Showing posts with label Kenali diri. Show all posts
Showing posts with label Kenali diri. Show all posts

Wednesday, March 16, 2016

Lima Unsur Diri

Bismillah ir-Rahman ir-Rahim
Assalamualaikum.
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat & mengurniakan kita segala limpahan nikmat.
Selawat & salam ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW, kaum keluarganya serta para sahabatnya.

Diri kita terdiri daripada 5 unsur iaitu roh, jasad, akal, nafsu dan hati. Setelah kita tahu apa dia 5 unsur itu, kita perlu tahu apakah makanan bagi unsur-unsur itu supaya diri kita tidak bermasalah.

1. Roh, makanannya adalah mengenal Allah.
Kita perlu ajar diri kita mengenal Allah supaya diri kita segar dan tenang. 
Makanan yang buruk bagi roh adalah mengagumkan benda @ perkara selain daripada Allah. 
Runsing pada perkara yang tidak menentu, membuatkan roh jadi tidak sihat. Jika kita merasa runsing, check. Adakah kita mengagumkan selain daripada Allah? 
Usah rasa runsing. Bergantung haraplah sepenuhnya kepada Allah.
Bergeraklah atas takdir masing-masing. Berusaha semaksimum dan sebaik mungkin. Berserah kepada Allah. Kawallah dengan doa.
Roh perlu diberi makanan yang betul. 

2. Jasad, makanannya adalah makanan yang halal dan baik (tidak memudaratkan kesihatan).

3. Akal, makanannya adalah ilmu dan pengalaman.
Berilah ilmu dan pengalaman kepada akal. Sumber ilmu adalah pembacaan. Bacalah apa-apa bahan yang membuatkan kita hampir kepada Allah. Berkawanlah dengan orang yang baik-baik.

4. Nafsu, makanannya adalah tabiat atau sikap.
Didiklah nafsu dengan amalan yang baik.
Menangguhkan amalan yang baik bermaksud beri makanan yang tidak baik kepada nafsu. Jangan bertangguh untuk buat kebaikan atau kerja. Kita perlu sentiasa berusaha dan bergerak bersungguh.
Jangan bunuh nafsu tapi didiklah.

5. Hati, makanannya adalah sifat-sifat yang baik seperti redha, kasih sayang.
Sifat-sifat yang tidak baik adalah makanan yang tidak elok bagi hati.

Jika kita berdepan dengan orang yang bermasalah, ingatlah hanya sebahagian daripada unsur dirinya yang bermasalah. Lihat, renung dan perhatikan unsur mana yang bermasalah. Berdoalah kepada Allah supaya diberi pendekatan yang betul dan tepat dalam menangani individu yang bermasalah.

Di samping kita memerhati orang lain, kita juga seharusnya melihat diri kita. Unsur manakah yang bermasalah. Ingatlah, kita akan balik kepada Allah secara bersendirian. Allah melihat di mana penghujung kehidupan kita.

Buat baik, dibalas baik. Itu adalah fitrah.
Buat baik, dibalas buruk. Itu adalah dendam.
Buat buruk, dibalas baik. Itu adalah sunnah. Inilah nilaian umat Nabi Muhammad saw yang terbaik.

Catatan mama pada 14 Mac 2016 - program Pesona di Zahra, radio Ikim FM, Ustaz Mohd Amin.

Wednesday, August 19, 2015

STOP-KEEP DOING-START

Assalamualaikum
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama yang disayangi.

Topik kali ini akan membicarakan soalan-soalan mudah untuk tingkatkan prestasi. Dari satu aspek, ianya juga suatu cara untuk cermin diri. Terpulang kepada diri sendiri untuk melihatnya daripada aspek yang mana.

Maklum balas amat penting dalam perkembangan profesionalisme. Ianya membantu mengenal pasti dan membangunkan kemahiran yang kita perlukan untuk berjaya dunia & akhirat. Tapi mendapatkan maklum balas dapat membuatkan kita rasa gementar kerana ianya mungkin tidak positif seperti yang diharapkan.

Artikel ini membincangkan 'tool' yang dapat bantu kita kemukakan soalan secara berfokus dan maklum balas yang 'action-based'.

Proses SKS (Stop-Keep Doing-Start) adalah nama kepada 1 set soalan pendek yang digunakan untuk dapatkan maklum balas. Soalannya adalah:
1). What should I stop doing?
2). What should I keep doing?
3). What should I start doing?

