Showing posts with label Masam Manis Alam Kerjaya. Show all posts
Showing posts with label Masam Manis Alam Kerjaya. Show all posts

Saturday, December 17, 2011

Kertas Kerja Buat Dato' Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Salam buat rakan taulan dan anak-anak Bonda.
Pernah terima pengiktirafan daripada bos? 
Masih ingat lagi ke apakah pengiktirafan yang diberi? 
Apa kesannya ke atas diri anda? 
Pada pandangan Bonda, elok dicatat dan disimpan (sekiranya dapat dilakukan) pengiktirafan yang bos beri tu. Ini dapat memberi atau menaikkan semangat kerja yang ada kalanya menurun. Besar atau kecil pengiktirafan itu bukan persoalannya, yang pentingnya, pengiktirafan, walau dalam apa bentuk sekalipun tapi mestilah mengikut etika kerja dan peraturan agama.

Sehubungan itu, kali ini Bonda mahu merakamkan salah satu bentuk pengiktirafan yang Bonda terima daripada bos Bonda, Encik Khalid, Setiausaha Bahagian. Sebelum Bonda beritahu, Bonda nak ceritalah latar belakang kisahnya. Ini juga adalah catatan pengalaman buat cucu-cucu Bonda kerana pada ketika cucu-cucu Bonda dah pandai mendengar, Bonda pulak yang dah lupa ceritanya. So inilah ceritanya ...

Bonda mendapat 'Arahan Tugas' untuk menyediakan kertas kerja yang mahu dibentangkan oleh bos Bonda dalam mesyuarat jawatankuasa induk peringkat pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia. Arahan ini Bonda terima pada hari Selasa dan kertas kerja itu perlu dikemukakan kepada pihak urus setia dalam kadar segera. Setelah 2nd bos (Timbalan Setiausaha Bahagian) buat perundingan dengan pihak urus setia, Bonda diberi tempoh sehingga hari Jumaat untuk hantar kertas kerja itu.

Bonda sebenarnya sedang mengikuti latihan atau kelas SPSS iaitu belajar dan hands on bagaimana membuat analisis dan penyediaan laporan menggunakan perisian SPSS. Latihan tu selama dua (2) hari penuh (Selasa dan Rabu). Mana ada masa nak duduk mengarang. Berontak hati Bonda. Tapi arahan tetap arahan. Perlu dilaksanakan tanpa sebarang alasan. Oleh itu, selesai aje kelas buat hari itu, Bonda fokuskan kepada penyediaan kertas kerja. Tapi Bonda terpaksa buat kat rumah sebabnya pada masa yang sama pejabat Bonda dalam proses mendapatkan pensijilan Amalan 5S. Audit luar akan datang dalam minggu tu jugak, hari Khamis. Masih ada perkara dan kawasan yang perlu dilabel (Seragam) dan Sapu.

Jadi kat rumahlah (pada malamnya) Bonda baru dapat duduk berfikir dan mengarang. Tugas ini adalah satu cabaran buat Bonda. Bonda perlu karang kertas ilmiah dan akan dibaca oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) serta top leaders di Kementerian Pelajaran Malaysia. Ni First time Bonda sediakan kertas kerja buat KPPM. Hajat di hati tak nak tidur pada malam tu, nak siapkan jugak derafnya. Tapi bila dah mengantuk, lupa itu semua. Jadi Bonda mengambil masa 2 malam untuk siapkan deraf pertama.

Nasib baiklah kelas SPSS tu dijalankan di pejabat (Allah sentiasa membantu kita dalam memudahkan urusan). Jadi dapatlah jugak Bonda mencelah-celah uruskan perkara ini. Dalam proses penyediaan kertas kerja ini, Bonda juga berbincang dengan top bos Bonda. Nak tau jugalah apa kehendaknya dalam menentukan hala tuju kertas kerja itu.
Untuk makluman anda, kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk tu hanya ada 2 jenis aje iaitu kertas cadangan dan kertas makluman. Kertas cadangan - apabila kita mahu dapatkan persetujuan, kelulusan dan mandat jawatankuasa atas perkara yang kita mahu lakukan. Manakala kertas makluman pula apabila kita mahu melaporkan kemajuan atau tindakan sesuatu perkara.

Perkara yang bos Bonda mahu kemukakan bukanlah cadangan kerana ia belum mantap dan masih kurang sesuai untuk dicadangkan. Ia juga bukanlah makluman kerana ia tidak melaporkan kemajuan atau tindakan yang diambil. Ianya hanya suatu perkongsian pengalaman atau idea dan harapan bos Bonda, idea itu dibeli oleh pengurusan atasan KPM.

Semasa dalam perbincangan dengan top bos Bonda, selain daripada menyediakan kertas kerja, dia juga mahu Bonda sediakan power point pembentangan dan membuat pembentangan semasa mesyuarat itu nanti. Telan air liur Bonda. Semuanya first time. Berada dalam mesyuarat tu pun tak pernah, inikan pulak nak buat pembentangan. Bos Bonda tu beri semangat dan kata-kata motivasi serta menyatakan harapannya ke atas Bonda.

Kertas kerja yang akan dibentangkan bertajuk Pelaksanaan Latihan Berasaskan Kompetensi Di BPPK. Top bos mahu Bonda menjadi Subject Matter Expert (SME) dalam Latihan Berasaskan Kompetensi. Dia juga memberi peluang dan ruang kepada Bonda untuk tonjolkan diri. Promosi dirilah katakan. Idea awal untuk melaksanakan latihan berasaskan kompetensi, datangnya daripada dialah. Bonda cuma berusaha sedaya upaya menterjemahkannya supaya hasrat bos Bonda tu tercapai.

