Thursday, September 20, 2012

Magnet Diri



Segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Salam buat anak-anak Bonda serta rakan taulan.

Berkawan biarlah seribu, berkasih hanya satu. Pelbagai maksud dapat anda terjemahkannya dan semuanya betul daripada sudut pandangan yang berbeza. Alangkah bagus dan cantiknya sekiranya kita dapat tanamkan dalam diri dan minda, berkasih hanya satu iaitu kepada Yang Maha Esa.

Apa yang akan Bonda utarakan seterusnya adalah bagaimana kita dapat berkawan dengan beribu orang. Tip ini Bonda kutip melalui bacaan akhbar dan juga menonton tv. Jadi di sini Bonda mahu berkongsi catatan tentang bagaimana kita dapat membuatkan diri kita senang didekati secara ikhlas.




Ingat ya, adalah lebih mudah bagi kita mengubah diri kita daripada kita mengubah orang lain untuk menerima kita. Atas sebab itulah kenapa Bonda menggunakan frasa "dapat  membuatkan diri kita ..." Kenapa kita mahu diri kita senang didekati? Dan secara ikhlas pulak tu? Kita hidup di dunia saling memerlukan dan bersosial adalah salah satu keperluan. Bonda pasti anda juga tidak mahu mempunyai sahabat yang berpura-pura, mahu ambil kesempatan, berkawan dengan kita kerana mempunyai agenda yang tersendiri. Sebab itulah keikhlasan amat penting. Sebelum orang lain ikhlas dengan kita, kita mestilah terlebih dahulu ikhlas dengan dia.

Tip 1: Fahami orang lain
Asas perhubungan adalah fahami orang lain. Kenapa perlu fahami orang lain? Anda dapat fikirkan 
alasannya? Lebih mudah bagi kita menerima dia jika kita fahami dia. Bagaimana cara nak fahami mereka? Fahami orang atau kumpulan orang yang kita mahu berkomunikasi dari sudut umur, gaya hidup, dan siapa mereka. Selepas itu berkomunikasilah dengan mereka mengikut kesesuaian daripada tiga (3) aspek itu.

Tips 2: Aware Dengan Undang-Undang Kemanusiaan
Semasa kita berkomunikasi atau bersosial, kita perlu ingat lima (5) perkara berikut:
  1. Semua orang mahu dihargai. Jadi hargailah mereka seikhlas yang mungkin. Tunjukkan tanda-tanda kita menghargainya seperti memberi kata-kata pujian.
  2. Semua orang mahu dirasai dirinya berguna. Bonda akan rasa berguna jika sekiranya Bonda dapat menyumbang sesuatu. Anda, bagaimana pulak? Pada pandangan Bonda, jika kita mahu mereka rasa dihargai, beri mereka tugasan untuk dilaksanakan.
  3. Semua orang mahu dikenali kerana kebaikan mereka. Walau beribu perkara atau sebab yang anda tidak mengukainya, carilah satu kebaikannya walau sekecil zarah. Fokuslah kepada kebaikan itu.
  4. Semua orang mahu merasa dirinya penting. Luahkan penghargaan kita pada mereka. Kehadiran mereka memberi makna kepada diri kita.
  5. Tiada orang yang mahu pujian yang tidak ikhlas. Keikhlasan adalah asas segalanya. Keikhlasan tidak perlu disebut-sebut. Ia terpancar daripada perbuatan kita.Berapa lama kita dapat berpura-pura ikhlas?

Tips 3: Buktikan Dengan Tindakan
Ilmu yang dipelajari perlu diteruskan dengan tindakan atau amalan.

Orang berbudi, kita berbahasa. Jika orang tak berbudi pun (biadap) kita seharusnya tetap 
berbahasa. Lembut tidak bermakna lemah. Jangan kita merendahkan maruah kita dengan ikut sama 
jadi biadap seperti dia.

Buktikan kita memerlukan mereka. Cakap aje tak guna, buktikan. 

Ingat hari-hari penting mereka. Dengan mengingati hari penting mereka, itu yang membuatkan mereka terharu dan cair. Ingat tarikh lahir dah jadi kebiasaan. Itu tak dapat mencairkan hati mereka. 
Cari tarikh-tarikh lain yang jarang orang ingat, seperti tarikh ulang tahun perkahwinan, tarikh dapat anak pertama, itulah yang membuatkan kita istimewa kepada mereka.

