Apabila anak Bonda, Iffah nak berniaga, Bonda juga turut teruja untuk sama-sama berniaga. Kami saling memberi moral support to each other. Bonda mencari peluang dan cara mendapatkan pembiayaan bagi bisness. Apa yang perlu dilakukan adalah buka mulut, bertanya. Kerana tindakan itulah (buka mulut) maka Bonda mengenali Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Pada 13 Disember 2010, Bonda mengenali PUNB secara lebih dekat. Banyak informasi yang Bonda dapat hasil daripada lawatan Bonda. Ini yang Bonda nak share, mudah-mudahan ianya berguna buat anda.
Bonda ke sana ditemani oleh anak Bonda, Iffah. Rupa-rupanya PUNB sentiasa mengadakan walk in briefing pada setiap hari Isnin, jam 10 pagi. Jika mengikuti sepenuhnya, sampai lunch time jugaklah baru settle. Nasihat Bonda, sebelum pergi/ hadir taklimat, breakfast dulu. Jika tak, "kena anggaplah berpuasa pada ketika itu". Petikan pesanan penceramahnya. Best penceramahnya, tidak membosankan, kelakar gile. Nama penceramahnya adalah Encik Mohd Rasyidi Zainal. Parking kat-kat situ, RM4 perjam. Jadi bajet sendirilah macam mana cara ekonomikal untuk hadir.
PUNB adalah salah satu perbadanan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Satu lagi perbadanan di bawah YPB adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB). PUNB ditubuhkan pada 17 Julai 1992 dan mula beroperasi pada 2 Mac 1992.
Di awal taklimat, Encik Mohd Rasyidi Zainal bagi tau, bagi perniagaan yang baru nak dimulakan, ada 7 jenis peniagaan yang telah dibekukan permohonannya mulai tahun 2011. Sampai bila? Tak pulak diberitahu. Perniagaan tersebut adalah ...
- Restoran
- Kedai runcit
- Kedai dobi
- Kedai kek dan roti
- Kedai gambar
- Kedai buku dan alat tulis
- Futsa
Jadi, jika ada berhajat pada mana-mana yang di atas tu, kenalah cari alternatif lain. Bisness yang Bonda bercadang nak usahakan termasuk dalam salah satunya. Tapi jika nak kembangkan mana-mana bisness itu masih boleh memohon pembiayaan PUNB.
Kenapa dah bekukan permohonan? Sebabnya usahawan yang menjalankan bisness itu tidak menunjukkan daya maju yang baik. Dengan kata lain, bisness tu cepat buka, cepat juga tutupnya.
Bonda juga diberitahu, ada dua (2) perniagaan di luar skop PUNB, iaitu:
- Francais
- Pertanian 3M (Menanam, Menternak, Memelihara)
Syarat-syarat Permohonan
- Bumiputera dan umur tidak melebihi 50 tahun. Bagi yang telah melepasi had umur, masih lagi boleh memohon. Tapi kenalah buktikan bahawa diri tu sihat sejahtera dan dapatkan rakan niaga yang layak bagi syarat itu, contohnya pasangan atau anak.
- Menjalankan perniagaan sepenuh masa. Jika kita masih bekerja, janganlah terus berhenti kerja selagi permohonan kita belum diluluskan. Selepas borang permohonan dihantar, PUNB mengambil masa lebih kurang 2 hingga 3 bulan sebelum sebarang keputusan dikeluarkan. Jadi, apabila permohonan kita telah lulus, kita mestilah letak jawatan dan menjalankan bisness kita sepenuh masa.
- Mempunyai pengetahuan yang mencukupi. Pengetahuan tidak semestinya ditunjukkan pada sijil/ diploma/ sarjana akademik. Ia boleh dibuktikan daripada sijil-sijil kemahiran/ kursus pendek yang kita pernah hadiri. Ilmu pengetahuan adalah asas dalam semua perkara.
- Mempunyai kemahiran yang diperlukan. Jika kita nak buka kedai jahit, kita mestilah pandai menjahit. Kita tak bolehlah cuma jadi pengarah dan pengurus aje. Kenalah juga jadi kuli, tambah-tambah baru mula berniaga.
- Mempunyai pengalaman di dalam bidang yang diceburi. Kita boleh tunjukkan surat daripada majikan jika kita pernah bekerja dalam bidang yang sama.