Hari Khamis, Bonda serahkan deraf pertama kertas kerja kepada 2nd bos. Pada masa yang sama, Bonda juga telah mula menyediakan power point pembentangan. Selepas mengambil kira pandangan dan komen daripada 2nd bos, Bonda olah kembali kertas kerja itu. Nasib baiklah tidak banyak perubahan. Selesai pindaan dibuat, deraf kedua diserahkan kepada 2nd bos. Satu salinan juga Bonda serahkan kepada top bos Bonda. Tiada apa-apa lagi komen daripada 2nd bos. Semua dah okay. Daripada top bos, inilah komennya ...

"Tahniah! saya bersetuju dengan pendekatan yang dibuat. Terima kasih. Pastikan 'slide presentation' nya juga canggih."

Seronoknya Bonda bila baca komennya. Belum pernah lagi dapat komen yang sebegitu memberangsang. Teruja. Senyum sampai ke telinga. Dalam hati Bonda pulak, berbunga-bunga. Puas dengan pencapaian diri. Berkat daripada sokongan serta bimbingan 2nd. bos Bonda, Puan Rozainum binti Ahmad. "Terima kasih Puan." Bonda mencapai 80% target iaitu Bonda dapat emel kan kertas kerja itu kepada urus setia mesyuarat pada hari Jumaat.

Power point pembentangan masih dalam peringkat memohon pandangan dan kelulusan serta restu bos. Deraf pertama power point pembentangan, 2nd bos dah beri pandangan dan komen pada hari Jumaat. Hari Isnin nanti Bonda akan serahkan 2nd deraf kepada 2nd bos dan top bos. Target Bonda, pada hari Isnin, Bonda dapat emel kan power point pembentangan itu kepada pihak urus setia (dengan kelulusan bos).

Aduh! Panjangnya cerita di sebalik tabir. Tujuan Bonda cerita panjang-panjang ni supaya anda dapat kutip isi-isinya sebagai panduan, jika diperlukan. Bonda juga sekadar nak berkongsi keseronokan dan kepuasan pencapaian tugas yang dilaksanakan. Jumpa lagi.

Sunday, December 11, 2011

Rintis PROSPEK Di SMK Undang Rembau

Salam buat rakan-rakan dan anak-anak Bonda.
This time Bonda nak mengabadikan gambar-gambar yang Bonda rakamkan semasa membuat pengumpulan data untuk projek rintis Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada lapan (8) lokasi yang Bonda pergi selama dua minggu (18 - 27 Oktober 2011). Bonda akan kongsikan gambar-gambar tu dalam lapan post, ikut tempat, insya Allah.

Tempat pertama yang Bonda pergi adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau, Rembau Negeri Sembilan pada 18 Oktober 2011.
Ini Guru Penolong Kanan SMK Undang Rembau. Dia sedang menyampaikan ucapan aluan bagi pihak Pengetua. Pengetua ada tugas rasmi di luar sekolah pada masa yang sama.
Selepas ucapan aluan, kami mulakan dengan sesi Taklimat PROSPEK dan tujuan kehadiran kami. Bonda guna perkataan "kami" sebab pada setiap tempat terlibat, Bonda akan pergi bersama jurulatih utama rintis.
Inilah Cikgu Haji Mohd. Isa, jurulatih utama rintis. Beliau adalah guru penolong kanan di salah sebuah sekolah di Negeri Sembilan.
Tak ada pulak gambar close up Cikgu Haji Mohd. Isa ni. Sesi Taklimat ini Cikgu Haji Mohd Isa yang kendalikan. Bonda bantu dan dengar-dengar apa yang disampaikan bagi memastikan tidak berlaku kesilapan maklumat.
Responden (orang yang akan menjawab soal selidik) tak ramai, dalam 20 orang aje. Itupun termasuk staf sokongan. Selesai sesi taklimat, sesi mengisi borang soal selidik pulak. Sesi ni Bonda yang kendalikan.

Lihatlah betapa khusyuk dan fokusnya responden mengisi borang soal selidik.
Responden dibenarkan berbincang tapi jawapannya ikhlas daripada diri sendiri.
Selain daripada Bonda dan jurulatih utama, pegawai Unit Kompetensi Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan turut hadir. Yang berdiri tu lah dia.
 

Itulah sedikit sebanyak pengalaman Bonda di SMK Undang Rembau, Negeri Sembilan. Jumpa lagi di tempat lain.

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah 1433H

Salam buat rakan-rakan dan anak-anak Bonda. Selamat menyambut Maal Hijrah 1433H. 
Hari ini (27 November 2011) Awal Muharam bagi tahun 1433 Hijrah, iaitu 1 Muharam tahun 1433 Hijrah. Hari pertama bagi kalendar Islam dan dikenali juga dengan Maal Hijrah. 
 
Maal Hijrah ni adalah satu tarikh bagi memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhamad s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini penting dalam sejarah Islam. Peristiwa ini berlaku pada 1 Muharam serta hari pertama dan tahun baru bagi Takwim Hijrah. 
Takwim Hijrah ini juga dikenali sebagai Takwim Islam. Ianya kalendar berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. 
Takwim Hijrah @ Takwim Islam ini tidak bermula di zaman Nabi Muhamad s.a.w. Penggunaan kalendar Tahun Hijrah/ Hijriah ini adalah hasil ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab.

Kenapa boleh tercetus ilham ini, iaitu mempunyai kalendar yang tersendiri? 
Ada riwayat/ cerita yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah menghantar surat kepada Saidina Umar r.a yang meminta penjelasan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang dihantar kepadanya. 
Pada zaman itu, kaum Arab sendiri mempunyai banyak kalendar yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Oleh itu, timbullah idea kepada Saidina Umar r.a supaya umat Islam mempunyai kalendarnya yang tersendiri. 
Saidina Umar r.a telah memilih tahun yang terdapat peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar/ takwim Islam.
Ini bermakna pada hari ini sudah 1,433 tahun berlakunya peristiwa penghijrahan Nabi Muhamad s.a.w dari Mekah ke Madinah. 