Ziarahi mereka. Eratkan silaratulrahim dengan berkunjung. Itu juga digalakkan dalam Islam. Mungkin satu cara adalah dengan memenuhi undangan mereka. Jika mereka sakit, kita juga seharusnya dapat menziarahi mereka. Tapi dalam bab-bab sakit pening ni, orang agak sensitif sikit. Ada sesetengah tu tak suka dilawati sewaktu mereka sakit. Jadi merisiklah dulu, dapatkan maklumat.

Jadilah pemurah, bukan kedekut. Pemurah tidak bermakna dari segi wang ringgit saja. Apa-apa sahaja yang kita dapat hulurkan bantuan seperti tenaga tulang empat kerat, itu dah dikira pemurah. Jika orang dalam kesusahan, jangan ditanya apa yang kita dapat bantu dia. Fikir dan letakkan diri kita dalam situasinya,barulah kita dapat jawapan apa yang diperlukannya.


Bonda rasa cukuplah setakat ini dulu. Insya Allah di lain waktu kita sambung bicara.

Wednesday, June 27, 2012

Sajak Pertamaku

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.  
Salam sayang buat anak-anak Bonda. Hari ini (27 Jun 2012) dalam sejarah apabila Bonda dapat mengarang sajak pertama Bonda. Rasa-rasa belum pernah tulis sajak lagi. Entahlah apa jadinya, betul ke salah? Tiada guru yang dapat dirujuk. Hentam sajalah Labu ...
Apa yang membuatkan atau menyebabkan Bonda tulis sajak ni? Ni semua gara-gara mahu memenuhi hasrat atau hajat bos. Bos Bonda sememangnya penuh dengan idea. Habis semua stafnya perlu mengarang sama ada sajak atau cerpen. Bonda pilih sajak sebab cepat sikit selesai. Bos Bonda buat semua ini sebagai sokongannya ke atas dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Selesai cipta pantun, keluar pulak arahan yang ini. Sabar ajelah. 
Walaupun masa diberi sebulan untuk kemukakannya, idea sukar nak datang. Sambil-sambil memandu ke pejabat, terlintas nak pilih tema ni dan dapatlah juga bait-baitmya. Sebaik sampai kat pejabat, terus aje menulis dan menyiapkannya. Hari ni jugak Bonda hantar kepada bos. Tarikh tutup adalah pada 29 Jun 2012. Inilah sajak nukilan Bonda. Anda sendirilah menilainya, hasil daripada guru sains.
Tajuk: DIA YANG KU SAYANG
Mengetuk-ngetuk mukamu dengan jejari manisku
Memberikan aku suatu keseronokan
Menyelak-nyelak helaianmu dengan kerakusanku
Mempercepatkan pencarian maklumat
Mengepit dirimu ke sana dan ke sini
Mengurangkan bebanan rujukanku
Adanya engkau di sampingku
Membuatkan hidupku lebih ceria
Terima kasih Ya Allah 
atas anugerahMu kepada penciptanya
Dan memberi aku kemampuan memilikinya
Itulah pembantu peribadiku, iPad.
27 Jun 2012 BPPK

Sunday, June 17, 2012

iPad Pembantu Peribadiku

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.  
Salam buat anak-anak Bonda.
Hari ini (15 Jun 2012) Bonda rasa sungguh seronok kerana berjaya hantar Minit Curai dengan menggunakan iPad. First time buat dan berjaya pulak tu. Eh! Kurang faham apa tu Minit Curai? Minit Curai itu lebih kurang macam laporan. Kita maklumkan kepada bos kita apa yang dibincangkan dalam mesyuarat luar yang dihadiri dan kita hadir sebagai wakil daripada organisasi kita. Apa yang penting dalam Minit Curai itu adalah apakah tindakan yang perlu diambil oleh organisasi kita hasil daripada mesyuarat itu. 
Bunyi macam Bonda ni kolot sikit sebab excited dapat hantar catatan pada iPad dengan menggunakan emel. Memang pun. Semasa dalam mesyuarat Bonda dah mula menaip dan mengemas-ngemas catatan Minit Curai. Ini Bonda lakukan semasa pengerusi terkeluar topik perbincangan. Dengan ini kepala otak Bonda kuranglah terbeban sikit dengan tugasan yang perlu disiapkan.
Satu perkara lagi yang membuatkan Bonda excited adalah dapat guna aplikasi To Do List yang sangat best. Bonda mencari-cari dalam "App Store" suatu aplikasi yang dapat Bonda tuliskan apakah tugasan yang perlu diselesaikan. Akhirnya Bonda berjumpa dengan aplikasi ini. Bonda taipkan apakah tugasannya, berikan tarikh due dan tentukan tahapkeutamaannya. Selepas itu secara automatik tugasan itu disusun mengikut keutamaannya. Aplikasi itu siap kirakan berapa hari lagi yang tinggal bagi setiap tugasan. Setelah tugasan selesai, Bonda tandakan tik dan ia berada di bawah list tugasan dengan remark telah selesai. Aplikasi yang Bonda maksudkan adalah "Easy Note". Jika anda nak carinya dalam App Store, ia terletak di bawah kategori Productivity.
Semenjak dua menjak ni, Bonda bila hadir mesyuarat, simple aje. Bonda cuma bawa iPad, iPhone dan sebatang pen aje ke mesyuarat. Cukup mudah. Itulah pengalaman Bonda sedikit sebanyak dengan iPad. So cukuplah dulu buat setakat ini. Jumpa lagi di lain waktu.

