

Penat jugak melayan kehendak bos yang banyak idea. Sebagai tanda sokongannya kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), beliau mengarahkan semua pegawai dan kakitangannya (termasuk dirinya) menghasilkan pantun empat kerat sebanyak 10 rangkap. Tempoh yang diberinya, tidak sampai sebulan. Pantun-pantun ini akan dibukukan sebagai bukti pelaksanaan aktiviti MBMMBI di organisasinya pada tahun 2012. Oleh itu, pantun mestilah ciptaan sendiri. Tension jugaklah jadinya. Hampir semua orang bercakap dan bertanya tentang status penyediaannya.

Hari ni, tarikh akhir penghantaran pantun-pantun itu. Bonda hantar pantun ciptaan Bonda pada hari terakhir. Siapnya awal lagi tapi simpan dulu takut kalau-kalau sempat sedapkan lagi bunyinya. Tapi tak sempat kerana tugas teras yang mendesak dan menimbun. 

Sebelum Bonda kongsikan pantun ciptaan Bonda, Bonda kongsilah dulu sedikit panduan mencipta pantun yang sempat Bonda temui. 
Jika nak cipta pantun, pertama sekali, tulis maksudnya iaitu isi pantun. Lepas tu barulah tulis pembayang. 
Pantun empat kerat adalah bentuk puisi yang terdiri atas empat baris yang bersajak bersilih dua-dua (pola ab-ab). 
Dua baris pertama disebut pembayang dan dua baris berikutnya disebut isi pantun. 
Setiap rangkap pantun akan menjadi lebih cantik dan kemas sekiranya bilangan perkataan dalam setiap baris adalah 4 perkataan saja.
Pantun yang baik mempunyai 8 hingga 12 suku kata sahaja bagi setiap baris.
Seeloknya kita membuat topik atau ada tema terlebih dahulu sebelum mula mengarang pantun.
Contoh 1:
Cantik sungguh si burung merak
Terbang rendah di waktu petang
Jika sampah dibiarkan berserak
Penyakit diundang masalah datang.

Contoh 2:
Daun nipah jangan diarak
Bawa ke ladang di waktu petang
Jika sampah dibiarkan berserak
Penyakit diundang masalah datang.

Tips-tips ni Bonda dapat kat Menjana Minda Positif  dan juga di Teh Ramuan

Inilah pantun ciptaan Bonda.
Sungguh berkuasa si burung hantu
Takluki malam bersama unggas
Amalkan sentiasa tepati waktu
Itu tanda serious bertugas.

Kabil Latif budak aktif
Abangnya Kamal jadi pengawal
Ambil inisiatif jadi proaktif
Perlu diamal sejak awal.

Dalam pantang pakai stokin
Lantai licin tersungkur jatuh
Cakap mesti serupa bikin
Itulah ciri pekerja contoh.

Duduk merenung di tepi tingkap
Sambil makan buah rambutan
Kerja beres fail lengkap
Pengurus cekap jadi sebutan.

Hanya jauhari kenal manikam
Sayangnya jauhari kian hilang
Sukakan ilmu buat tindakan
Minda berkembang prestasi cemerlang.

Makan nasi guna tangan
Makan bersama atas beranda
Jujur ikhlas jadi pegangan
Itu hasrat pelanggan anda.

Tinggi sangat ke Gunung Daik
Penat memanjat berhari-hari
Tugas dibuat sehabis baik
Harus disemat dalam diri.

No plastic bag hari Sabtu
Sila bayar jika perlukan
Tawarkan diri untuk membantu
Itu tanda satu pasukan.

Harga murah harga kilang
Itu kata media massa
Bekerja dengan sikap cemerlang
Pesanan ibu sepanjang masa.

Cantik sungguh Puteri Bongsu
Tapi sayang dan bertunang
Jadi kreatif penyelesai isu
Bos gembira kita senang.

Seingat Bondalah ni lah yang paling banyak pantun yang Bonda cipta. Lega apabila semua dah selesai. Okaylah, cukuplah setakat ini dulu. Lain kali cerita lagi.

Sunday, January 15, 2012

Pengalaman Bermesyuarat Bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Salam buat rakan-rakan dan anak-anak Bonda.
Terima kasih kerana masih sudi menjenguk Bonda di Pena-Bonda. Hanya ucapan kemaafan yang mampu diucap berkali-kali kerana sering tidak dapat menepati janji sendiri. Janji dan tekad Bonda untuk sentiasa up date cerita, dapat dua (2) kali seminggu pun dah cukup baik bagi Bonda. Tapi ...