Kenapa peristiwa penghijrahan Nabi Muhamad s.a.w dikatakan satu peristiwa agung? 
Dengan penghijrahan inilah bermulanya pertolongan Allah yang begitu ketara dan berkesan kepada RasulNya. Oleh itu agama Islam dapat ditegakkan.

Takwim Hijrah/ kalendar Islam juga mempunyai 12 bulan (sama dengan kalendar Masihi iaitu Januari, Februari dan sebagainya).Tapi tak bolehlah disamakan bulan Takwim Hijrah dengan kalendar Masihi kerana setiap bulan dalam Takwim Hijrah hanya mempunyai 29 atau 30 hari sahaja dan tidak mengikut turutan yang tetap. 
Sumber rujukan yang Bonda gunakan adalah daripada Wikipedia.

Penghijrahan Budaya Kerja.
Bila Bonda fikir-fikirkan dan mahu Bonda catat dan kongsikan, di pejabat Bonda telah melakukan penghijrahan budaya kerja. Kami mula melaksanakan penggunaan borang Arahan Tugasan pada 21 November 2011. Bonda sokong sepenuhnya penggunaan borang ini walaupun nampaknya ia menambah tugas dokumentasi tapi Bonda percaya dan yakin ianya dapat membuktikan siapa yang komited dan siapa yang kurang komited. Tanpa penggunaan borang Arahan Tugasan, pegawai yang rajin dan komited sentiasa menjadi mangsa boss dan rakan-rakan yang melabelnya sebagai "Anak Emas Boss". Yalah boss pastinya mahu setiap tugasan diselesaikan tepat pada masanya dan sempurna. Dia tahu siapa yang dia dapat harapkan/ bergantung harap. Penggunaan borang ini memberi kebaikan kepada orang bawahan dan juga pemimpin/boss.


Kebaikan Penggunaan Borang Arahan Tugasan Kepada Pekerja Bawahan.
Sebelum ini, kebanyakan arahan tugas diberi secara lisan dan kami laksanakannya. Isunya timbul apabila nak dibuktikan bahawa kita tidak dapat melaksanakan atau menyiapkan core business kita pada target dateline kerana terpaksa cover tugasan orang lain. Kebiasaannya tugasan ini diberi di saat-saat akhir (dalam tempoh masa yang pendek untuk disiapkan) dan kategorinya Segera. 
 
Jadi sekarang, jika boss tanya kenapa tugas kita lambat siap, tunjuk ajelah arahan yang diterima dari semasa ke semasa. Bonda sendiri pun sudah menggunakannya. Suatu hari tu, penyelia Bonda mahu Bonda menyiapkan satu laporan yang bukan core business Bonda dan perlu disiapkan dalam kadar segera. Pada masa yang sama Bonda sedang menyiapkan tugasan yang dikira juga perlu disiapkan segera. Jadi Bonda mohon penyelia Bonda menggunakan borang Arahan Tugasan jika sekiranya dia mahu Bonda siapkan laporan itu bagi pihaknya. Sebenarnya tanggungjawab dia menyiapkan tugasan itu kerana ia dalam kategori PAC (private and confidential).

Bagi diri Bonda yang dalam kategori Pekerja Bawahan ini, dengan adanya borang Arahan Tugasan ni, dapatlah Bonda lihat kembali apa yang membuatkan Bonda sentiasa sibuk sepanjang tahun. Bonda dapat menilai sendiri tahap pencapaian Bonda sepanjang tahun dan di mana sangkutnya keberhasilan tugasan core business Bonda.

Kebaikan Penggunaan Borang Arahan Tugasan Kepada Pemimpin
Penggunaan borang ini adalah satu bentuk pemantauan yang sistematik. Prestasi kerja pegawai mudah dinilai jika menggunakan borang ini. Selain daripada maklumat asas, borang ini mempunyai maklumat, apa tugasannya dan bila ianya perlu diselesaikan. Jadi pemimpin mempunyai dokumen sokongan yang kukuh sekira terpaksa mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawainya atau sekiranya dia mahu perakukan kecemerlangan tugas pegawainya. Lain-lain kebaikan tu, fikir sendirilah.

Pada masa ini penggunaan borang Arahan Tugasan setakat dalam unit/jabatan sendiri aje (iaitu daripada boss/penyelia kepada anak buah sendiri). Bonda akan mencadangkan penggunaan borang Arahan Tugasan diperluaskan kepada antara unit-unit. Maksudnya, sekiranya ada unit-unit lain mahu minta kerjasama/ menggunakan kepakaran atau komitmen pegawai daripada unit lain, borang Arahan Tugasan digunakan. Borang ini sebagai satu bukti pengiktirafan atau penghargaan ke atas komitmen yang diberi. Pegawai yang melaksanakan tugasan itu dapat juga membuktikan apakah sumbangan dia kepada orang lain. Ini dapat meningkatkan motivasi kerja (bagi Bondalah).

Penggunaan Borang Arahan Tugasan adalah ilham daripada pemimpin Bonda, Timbalan Setiausaha Bahagian. Inilah orangnya. Kredit for her.
 
Puan Rozainum binti Ahmad
Timbalan Setiausaha Bahagian
Sektor Pembangunan Kompetensi KPM

Itulah sedikit sebanyak asam garam alam pekerjaan Bonda. 
Semoga tahun 1433H menghasilkan lebih keberkatan buat kita semua selagi kita masih bernafas di bumi Allah. 
Jumpa lagi di lain waktu.