Sunday, June 10, 2012

Kenapa IPad2 jadi pilihan

Segala puji dan syukur ke hadrat Allaha S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.w serta ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.
Inilah percubaan pertama Bonda menulis post dengan menggunakan iPad. Baru beli semalam kat Mines shopping fair. Konsultan Bonda adalah anak-anak Bonda, Iffah, Eg, Izzah & Akie. "Terima kasih kerana menemani Bonda". Sekarang Bonda perlulah membiasakan diri menggunakan iPad ini supaya berbaloi dan hajat Bonda tercapai. Tujuan utama Bonda beli ni untuk membantu Bonda dalam melaksanakan tugas-tugas ofis. Mudah-mudahan Bonda dapat update Pena Bonda dengan lebih kerap lagi.
Bonda beli iPad yang paling rendah sekali harganya iaitu RM1,499. Ia cuma ada Wi-fi aje. Bonda perlukan skrin besar untuk membaca e-book dan menaip terutamanya post untuk Pena Bonda. Skrin IPhone Bonda dah jadi kecik, cukup sekadar untuk baca mesej aje. Itulah tanda-tanda orang dah nak masuk 5Siri. Jika dapat, Bonda nak iPad ni berfungsi macam laptop iaitu dapat menaip-naip kerja ofis. Bonda still mencari-cari lagi fungsinya yang macam tu. Best kalau dapat macam tu sebab laptop yang Bonda ada, baterinya cepat habis. So agak lecehlah juga nak pasang-pasang plugnya.
Bonda rasa cukuplah dulu setakat ni. Insya Allah kita jumpa lagi di lain waktu.

Friday, April 20, 2012

Aktiviti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Salam buat rakan taulan dan anak-anak.
Terima kasih kerana sudi datang menjenguk Bonda. Lama betul Bonda menidurkan diri dalam Pena Bonda ini, maaf ya. Malaslah nak celoteh panjang-panjang. Kali ni Bonda nak cerita satu perkara aje, gosip pejabat. 

Penat jugak melayan kehendak bos yang banyak idea. Sebagai tanda sokongannya kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), beliau mengarahkan semua pegawai dan kakitangannya (termasuk dirinya) menghasilkan pantun empat kerat sebanyak 10 rangkap. Tempoh yang diberinya, tidak sampai sebulan. Pantun-pantun ini akan dibukukan sebagai bukti pelaksanaan aktiviti MBMMBI di organisasinya pada tahun 2012. Oleh itu, pantun mestilah ciptaan sendiri. Tension jugaklah jadinya. Hampir semua orang bercakap dan bertanya tentang status penyediaannya.

Hari ni, tarikh akhir penghantaran pantun-pantun itu. Bonda hantar pantun ciptaan Bonda pada hari terakhir. Siapnya awal lagi tapi simpan dulu takut kalau-kalau sempat sedapkan lagi bunyinya. Tapi tak sempat kerana tugas teras yang mendesak dan menimbun. 