- Menyediakan modal 10% daripada kos projek. Kos projek bermaksud kos yang diperlukan untuk memulakan perniagaan/ mengembangkan perniagaan. Kos yang diambil kira adalah kos yang diperlukan untuk beli stok, beli aset, modal pusingan, pemasaran dan lain-lain. Jika kita memohon pembiayaan untuk kembangkan bisness kita, 10% yang perlu disediakan boleh dikira daripada nilai stok dan aset yang kita ada. Sebab itulah sangat penting bagi kita mengetahui nilai stok yang kita ada. Jika kita tidak tahu atau tidak dapat menyatakan sistem yang kita gunakan untuk mengira nilai stok, sukarlah nak dapat pembiayaan perniagaan dari mana-mana institusi kewangan.
- Mempunyai rekod kewangan yang memuaskan. Semua perbelanjaan dan pendapatan perniagaan kita perlu rekodkan dengan terperinci, sistematik dan terkini.
- Mengemukakan rancangan perniagaan kepada PUNB. Dengan kata mudah, perlu serahkan kertas proposal. Format proposal yang diperlukan adalah
- 30 - 40 muka surat termasuk lampiran;
- Fakta;
- Data;
- Carta;
- Gambar;
- Ditulis dalam bentuk point form (simple, tepat dan padat).
Cara pembayaran balik:
- Tempoh 7 tahun
- kadar 5% setahun
Selain daripada memberi pembiayaan, PUNB juga menawarkan belian premis perniagaan dan menyewakan kepada usahawan dengan kadar tidak melebihi kadar pasaran. Dengan kata mudah, jika lokasi perniagaan kita tu bagus, strategik dan dibuka untuk jualan, kita boleh mencadangkan kepada PUNB untuk membelinya. Mungkin suatu hari nanti kita boleh beli premis itu daripada PUNB. Itulah caranya supaya Bumiputera dapat memiliki premis perniagaan.
PUNB juga ada program khas untuk siswazah. Ada dua (2) program iaitu
- Skim siswazah perintis;
- Skim PROSPER siswazah;
Syarat untuk menyertai program ini adalah
- Bumiputera dan berusia kurang daripada 30 tahun;
- Mempunyai ijazah atau diploma atau sijil tahap 2 (mempunyai sesuatu kemahiran);
Dua (2) juga je yang penting bagi Bonda untuk diingat.
Untuk skim siswazah perintis, ianya macam program sangkut. Contohnya kita nak buka kedai jahit baju. Kita mestilah sekurang-kurangnya pandai menjahit (mempunyai kemahiran menjahit). Yang kita tak tahu cuma bagaimana nak mengurus kedai jahit kita dan mengembangkan lagi perniagaan (bukanlah kita seorang aje tukang jahit. Naik pangkat jadi taukeh kedai jahit lah pulak). Jadi kita join skim/program ini. PUNB akan menempatkan kita di sebuah kedai jahit selama lebih kurang enam (6) bulan. Kita akan belajar secara hands on bagaimana mengurus sebuah kedai jahit. Semasa kita dok belajar ni, PUNB akan beri elaun bulanan kepada kita. Tiga (3) bulan pertama, kita akan diberi RM800 sebulan, dan tiga (3) bulan berikutnya kita akan mendapat elaun RM1,000 sebulan. Bila selesai program sangkut kita tu, dan kita seorang pelajar yang baik dan cemerlang, Bonda berani jamin yang PUNB akan meluluskan permohonan pembiayaan perniagaan kita dengan mudah. Pelaburan daripada kita siswazah ni cuma RM500 saja untuk mulakan perniagaan. Lain-lain PUNB dahulukan.
Satu lagi, skim PROSPER siswazah. Ini bagi siswazah yang sudah mulakan bisness sekurang-kurangnya tiga (3) bulan. Pinjaman yang diberi antara RM5,000 hingga RM110,000. Jika bisness tu kita buat sorang-sorang (persendirian), had maksimum pembiayaan RM50,000. Jika nak lebih, dapatkan rakan niaga. PUNB boleh beri maksimum RM100,000 (untuk perkongsian). Pembayaran balik dalam tempoh 3 hingga 7 tahun. Kadarnya 3% setahun. Modal permulaan daripada kita juga RM500 sahaja.
Itulah serba sedikit yang dapat Bonda coretkan. Nak tahu lebih-lebih, pergi sendiri ke Tingkat 9, Blok 1B, Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur Sentral.
Infoline : 03 2785 1577