Sunday, August 21, 2011

Kempen Amalan Senyum

Di organisasi atau pejabat anda dah ada ke kempen senyum? Oh! Tak perlu buat kempen, sebab staf dah sentiasa senyum. Baguslah tu. Tapi bila kita buat kempen, tak bermakna kita ada isu besar. Ia hanya untuk tingkatkan kesedaran (awareness).

Organisasi Bonda telah melancarkan Kempen Amalan Senyum pada 6 Julai 2011.
Ia dilancarkan oleh pemimin Bonda, Encik Khalid bin Abu Bakar selaku Setiausaha Bahagian. Maniskan senyumannya.
Dalam ucapan pelancaran, Encik Khalid ada menyebut tentang kuasa sekuntum senyuman. Dia menceritakan bagaimana senyuman yang terukir di wajah arwah ibunya sewaktu meninggal dunia, telah memberikan semangat buat dirinya untuk terus hidup dan berjuang. Ibunya meninggal muda dan di waktu itu dia masih lagi kanak-kanak. Bonda lupalah berapa umur dia pada ketika itu. Apa yang pasti, kehilangan ibu semasa kita masih kanak-kanak, belum puas bermanja, memberikan tamparan yang hebat. Sewaktu emak Bonda meninggal dunia, Bonda juga merasa kehilangan yang amat sangat walaupun di waktu itu Bonda telah mempunyai keluarga sendiri.

Inilah pengacara majlis, Cik Siti Aisyah Nordin.
Suaranya memang lunak. Kat office Bonda ada dua orang aje yang mempunyai bakat dan suara sebagai pengacara majlis, setakat ini dan Cik Siti Aisyah ni salah seorang.

Inilah gimik pelancaran. Rakan-rakan Bonda kumpulkan gambar senyuman staf BPPK. Bila dah gambar dah siap, rupa-rupanya masih ada gambar staf yang tertinggal. Memang satu cabaran untuk memastikan semua gambar staf ada. Bonda tabik spring atas usaha murni rakan-rakan Bonda.

Encik Mohmmad Najib, pengerusi Kempen Amalan Senyum sedang menyemat pin kempen di baju Encik Khalid.

Ni pulak Encik Siva yang menyematkan pin kepada baju Encik Azme, Timbalan Setiausaha Bahagian Sektor Pengurusan.

Ini adalah Puan Rozainum, Timbalan Setiausaha Bahagian Sektor Pembangunan Kompetensi. Siapa yang sematkan pinnya? Bonda dah lupalah. Sorry ya.

Kami sedang menikmati tayangan video, wajah-wajah riang staf BPPK.

Kami juga dihiburkan dengan nyanyian yang berkonsepkan Senyum oleh kumpulan koir BPPK.

Itulah sedikit sebanyak cerita semasa majlis pelancaran Kempen Amalan Senyum di organisasi Bonda. Sekadar kenangan Bonda di sepanjang tahun 2011. Jumpa anda di lain waktu.

Tuesday, May 17, 2011

Maafkan Saya Encik Tea Tarik Satu

Entri ini Bonda tulis dengan tujuan menjawab komen yang diutarakan pada entri Sekolah Yang Tiada Homework oleh Encik "tea tarik satu" Bonda doakan semoga ianya dapat menjernihkan pada yang mula nak keruh.

Salam Encik "tea tarik satu".

Mula-mula sekali saya mohon maaf kerana artikel saya itu telah menyingung perasaan Encik "tea tarik satu", semua pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney dan Jabatan Penjara.

Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan usaha murni tuan dan rakan-rakan. Saya kagum dengan kesanggupan tuan dan rakan-rakan untuk berkhidmat di sekolah tersebut kerana ianya merupakan satu cabaran. Pada pandangan saya, bukan calang-calang pendidik yang dapat dan sanggup berkhidmat di situ. Pada pandangan saya, pendidik yang berkhidmat di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney adalah pendidik yang mempunyai tahap kesabaran dan keperihatinan yang tinggi serta kecintaannya kepada profesion keguruan.

Saya mengakui tidak mengetahui sangat tentang tugas dan cabaran pendidik di sekolah tersebut. Apa yang saya tulis hanyalah cerita yang saya baru dengar sekali aje dari mulut sebahagian kecil pendidik itu. Saya membuat andaian saya sendiri terhadap apa yang saya dengar dan faham. Saya juga menyimpan hasrat untuk datang melawat dan tengok sendiri cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan pendidik saya itu di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney. Akan tetapi sehingga setakat ini hajat saya itu belum tercapai.

Berdasarkan pengamatan saya sepanjang beberapa hari saya bekerja bersama-sama dengan rakan pendidik saya daripada Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, saya dapati mereka seorang yang rajin, komited dengan tugas dan suka berkhidmat di sekolah tersebut walaupun penuh dengan cabaran. Itu kesimpulan yang saya buat. Saya harap Encik "tea tarik satu" jangan salahkan mereka. Saya yang buat interpretasi sendiri.

Tujuan saya menulis artikel itu hanyalah sekadar berkongsi cerita yang saya dengar tentang pengalaman pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney. Kami orang luar tak tau sangat ceritanya. Saya cuma highlight cerita atau pengalaman yang saya fikirkan berbeza dengan sekolah biasa-biasa kat luar.

Isu yang saya bincangkan memang tiada kaitan dengan saya. Saya sekadar menulis cerita yang saya dengar dan nak share dengan anak-anak saya aje kerana Pena Bonda adalah diari kehidupan saya.

Satu perkara lagi, saya tak dapat kesan di manakah saya mencatatkan atau menyatakan bahawa para pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney tu "tiada kerja sekadar melepaskan batuk di tangga" seperti yang Encik "tea tarik satu" dakwakan dalam komen itu.