Sebelum Bonda kongsikan pantun ciptaan Bonda, Bonda kongsilah dulu sedikit panduan mencipta pantun yang sempat Bonda temui. 
Jika nak cipta pantun, pertama sekali, tulis maksudnya iaitu isi pantun. Lepas tu barulah tulis pembayang. 
Pantun empat kerat adalah bentuk puisi yang terdiri atas empat baris yang bersajak bersilih dua-dua (pola ab-ab). 
Dua baris pertama disebut pembayang dan dua baris berikutnya disebut isi pantun. 
Setiap rangkap pantun akan menjadi lebih cantik dan kemas sekiranya bilangan perkataan dalam setiap baris adalah 4 perkataan saja.
Pantun yang baik mempunyai 8 hingga 12 suku kata sahaja bagi setiap baris.
Seeloknya kita membuat topik atau ada tema terlebih dahulu sebelum mula mengarang pantun.
Contoh 1:
Cantik sungguh si burung merak
Terbang rendah di waktu petang
Jika sampah dibiarkan berserak
Penyakit diundang masalah datang.

Contoh 2:
Daun nipah jangan diarak
Bawa ke ladang di waktu petang
Jika sampah dibiarkan berserak
Penyakit diundang masalah datang.

Tips-tips ni Bonda dapat kat Menjana Minda Positif  dan juga di Teh Ramuan

Inilah pantun ciptaan Bonda.
Sungguh berkuasa si burung hantu
Takluki malam bersama unggas
Amalkan sentiasa tepati waktu
Itu tanda serious bertugas.

Kabil Latif budak aktif
Abangnya Kamal jadi pengawal
Ambil inisiatif jadi proaktif
Perlu diamal sejak awal.

Dalam pantang pakai stokin
Lantai licin tersungkur jatuh
Cakap mesti serupa bikin
Itulah ciri pekerja contoh.

Duduk merenung di tepi tingkap
Sambil makan buah rambutan
Kerja beres fail lengkap
Pengurus cekap jadi sebutan.

Hanya jauhari kenal manikam
Sayangnya jauhari kian hilang
Sukakan ilmu buat tindakan
Minda berkembang prestasi cemerlang.

Makan nasi guna tangan
Makan bersama atas beranda
Jujur ikhlas jadi pegangan
Itu hasrat pelanggan anda.

Tinggi sangat ke Gunung Daik
Penat memanjat berhari-hari
Tugas dibuat sehabis baik
Harus disemat dalam diri.

No plastic bag hari Sabtu
Sila bayar jika perlukan
Tawarkan diri untuk membantu
Itu tanda satu pasukan.

Harga murah harga kilang
Itu kata media massa
Bekerja dengan sikap cemerlang
Pesanan ibu sepanjang masa.

Cantik sungguh Puteri Bongsu
Tapi sayang dan bertunang
Jadi kreatif penyelesai isu
Bos gembira kita senang.

Seingat Bondalah ni lah yang paling banyak pantun yang Bonda cipta. Lega apabila semua dah selesai. Okaylah, cukuplah setakat ini dulu. Lain kali cerita lagi.

Sunday, January 15, 2012

Pengalaman Bermesyuarat Bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Salam buat rakan-rakan dan anak-anak Bonda.
Terima kasih kerana masih sudi menjenguk Bonda di Pena-Bonda. Hanya ucapan kemaafan yang mampu diucap berkali-kali kerana sering tidak dapat menepati janji sendiri. Janji dan tekad Bonda untuk sentiasa up date cerita, dapat dua (2) kali seminggu pun dah cukup baik bagi Bonda. Tapi ...

Okaylah berbalik kepada story Bonda pada kali ini. Bonda seboleh-boleh mahu merakam dan mengabadikan pengalaman pertama kali dalam sesuatu perkara. Hal ini kerana pengalaman kali pertama mempunyai banyak cerita pahit, manis dan masamnya (3 rasa). Masih ingat cerita Bonda menyediakan Kertas Kerja Buat Dato' Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia? Minat nak tau sambungan cerita itu? Part 2 cerita itu adalah tentang pembentangan kertas kerja itu di depan Dato' Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM).

Bonda tidak berpeluang buat pembentangan itu. Pembentangan sepatutnya dibuat pada 21 Disember 2011 (Rabu) pukul 2.30 petang dalam suatu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Seri KPPM. 
Kenapa? Apa dah berlaku? Kerana pengerusi mesyuarat tidak bersetuju dengan cara pengendalian mesyuarat. 
Sekadar makluman, inilah kali pertama Bonda menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Seri KPPM. Pernah juga dengar-dengar cerita, jika hadir dalam mesyuarat yang dipengerusi oleh Dato' Seri KPPM, perlu bersedia dengan fakta dan data, hujah mesti disokong dengan data. Seram mendengarnya kerana takut gagal menyakinkan pengerusi. 