Okaylah berbalik kepada story Bonda pada kali ini. Bonda seboleh-boleh mahu merakam dan mengabadikan pengalaman pertama kali dalam sesuatu perkara. Hal ini kerana pengalaman kali pertama mempunyai banyak cerita pahit, manis dan masamnya (3 rasa). Masih ingat cerita Bonda menyediakan Kertas Kerja Buat Dato' Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia? Minat nak tau sambungan cerita itu? Part 2 cerita itu adalah tentang pembentangan kertas kerja itu di depan Dato' Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM).

Bonda tidak berpeluang buat pembentangan itu. Pembentangan sepatutnya dibuat pada 21 Disember 2011 (Rabu) pukul 2.30 petang dalam suatu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Seri KPPM. 
Kenapa? Apa dah berlaku? Kerana pengerusi mesyuarat tidak bersetuju dengan cara pengendalian mesyuarat. 
Sekadar makluman, inilah kali pertama Bonda menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Seri KPPM. Pernah juga dengar-dengar cerita, jika hadir dalam mesyuarat yang dipengerusi oleh Dato' Seri KPPM, perlu bersedia dengan fakta dan data, hujah mesti disokong dengan data. Seram mendengarnya kerana takut gagal menyakinkan pengerusi. 

Banyak yang Bonda pelajari daripada mesyuarat kali pertama ini. Bonda harap dan berdoa, apa yang akan Bonda perkatakan, tidak disalah anggap oleh mana-mana pihak. Tujuan Bonda hanya sebagai suatu pengajaran. Yang baik dijadikan pengajaran (the Do's), Yang kurang baik tu dijadikan sempadan (the Don'ts). Selain daripada pengalaman sendiri, kita juga perlu belajar daripada pengalaman orang lain. Ambil iktibar daripada kesilapan orang lain dan diri sendiri. Itulah prinsip Bonda. Sebab tulah Bonda suka nak tahu dan ambil tahu bagaimana orang lain melaksanakan sesuatu perkara sebelum Bonda melakukannya.Sorry lah kerana agak meleret, tapi objektifnya mahu anda faham dan jelas tujuan penulisan ini.

Mesyuarat yang Bonda hadiri adalah Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Staf (JIPS) Kementerian Pelajaran Malaysia. Mesyuarat kali pertama bagi Bonda dan juga bagi Dato' Seri KPPM. Ini kerana dalam ucapannya, dia menyatakan, satu (1) tahun dia menunggu untuk mempengerusikan mesyuarat ini. Mungkin pada tarikh-tarikh sebelum ini, tarikh mesyuarat bertembung dengan tugas rasmi beliau yang lain. Oleh kerana ini kali pertama, Dato' Seri KPPM menyatakan:
  1. Kepentingan Mesyuarat. Mesyuarat ini wajib diadakan dan ia penting bagi semua bos besar (Ketua Jabatan) di semua Bahagian KPM dan bos-bos besar di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk hadir dalam mesyuarat ini. Dato' Seri KPPM mahu mesej yang disampaikan dalam mesyuarat, sampai kepada semua (akar umbi);
  2. Tumpuan Mesyuarat. Mesyuarat bertumpu kepada Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi warga KPM. Bagi Dato' Seri KPPM, kursus dan latihan amat penting. Oleh itu perbincangan mesyuarat akan berfokus kepada empat (4) perkara utama iaitu Merancang apa yang akan dibuat, Melihat dan Mengumpul sumber yang ada, Bagaimana nak dilaksanakan, dan yang terakhir Menilai keberkesanan program latihan atau kursus yang dijalankan.
  3. Matlamat Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). LDP bermatlamatkan meningkatkan kapasiti anggota (capacity building).
Hasrat Dato' Seri KPPM:
  1. Mesyuarat JIPS juga membincangkan perkara how to deal with incompetency.
  2. Dalam membuat perancangan kursus atau latihan, ianya dimulakan dengan outcome, selepas itu barulah cerita tentang kursus. Jangkauan kursus atau latihan juga perlu dinyatakan (golongan yang patut diberi latihan).
  3. Pegawai Latihan mestilah pegawai yang betul-betul tahu mengendalikan urusan latihan. Jika tidak tahu, kena belajarlah, cari maklumat. Setakat pengetahuan asas bagaimana nak menguruskan latihan, Bonda rasa info tu dapat dicari daripada internet. Lebih-lebih daripada itu, elok jugalah Pegawai Latihan diberi kursus.
  4. Pengurusan latihan di setiap organisasi tidak diserah kepada pegawai yang bermasalah atau kurang diperlukan (mungkin disebabkan sikap pegawai).
  5. Setiap bos menamakan Pegawai Latihan dan pegawai itu hadir bersama bos dalam mesyuarat JIPS.
  6. Pegawai Latihan menjadi contact person antara organisasi itu dengan urus setia mesyuarat JIPS.
Begitu panjang lebar Dato' Seri KPPM menyampaikan amanatnya. Ada lapan (8) pembentangan dalam mesyuarat itu (berdasarkan agenda mesyuarat), pembentangan Bonda yang terakhir. Hanya satu (1) pembentangan sahaja yang dapat dibuat. Itupun dijalankan sebelum Dato' Seri KPPM hadir. Mesyuarat dimulakan tanpa kehadirannya tapi dengan izinlah. Dato' Seri tenguk jugalah slide pembentangan pertama. Tidak mencapai hasratnya (Bonda agaklah) sebab itulah pembentangan yang lain ditangguhkan dan mungkin perlu disesuaikan berdasarkan hasrat pengerusi.