Cabaran berkhidmat di sekolah tersebut sememangnya ada dan besar. Saya taklah pulak menceritakan bagaimana para pendidik di sekolah itu melalui cabaran-cabarannya. Saya memang kagum dan tabik dengan para pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney kerana saya sendiri tak sanggup nak melalui cabaran-cabarannya.

Saya harap entri ini dapat menjernihkan suasana. Saya mohon maaf sekali lagi jika itu yang diminta kerana bukan niat saya untuk menjatuhkan maruah, kreabiliti dan integriti para pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney dan Jabatan Penjara.

Terima kasih atas komen yang diberi. Ia akan menjadi panduan buat saya agar lebih berhati-hati dan teliti.
Sekian.

Di sini Bonda kepilkan komen yang diutarakan oleh Encik "tea tarik satu" sebagai rekod bukti jika sekiranya komen itu ter "delete".


Tuesday, May 10, 2011

Pengalaman: Pembentangan Pertama Kepada TKSU (P) KPM

Pengalaman Bonda pada hari ini wajar Bonda catatkan. Ini kerana ia menjadi satu kenangan manis dalam kerjaya Bonda sebagai penjawat awam.
"Cu cite, cu cite." - dialog dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Inilah yang nak diceritakan.

Apa yang dah berlaku?:
Hari ini (pukul 10.00 pagi), Bonda berpeluang buat pembentangan kepada Dato' Wan Khazanah binti Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) adalah jawatan ke-4 tertinggi dalam struktur organisasi KPM, jika tak silap Bonda. Pengalaman ini juga merupakan pembentangan pertama Bonda kepada pihak pengurusan atasan KPM.

Macam mana Bonda dapat peluang tu?:
Dato' Wan Khazanah binti Ismail, TKSU (P) mengadakan mesyuarat mingguannya di ofis Bonda kat Cyberjaya. Bos Bonda, Encik Khalid Abu Bakar mengambil peluang mempromosikan aktiviti atau program yang kami jalankan kepada bosnya iaitu Dato' Wan Khazanah binti Ismail. Untuk mesyuarat kali ini, bos Bonda mahu program Analisis Jurang Kompetensi (competency gap analysis) organisasi kami dibentangkan. Bonda bukanlah desk officer program ini tetapi diberi kepercayaan untuk buat pembentangan. Bos Bonda tu nak juga promote officer nya. Sungguh tak sangka kerana pada awalnya Bonda cuma ditugaskan menyediakan slide presentation aje.

Apa yang berlaku semasa pembentangan?:
Mesyuarat mingguan TKSU (P) hanya dihadiri oleh bos-bos besar (top boss) daripada Bahagian-bahagian di bawah Sektor Pengurusan KPM. Ada enam (6) bahagian di bawah Sektor Pengurusan KPM. Jadi, ahli mesyuarat cuma ada lapan (8) orang aje termasuk pencatat/setiausaha.

Pada peringkat awal pembentangan Bonda agak gugup jugalah hinggakan Dato' Wan Khazanah binti Ismail pun menegurnya. Bila dah "panas enjinnya" laju ajelah. Bonda ni sentiasa bercakap laju sebab takut masa tamat dan apa yang nak disampaikan belum habis. Pembentangan mesti dibuat dalam tempoh 10 minit aje. Tapi Bonda tak adalah pulak mencatat masanya. Audiences tak menunjukkan wajah yang membosankan, Bonda kira okaylah tu. Idea kami tu diterima dan tak ada soalan, cuma komen dan pandangan aje (semua persoalan dah terjawab dalam pembentangan agaknya).

Apa komen daripada bos Bonda?:
Belum berpeluang untuk bertanya.

Satu perkara yang Bonda berpuas hati (proud of myself) adalah slides yang Bonda sediakan. Apabila Bonda tunjukkan slides itu kepada bos Bonda, dia cuma buat sedikit perubahan sahaja. Ini bermakna dia menerima dan bersetuju dengan content (the depth and example) and flow persembahan yang Bonda sediakan. Syukur.

Sebenarnya, Bonda menerima arahan/ tugasan menyediakan slide presentation pada hari Khamis dan Bonda sedang mengikuti bengkel fasilitator Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK) di Melaka. Presentation akan dibuat pada hari Selasa berikutnya. Pada hari Isnin, dalam kesibukan Bonda menyediakan slide presentation untuk Mesyuarat Sektor Pembangunan Kompetensi organisasi Bonda (mesyuarat pada sebelah petang), Bonda sempat jugalah bimbing dan pantau penyediaan draf slide presentation Analisis Jurang Kompetensi tu oleh mentee Bonda iaitu Cik Lia.

Selepas Mesyuarat Sektor Pembangunan Kompetensi (pukul 5.00 petang), Bonda sempat jugalah dapatkan pandangan Ketua-ketua Unit yang lain tentang draf slide presentation Analisis Jurang Kompetensi tu. Jadi berdasarkan input dan komen mereka, Bonda buat penambahbaikan pada malamnya. Pagi-pagi, pukul 8.00 dah masuk ofis. 8.30 pagi, buat presentation kepada bos Bonda.

Itulah cerita di belakang tabir. Sokongan dan kerjasama Ketua-ketua Unit Bonda banyak membantu Bonda. Thanks to those guys. So, kita jumpa lagi di lain entri. Mudah-mudahan selepas ini Bonda dapat lebih kerap post the entry with the help of technology.

Thursday, April 28, 2011

Pegawai BPPK Menyelami Takrifan Gangguan Seksual

Salam istimewa buat pembaca yang setia.