Kenapa Proses SKS berkesan?
1). Ianya memantapkan keyakinan.
Soalan-soalan itu membuatkan orang yang ditanya, berfikir secara khusus perkara-perkara yang kita lakukan dengan baik @ bagus. 
Soalan-soalan itu juga menggalakkan mereka menyatakan perkara-perkara yang kita mungkin dapat lakukan dengan lebih baik.

2). Proses ini berbentuk action-focused.
Komen-komen yang diberi, dapat beri gambaran kesan tingkah laku kita ke atas orang lain. Ia juga dapat menjelaskan apa yang kita patut perbaiki.

3). Soalan-soalan ini ringkas dan padat.
Dalam kebanyakan kes, ianya membuatkan orang beri maklum balas yang berkualiti dalam masa yang singkat.

Walaupun Stop-Keep Doing-Start pada awalnya digunakan untuk mendapat maklum balas, kita juga dapat gunakannya semasa memberi maklum balas.

Proses ini paling berkesan jika soalan itu ditanya secara lisan. Ianya tidak dihasratkan untuk menggantikan penilaian formal. Ia cuma komen prestasi.

Bagaimana nak menganalisis hasil proses SKS?
What should I STOP doing?
* Teliti perangai atau sikap yang dicadangkan supaya kita berhenti lakukan.
* Adakah kita faham komen yang diberi? Dan kenapa ianya penting buat orang yang beri pandangan? Dapatkan penjelasan jika perlu.
* Adakah perangai atau sikap itu berkait rapat dengan personaliti kita? Contohnya, kita seorang pendiam, dan kita disarankan untuk jadi peramah. Jadi kita perlu tingkatkan usaha untuk berubah. 
* Apakah peluang-peluang yang akan mengubah pembentukan sikap baru? Bagaimana perubahan sikap ini akan memperbaiki budaya kerja kita? Sering kali terjadi, kita dapat motivasi untuk berubah dengan membayangkan impak positif daripada perubahan itu.

Agak menyedihkan bila mengetahui kita melakukan perkara yang bos atau rakan-rakan kita yang mahu kita berhenti melakukannya. Harus diingat, mereka mungkin melihat perkara itu daripada business perspective, dan tidak membuat kritikan peribadi. Cuba urus atau kawal perasaan kita dan fokus kepada nilai dalam apa yang mereka nyatakan atau sampaikan.

What should I KEEP DOING?
* Senarai semua sikap atau perangai yang digemari oleh rakan-rakan kita.
* Untuk memahami bagaimana kita dapat menerapkannya dalam pelaksanaan tugas, jawab persoalan-persoalan berikut:
1). Adakah terdapat mana-mana pandangan mereka yang memeranjatkan kita? Jika ada, kenapa?
2). Ada tak mana-mana sikap atau perangai yang berkait dengan kita secara emotional. Contohnya, adakah kita mengalami suatu emosi semsa kita 'engaged' dengan mereka?
* Apakah kemahiran-kemahiran khusus yang kita 'develop' sebagai hasil daripada perlakuan itu? Adakah kita menggunakan kekuatan yang kita tidak menyedari mempunyainya? Jika ya, bagaimana kita dapat mengaplikasi kekuatan-kekuatan itu dalam projek atau pelaksanaan tugas yang lain?

What should I START doing?
* Maklum balas daripada soalan terakhir ini adalah untuk meningkatkan prestasi semasa. Pandangan-pandangan itu dapat membantu kita melihat isu yang kita tidak menyedarinya sehingga kini.
* Teliti perkara-perkara yang dicadangkan untuk kita mula lakukan. Apakah manfaatnya kepada kita dan orang lain?
* Ada atau tidak mana-mana perkara, tugasan atau perangai yang dicadangkan itu membuatkan kita merasa takut atau kurang selesa? Jika ada, adakah kita mengelak daripada melakukannya disebabkan takut gagal? Fikir secara mendalam kenapa kita tidak melakukan perkara itu sebelum ini. Fikirkan apa yang kita dapat lakukan untuk atasinya. 
Jika tidak, kita hanya 'putting things off'. Pelajari bagaimana untuk mengatasi penangguhan.
* Ada atau tidak mana-mana aktiviti yang dicadangkan, memerlukan kemahiran atau informasi yang kita tiada? Jika ya, buat perancangan untuk dapatkan kemahiran yang diperlukan.
* Jika selepas buat refleksi, kita masih kurang memahami kenapa perlu memulakan perkara itu, dapatkan penjelasan daripada orang yang memberi  cadangan itu.