Satu perkara yang ditegur oleh Dato' Seri KPPM, pihak urus setia tidak datang menemui beliau iaitu tidak memberi taklimat ringkas tentang perjalanan mesyuarat sebelum mesyuarat dijalankan. Jadi perkara ini perlu diambil ingatan (juga apa yang Bonda pelajari ketika bertugas di pejabat) iaitu sekiranya kita adalah pihak urus setia, sebelum mesyuarat, kita perlu berbincang dengan pengerusi tentang perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat. Ini supaya tiada salah faham dan silap tafsiran. Kita juga dapat selaraskan kehendak bos @ pengerusi mesyuarat agar objektif mesyuarat tercapai. Dapat sokongan bos terlebih dahulu. 

Selesailah sudah cerita pengalaman Bonda menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Seri KPPM. Sebelum diakhiri post ini, Bonda nak buat catatan peribadi sikit. Cerita tentang penyediaan slide pembentangan Bonda. Masuk aje ofis pada pagi Isnin tu, Bonda cepat-cepat hantar slide itu secara emel kepada 2nd and top bos Bonda. Untuk top bos, Bonda serahkan juga salinan hardcopy untuk memudah dan mempercepatkan bos menyemaknya. Hasilnya, kedua-dua bos terima dan meluluskan hasil kerja Bonda tanpa sebarang pindaan. Syoknya. Jadi tercapailah target Bonda untuk menyerahkan slide itu kepada pihak urus setia mesyuarat pada hari Isnin. Kawan Bonda yang ditugaskan menyediakan slide pembentangan untuk kertas makluman kedua daripada organisasi Bonda, tidak dapat menyiapkannya pada tarikh yang ditetapkan. Bonda bangga dengan pencapaian diri sendiri. Bonda catat semua ini sekadar mahu menaikkan semangat dan motivasi kerja Bonda kerana ia sering turun naik. Sebagai ingatan, bos perlu dimaklumkan dan kelulusannya perlu diperolehi sebelum kita teruskan langkah selanjutnya. Tahu di mana kedudukan kita sebagai kakitangan dan hormati kedudukan bos, petua untuk mudah bekerja bersama bos.

Oleh itu, kita jumpa lagi di lain waktu. Bonda minta jutaan maaf sekiranya ada yang tersinggung. Jumpa lagi.

Saturday, December 24, 2011

7 Hari Seminggu Urusan Passport

Salam buat rakan-rakan dan anak-anak Bonda.