Dalam entri ini dan beberapa entri yang akan datang, Bonda mahu mengabadikan hasil kerja Bonda sebagai ahli sidang redaksi buku laporan tahunan Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK) tahun 2010. Tugas Bonda adalah menyediakan laporan aktiviti unit Bonda bagi tahun 2010. Lima (5) aktiviti telah dikenal pasti dan dipersetujui oleh mesyuarat jawatankuasa. Bos besar Bonda mahukan setiap aktiviti dilapor atau ditulis dengan satu gaya penulisan yang kreatif dan dapat menarik minat orang. Tak bolehlah nak tulis macam dulu-dulu, skema dan ilmiah.

Hasil akhir penulisan Bonda pastinya akan berbeza dengan draf Bonda kerana ia akan diedit oleh pihak pengurusan (bos-bos lah). Bonda mahu melihat sejauh mana perbezaan style penulisan Bonda dengan pemikiran bos-bos Bonda. Inilah artikel pertama Bonda, mantan guru sains. Diharap anda enjoy membacanya dan dapat memberi komen untuk penambahbaikan penulisan Bonda.

Tajuknya : Pegawai BPPK menyelami takrifan gangguan seksual

Semua pegawai Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK) gred 41 dan 44 telah melalui sesi penerokaan takrifan gangguan seksual di tempat kerja selama dua (2) minggu yang bermula dari 1 hingga 21 Jun 2010. Sesi ini dijalankan secara pembacaan kendiri dan dibuktikan dengan penghasilan penulisan ilmiah oleh setiap pegawai. Objektif program ini adalah untuk memupuk budaya membaca dan penulisan ilmiah di kalangan pegawai BPPK. Idea ini dicetuskan oleh Encik Khalid bin Abu Bakar, Setiausaha Bahagian BPPK.

Program ini diteruskan dengan pembentangan hasil penulisan artikel Gangguan Seksual Di Tempat Kerja. Lima (5) artikel terbaik telah dipilih dan pembentangan telah dijalankan pada 30 Julai 2010. Dua (2) orang pegawai yang menghasilkan penulisan dan pembentangan terbaik telah dihantar mengikuti kursus Put On Your Thinking Cap: Critical Thinking and Idea Generation Skills anjuran pihak swasta pada 12 dan 13 Oktober 2010 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Kos kursus sebanyak RM 3,300.00 ditanggung oleh BPPK. Pegawai yang berjaya mengikuti kursus tersebut adalah Puan Nor Ezura binti Bahrin dan Puan Nur Diyana binti Muhammad Isror.

Sebagai menghargai sokongan dan kerja sama, sijil penyertaan diberikan kepada semua pegawai yang telah menghasilkan penulisan artikel Gangguan Seksual Di Tempat Kerja. Untuk tidak mensia-siakan hasil kerja dan sebagai usaha perkongsian ilmu, kelima-lima artikel terbaik itu telah dijilidkan dan dijadikan bahan bacaan warga BPPK.


Sekian.

Bonda juga terlibat dengan program ini. Di sinilah bukti perasaan Bonda semasa melalui proses itu.

Saturday, June 5, 2010

Perbincangan Di Kolej Matrikulasi Perak


Penyediaan pelaksanaan Penilaian Tahap kecekapan (PTK) kaedah pencerapan (observation) telah membawa Bonda ke Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng pada 2 hingga 3 Jun 2010.

Gambar A: asrama lelaki, rumah/blok kediaman staf, rumah pengarah dan rumah tamu. Agak jauh jugalah daripada blok akademik.

Cantik dan nyaman sekali suasana Kolej Matrikulasi Perak. Ianya berada di kawasan berbukit. Turun naik bukit dengan mendaki tangga dah biasa. Lebih sihat duduk kat sini kerana banyak bersenam.



Bonda dan rakan-rakan (kami pergi berempat iaitu 1 Ketua Penolong Setiausaha Unit Penilaian, 2 orang pegawai Unit Penilaian dan 1 orang pegawai kontrak Unit Penilaian) bermalam di rumah tamu Kolej Matrikulasi. Cantik dan luas rumahnya, maklumlah rumah diperuntukkan untuk Ketua Jabatan, besarlah.

Tu pintu masuk utama. Shot dari ruang tamu, di sebelahnya ruangan dapur.

Wet kitchen

Ruang tamu

Ruang istirehat

Ada 4 bilik tidur.
Bilik tidur utama



Seronoknya kalau dapat rumah sebesar ni. Iron dan iron board juga disediakan. Makan malam kami makan di kafeteria bersama student lelaki sebab rumah tamu tu dekat dengan asrama lelaki. Tiap-tiap malam boss yang belanja. Terima kasih boss.


Bonda ke Kolej Matrikulasi Perak untuk membuat pembentangan dan perbincangan dengan pensyarah tentang rubrik dan instrumen PTK. Mulai September 2010, semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG 48 dan DG 52 di kolej matrikulasi akan menduduki PTK kaedah pencerapan. Rasa-rasanya agensi lain belum lagi guna kaedah pencerapan untuk PTK. Bonda pasti BPPK satu-satunya agensi yang menggunakan rubrik selain daripada instrumen penilaian dalam PTK. Sesuai sangatlah dengan visi BPPK: "Peneraju dalam pembangunan dan penilaian kompetensi".

Bonda target dapat menyiapkan rubrik dan instrumen bagi 10 jawatan sepanjang tempoh 3 hari 2 malam Bonda di situ. Perbincangan telah dijalankan secara terperinci kerana ini merupakan peringkat akhir sebelum diserah kepada Pengarah Bahagian Matrikulasi untuk pengesahan. [Tip: Libatkan boss besar/ketua jabatan sesuatu organisasi (mengikut kesesuaian kaedah) untuk dapatkan kerjasama dan komitmennya. Hal ini dapat melancarkan urusan pelaksanaan kita di peringkat akar umbi.]