Jika beban kerja kita sudah besar dan dengan menambah tugasan ini membuatkan kita merasa terbeban, pastikan kita membuat keutamaan tugas secara berkesan, supaya kita dapat selitkan cadangan-cadangan bernas dalam penjadualan kita.

Rumusan
Stop-Keep Doing-Start adalah cara mudah untuk kenali diri kita dari pandangan orang disekeliling kita. Kita juga dapat gunakan soalan-soalan Stop-Keep Doing-Start semasa memberi pandangan kepada orang lain, atau dalam sesi pementoran atau bimbingan.

Catatan mama daripada bahan di laman web. Semoga Allah memberi manfaatnya kepada kita. Semua yang baik itu, datangnya daripada Allah.

Saturday, August 8, 2015

Jadilah Diri Mu

Assalamualaikum,
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama yang disayangi.

Sentiasalah dekat dengan ilmu untuk dapatkan ketenangan.

Manusia tidak dicipta secara kebetulan. Allah ciptakan kita, manusia dengan penuh tujuan dan penuh perincian.

Setiap daripada kita ada tujuan dan peranan yang tersendiri. 
Peranan kita di dunia tidak dapat diganti oleh orang lain. Dan kita tidak dapat menggantikan peranan orang lain.

Kita semua tersendiri @ unik, dalam kelas yang tersendiri.

Manusia tidak dicipta secara borong. Tiada ciptaan yang sama.

Dunia tidak lengkap tanpa kita.
Setiap daripada kita ada pentas tersendiri untuk berperanan.

Dalam ilmu sains, fungsi sesuatu objek adalah mengikut bentuknya.
Manusia tidak sama bentuknya. Oleh itu fungsinya juga tidak sama.

Allah ciptakan kita. Allah beri semua kelengkapan kepada kita untuk berjaya. Ini kerana Allah sayang kat kita. Contohnya, ibu bapa berusaha beri keperluan pembelajaran kepada anak mereka supaya anak-anak berjaya.

Allah beri perut. Tapi saiz perut, kita yang buat.

Kita, manusia dicipta untuk berjaya, bukan untuk gagal.

Setiap orang ada kecenderungan.

Allah tidak cipta manusia bodoh tapi kebijaksanaan yang berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh rendah diri dengan manusia. Rendah diri hanya dengan Allah.

Manusia dicipta bukan untuk bersaing atau berlumba.
Hanya perlumbaan dalam kebaikan yang dibenarkan dalam Islam.
Manusia dicipta untuk saling melengkapi.

KENAPA RAMAI MANUSIA GAGAL?
Kerana:
1). Manusia itu tidak jadi dirinya sendiri.
2). Manusia itu tahu kelebihan dirinya tapi tidak keluarkan kelebihan diri semaksimum mungkin.

Kenapa Manusia Itu Nak Jadi Orang Lain?
Kerana dia tak tahu kelebihan dirinya.

Untuk tahu kelebihan diri, perlu ada
1). Ilmu;
2). Guru untuk jadi mentor.

Kenapa Manusia Itu Tak Keluarkan Kelebihan Dirinya Semaksimum Mungkin?
Kerana dia malas untuk gali dan gilap bakat terpendam.
Penyakit malas adalah punca kita gagal. Lawan perasaan malas. Malas adalah satu dosa.

Kita perlu keluar daripada zon selesa kepada zon mencabar.
Dengan ujian, manusia dikeluarkan daripada zon selesa.

Allah tidak pernah letih menguji kerana Allah tidak pernah letih menyayangi kita.

Jangan klon. Jika kita klon, kita tidak dapat jadi numbor 1.
Jadilah diri kita sendiri dengan berlandaskan sifat syukur. Barulah kita dapat jadi nombor 1 dan berjaya.

Diri kita sekarang adalah diri kita yang terbaik.

Hidup jadi sukar jika kita buat perbandingan dan pertandingan antara sesama manusia.

Harga diri kita berbeza dengan harga diri orang lain. Tapi rujukan kita mestilah al-Quran.

Kita perlu menguruskan perbezaan dengan baik dan memanfaatkan persamaan dengan baik.

Sesiapa yang kenali diri sendiri, dia akan kenal Allah.
Kenal sifat mazmumah diri kita.
Kenal aib diri kita.

Siapa pun diri kita, jangan lupa kita tetap hamba Allah & khalifah Allah.
Dengan kenali diri, kita dapat jadi
1). Hamba Allah yang baik & beri kebaikan.
2). Khalifah Allah yang baik & beri kebaikan.

Catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 8 Ogos 2015. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...