Tahukah anda bahawa urusan penyediaan passport dah dapat dibuat juga pada hari Sabtu dan Ahad. Bonda baru dapat tahu dalam bulan November 2011 baru-baru ni. Ya lah, tak ada urusan sangat di pejabat Imigresen. Jadi perkembangan terkini kurang mengetahuilah. Berdasarkan maklumat yang Bonda dapat, hanya Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur aje yang menawarkan perkhidmatan sebegini.
Pejabat Passport yang terlibat adalah seperti berikut:

1. Pejabat Cawangan Presint 15, Putrajaya.
No. telefon : 03 8881 1091
2. Pejabat Cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur. 
No. telefon : 03 4142 3449
3. Pejabat Cawangan Kajang, Selangor. 
No. telefon : 03 8734 4344
4. Pejabat Cawangan Subang, Selangor. 
No. telefon : 03 7847 1678
5. Pejabat Cawangan Pelabuhan Klang, Selangor. 
No. telefon : 03 3168 8166

Waktu beroperasi : 8 pagi hingga 1.00 petang (Sabtu dan Ahad)

Jika anda nak buat passport untuk anak-anak, anak-anak tu perlu dibawa bersama ke pejabat passport tu. Selain daripada tuan punya badan yang nak dibuat passport, anda juga perlu sediakan 1 keping gambar (berwarna), ukuran passport dan salinan kad pengenalan (My Kad atau My Kid). Nombor surat beranak kena tahu dan ingat juga sebab perlu diisi dalam borang permohonan.

Bila nak fotostat kad pengenalan, pastikan muka depan dan belakang kad pengenalan berada pada muka surat yang sama. Dari segi bayaran pulak, ada dua (2) bayaran passport iaitu
1. RM100.00 - untuk tempoh sah laku selama 3 tahun;
2. RM300.00 - untuk tempoh sah laku selama 5 tahun.
Selain daripada perbezaan tempoh sah laku, ia juga berbeza dari segi ketebalan atau bilangan muka surat.

Pesanan Bonda, jika berurusan pada hari Sabtu (berdasarkan pengalaman), datang awal pagi. Pukul 8 pagi dah ada kat pejabat passport tu. Hari Sabtu ramai famili yang datang (ada yang bawa baby lagi). Jika anda bujang atau solo dan buat untuk diri sendiri, datang aje pada hari biasa, mungkin lebih cepat selesai dan kurang rimas. Bagi ibu mengandung dan warga emas ada nombor gilirannya yang tersendiri. Lebih cepat nombornya dipanggil.

Bonda cuma menemani anak bujang Bonda buat passport. Anak Bonda dah beri amaran dan Bonda pun dah agak jugalah mungkin terpaksa menunggu lama untuk selesai. Jadi Bonda bawalah kerja-kerja ofis yang perlu diselesaikan.

Sedang Bonda duduk menulis-nulis, fikir-fikir, tiba-tiba terpandang telatah seorang ibu ini dengan anak-anaknya. Bonda lebih senior daripada ibu itulah. Dia bawa bekal sebagai sarapan anak-anaknya. Anak-anaknya lima (5) orang (bersekolah menengah dan juga bersekolah rendah). Bonda tabik spring kepada ibu ini. Bila dia buka begnya, macam-macam makanan keluar. Ada maggie goreng, ada sausage, air panas (air milo agaknya), air mineral dan juga jajan (kata orang Jawa). Prihatin betul ibu ini dengan keperluaan anak-anaknya. Kira-kiranya tak ada alasan untuk anak-anaknya berbelanja di kedai berhampiran. Tapi famili yang bawa bekal macam tu tak ramai. Sebab itulah kedai yang berhampiran dapat jualan (sales) yang menggalakkan pada hari itu.

Daripada gaya ibu itu melayan kerenah dan memenuhi keperluan anak-anaknya, Bonda agak dia seorang surirumah sepenuh masa. Bagi diri Bonda yang bekerjaya ni, lebih fikirkan nak rehatkan diri selepas kerja, ambil mudah aje sebab tu bawa duit untuk berbelanja. 

Tujuan Bonda bercerita ni sekadar nak beritahu (pada diri Bonda) masih ada para ibu yang kisah tentang keperluan anaknya dengan cara menyiapkan homemade food. Bagi anak-anak, ingat dan kenanglah kisah-kisah manis serta kemesraan dengan ibu anda, tak kiralah sekecil mana. Tunjukkanlah penghargaan anda pada dia sementara dia masih ada (anda dapat peluk cium lagi dia). Itulah sedikit sebanyak rencah kehidupan.

"Mothers are the people who love us for no good reason. And those of us who are mothers know it's the most exquisite love of all." - Maggie Gallagher.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...