Daripada 10 jawatan, hanya 6 jawatan sahaja yang dapat diselesaikan. Jawatan yang belum dapat dimantapkan adalah:
  1. Ketua Unit Kaunseling;
  2. Pen. Pengarah (PP) Kaunseling;
  3. Pen. Pengarah (PP) Peperiksaan;
  4. Pen. Pengarah (PP) Hal Ehwal Pelajar.

Isu besar yang timbul berkaitan 4 jawatan itu adalah pelaksanaan tugas tidak sama dengan sukatan PTK bagi jawatan tersebut. Contohnya, mengikut sukatan PTK, PP Hal Ehwal Pelajar juga mengajar selain daripada menguruskan hal ehwal pelajar. Tetapi pelaksanaan sebenar (pada ketika ini) tidak macam tu. Inilah cabarannya kerana pembinaan instrumen penilaian perlu berdasarkan sukatan. So isu ini akan dibincang dengan pihak pengurusan Bahagian Matrikulasi.


Bonda bersama boss (KPSU) dan pegawai kontrak, Darlida

Bonda bersyukur dan lega kerana dapat pembantu (pegawai kontrak) yang cepat faham dan cekap. Deraf rubrik dan instrumen penilaian Bonda yang sediakan sebelum datang ke kolej matrikulasi, tapi editing (hasil daripada perbincangan) dibuat oleh pembantu Bonda. Tugas Bonda adalah menyemak editing nya sebelum diserahkan kepada boss.

Ingat ya! Jika kita serahkan/ arahkan orang bawah untuk laksanakan tugas, bimbingan perlu diberikan terutama bagi tugas yang baru, dan pantau hasil kerjanya kerana kita masih lagi bertanggungjawab atas kesempurnaan dan kelancaran pelaksanaan tugas itu.

Bagi sesuatu tugas baru (Bonda tiada pengalaman lagi), Bonda akan melaksanakannya dari A to Z termasuk tugas-tugas perkeranian supaya Bonda faham pelaksanaan tugas itu dari aspek teknikal. Bonda belum lagi jadi boss besar, bolehlah dapatkan pengalaman (hands on) teknikal. Bila dah jadi boss besar, lainlah strateginya pula.

Di sini Bonda membuat catatan Standard Operational Procedure (SOP) : Persediaan pelaksanaan mesyuarat/ perbincangan pemantapan rubrik dan instrumen PTK kaedah pencerapan.
Catatan ini sebagai satu panduan kepada pegawai baru untuk melaksanakan tugas yang hampir sama. Pengubahsuaian perlu dibuat sendiri.

Proses ini bermula selepas rubrik dan instrumen digubal buat kali pertama (deraf lagi).
  1. Edit dan selaraskan semua rubrik dan instrumen dalam nada yang sama. Untuk menjadikan ia senada, tugas itu hanya sesuai dilakukan oleh 1 orang saja. Jadi Bonda ambil task itu, lagi pun Bonda adalah desk officer nya.
  2. Bentang dan bincang dalam mesyuarat peringkat organisasi kita (dalam kes ni BPPK). Perbincangan disertai oleh boss-boss dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam task ini.
  3. Editing terakhir (hasil mesyuarat) dibuat.
  4. Sediakan/ plan jadual pelaksanaan mesyuarat/ perbincangan pemantapan secara terperinci seperti tarikh dan masa, jawatan yang akan dibincangkan bagi setiap slot, dan siapa yang perlu hadir dalam perbincangan bagi setiap slot.
  5. Sediakan secukupnya dokumen yang akan digunakan semasa perbincangan iaitu
  • sukatan PTK
  • rubrik dan instrumen
  • borang Akta Rahsia
  • senarai kehadiran
  • softcopy rubrik dan instrumen
  • pensil dan pemadam
  • kertas A4
  • Laptop dan LCD disediakan oleh pihak kolej matrikulasi.
Moral of the story: Sebagai desk officer bagi sesuatu task, kita mesti memahami pelaksanaannya di hujung jari.

Friday, May 28, 2010

Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

Itulah tajuk assignment yang wajib disiapkan oleh semua pegawai gred 41 dan 44 ofis Bonda (termasuklah Bonda). Tempoh 3 minggu diberikan untuk menyiapkannya. Aspek teknikal yang lain seperti saiz font, spacing, jumlah muka surat, tidak dinyatakan (terpulang kepada individu). Tulah penangan boss baru Bonda (Setiausaha Bahagian, baru 2 bulan berkhidmat di BPPK). Sekali air bah, sekali pasir berubah. Setiausaha Bahagian (SUB) merupakan orang yang paling atas dalam hiraki/carta organisasi pejabat Bonda. Dia adalah ketua jabatan Bonda. Dalam kata mudah, dia, boss besar Bonda.

Pada pandangan Bonda, tujuan boss mengadakan program itu adalah untuk:
  1. menggalakkan pegawainya membaca dan berfikir;
  2. melatih pegawainya dalam bidang penulisan penghujahan (bentuk akademik); dan
  3. mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Bonda bersetuju jugak dengan hasrat murni boss ni tapi .......... geram jugalah apabila assignment ni mesti disiapkan dalam tempoh 3 minggu kerana Bonda sedang sibuk yang teramat sangat dalam tempoh yang sama juga.
Tugas yang dalam kategori PENTING dan SEGERA:
  1. Menyiapkan instrumen dan rubrik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kaedah pencerapan Kolej Matrikulasi bagi 10 jawatan;
  2. Menyediakan deraf garis panduan PTK kaedah pencerapan Kolej Matrikulasi bagi calon dan penilai;
  3. Menyediakan permohonan kelulusan pakej hotel untuk mengadakan latihan (TOT) kepada penilai PTK kaedah pencerapan Kolej Matrikulasi; dan
  4. Menyediakan deraf modul TOT penilai PTK kaedah pencerapan Kolej Matrikulasi.

Walaubagaimana sibuk, tanpa sebarang alasan (boss tak suka dengar), terpaksa akur perintah boss (Rule #1: Boss always right). Bonda mesti tanamkan tekad, buat yang terbaik dan termampu (jangan mahu kesempurnaan kerana kita perlu tahu keutamaan tugas). Bonda mesti hantar sebelum date line. SUB sangat peka dengan date line (dia ingat apa yang dia suruh, "don't play-play"). Jika tidak patuh, bersedialah dengan surat tunjuk sebab. Justifikasi mesti mantap.

Selagi assignment ini tidak disiapkan, fokus Bonda kepada tugas-tugas lain akan terganggu. Assignment ni kehendak boss, sekiranya Bonda dapat menyiapkan sebelum date line, boss akan gembira dan reputasi Bonda turut meningkat. Bila boss senang hati, dapatlah Bonda mengecapi Keseronokan Bekerja. Ingat! Tugas kita sebagai pekerja, senangkan hati boss. (Keseronokan Bekerja merupakan salah satu nilai/tonggak dalam Tonggak 12. Semua penjawat awam mesti tahu, faham, hayati dan aplikasikan dalam menjalankan tugas seharian.)

Harus diingat, apabila boss beri tugasan, kita mesti drop everything and take action as soon as posibble (ASAP). Apabila boss menyuarakan hasratnya (yang berkaitan kerja ajelah), kita mesti cepat-cepat bertindak untuk merealisasikan hasratnya. Oleh itu sentiasa peka dengan perkataan-perkataan yang keluar daripada mulut boss. Itulah petua supaya kita disayangi, disenangi dan imej kita cemerlang pada pandangan boss.

Sehubungan itu, Bonda beredar dulu. Nak mulakan langkah pertama untuk menyiapkan assignment 'gangguan seksual di tempat kerja'.

Moral of the story: Tugas orang bawah adalah menyenangkan hati boss, penuhi kehendaknya selagi ia tidak melanggar perintah Allah.

Wednesday, May 26, 2010

Majlis Persaraan Timbalan Setiausaha Bahagian BPPK


24 Mei 2010 merupakan majlis persaraan boss Bonda (2nd top layer management) yang kedua sepanjang perkhidmatan Bonda sebagai penjawat awam. Majlisnya haruslah lebih grand daripada staf biasa-biasa. Boss yang Bonda maksudkan ialah Cik Hajah Rokiah bt. L. Abdullah. Jawatannya adalah Timbalan Setiausaha Bahagian (TSUB). TSUB merupakan jawatan kedua tertinggi dalam struktur organisasi Bonda iaitu Bhg. Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK). Sila rujukhttp://apps.emoe.gov.my/bppk untuk mengenalinya.

Selama 3 tahun 2 bulan Bonda berkhidmat dibawah pimpinan beliau. Secara peribadi, beliau seorang yang baik hati. Kemesraan dan keperihatinannya dengan staf seolah-olah tiada batasan sempadan antara boss dengan staf bawahan.


Sebagai pemerhati (bukan event manager), terdapat 3 events yang berlaku sepanjang hari tersebut.
Event 1: Majlis ucapan daripada boss (pengurusan tertinggi). Majlis ini dibuat dalam bentuk jamuan makan tengahari.
Lokasinya -- Dewan Utama, Aras 9 Blok E12, Parcel E, Putrajaya.
Lokasi yang dipilih paling sesuai berbanding dengan ofis Bonda dan kawasan sekitar (tempat dah free sebab warga KPM).
Tetamu Kehormat adalah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datin Dr. Asariah.
Jemputan Khas merupakan bekas pegawai dan juga boss BPPK yang pernah berkhidmat bersama beliau (yang berada sekitar KL, Selangor dan Putrajaya).
Semua staff BPPK yang masih ada (termasuklah cleaner) turut sama memeriahkan majlis itu.


Selain daripada makan-makan, tayangan video dan pemberian cenderahati ada jugalah. Frame gambar sendiri dan juga ayat-ayat ada diberi. Apabila Bonda nak bersara nanti, Bonda akan maklumkan kepada anak buah supaya usah diberi frame yang besar-besar sebab tiada lagi dinding untuk digantung. Nak buat bilik galeri dah tiada ruang di rumah. Bonda lebih suka sekiranya diberi gambar-gambar tu dalam bentuk custom album, macam album orang kahwin tu. Semenjak puteri Bonda berkecimpung dalam Wedding Photographer (http://inikaryakami.blogsopt.com), baru kenal makna custom album.
Sebagai buah tangan (tanda ingatan), TSUB memberikan semua tetamunya sebuah buku hasil nukilannya. Ni membuatkan Bonda terfikir, apa ya Bonda nak beri kepada semua staf/ sahabat Bonda apabila Bonda bersara nanti? UREKA!!! Bonda nak beri tabung siling yang cute-cute. Designnya sedang difikirkan.

Event 2: Majlis penyerahan tugas/nota serah tugas TSUB kepada bossnya, Setiausaha Bahagian (SUB).
Majlis ni dibuat di bilik mesyuarat kat pejabat BPPK. Simple aje acaranya.

Event 3: Majlis sending her off.
Bermula di tempat punch card. Selepas dia punch out pada hari tu (menandakan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai penjawat awam), kami semua beratur dan bersalaman hingga ke pintu keretanya. Beberapa orang pegawainya hantar hingga sampai ke rumahnya.

Moral of the stoy: Patah tumbuh, hilang berganti. Tapi yang pasti, pengganti tak sama dengan yang hilang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...