Banyak yang Bonda pelajari daripada mesyuarat kali pertama ini. Bonda harap dan berdoa, apa yang akan Bonda perkatakan, tidak disalah anggap oleh mana-mana pihak. Tujuan Bonda hanya sebagai suatu pengajaran. Yang baik dijadikan pengajaran (the Do's), Yang kurang baik tu dijadikan sempadan (the Don'ts). Selain daripada pengalaman sendiri, kita juga perlu belajar daripada pengalaman orang lain. Ambil iktibar daripada kesilapan orang lain dan diri sendiri. Itulah prinsip Bonda. Sebab tulah Bonda suka nak tahu dan ambil tahu bagaimana orang lain melaksanakan sesuatu perkara sebelum Bonda melakukannya.Sorry lah kerana agak meleret, tapi objektifnya mahu anda faham dan jelas tujuan penulisan ini.

Mesyuarat yang Bonda hadiri adalah Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Staf (JIPS) Kementerian Pelajaran Malaysia. Mesyuarat kali pertama bagi Bonda dan juga bagi Dato' Seri KPPM. Ini kerana dalam ucapannya, dia menyatakan, satu (1) tahun dia menunggu untuk mempengerusikan mesyuarat ini. Mungkin pada tarikh-tarikh sebelum ini, tarikh mesyuarat bertembung dengan tugas rasmi beliau yang lain. Oleh kerana ini kali pertama, Dato' Seri KPPM menyatakan:
  1. Kepentingan Mesyuarat. Mesyuarat ini wajib diadakan dan ia penting bagi semua bos besar (Ketua Jabatan) di semua Bahagian KPM dan bos-bos besar di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk hadir dalam mesyuarat ini. Dato' Seri KPPM mahu mesej yang disampaikan dalam mesyuarat, sampai kepada semua (akar umbi);
  2. Tumpuan Mesyuarat. Mesyuarat bertumpu kepada Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bagi warga KPM. Bagi Dato' Seri KPPM, kursus dan latihan amat penting. Oleh itu perbincangan mesyuarat akan berfokus kepada empat (4) perkara utama iaitu Merancang apa yang akan dibuat, Melihat dan Mengumpul sumber yang ada, Bagaimana nak dilaksanakan, dan yang terakhir Menilai keberkesanan program latihan atau kursus yang dijalankan.
  3. Matlamat Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP). LDP bermatlamatkan meningkatkan kapasiti anggota (capacity building).
Hasrat Dato' Seri KPPM:
  1. Mesyuarat JIPS juga membincangkan perkara how to deal with incompetency.
  2. Dalam membuat perancangan kursus atau latihan, ianya dimulakan dengan outcome, selepas itu barulah cerita tentang kursus. Jangkauan kursus atau latihan juga perlu dinyatakan (golongan yang patut diberi latihan).
  3. Pegawai Latihan mestilah pegawai yang betul-betul tahu mengendalikan urusan latihan. Jika tidak tahu, kena belajarlah, cari maklumat. Setakat pengetahuan asas bagaimana nak menguruskan latihan, Bonda rasa info tu dapat dicari daripada internet. Lebih-lebih daripada itu, elok jugalah Pegawai Latihan diberi kursus.
  4. Pengurusan latihan di setiap organisasi tidak diserah kepada pegawai yang bermasalah atau kurang diperlukan (mungkin disebabkan sikap pegawai).
  5. Setiap bos menamakan Pegawai Latihan dan pegawai itu hadir bersama bos dalam mesyuarat JIPS.
  6. Pegawai Latihan menjadi contact person antara organisasi itu dengan urus setia mesyuarat JIPS.
Begitu panjang lebar Dato' Seri KPPM menyampaikan amanatnya. Ada lapan (8) pembentangan dalam mesyuarat itu (berdasarkan agenda mesyuarat), pembentangan Bonda yang terakhir. Hanya satu (1) pembentangan sahaja yang dapat dibuat. Itupun dijalankan sebelum Dato' Seri KPPM hadir. Mesyuarat dimulakan tanpa kehadirannya tapi dengan izinlah. Dato' Seri tenguk jugalah slide pembentangan pertama. Tidak mencapai hasratnya (Bonda agaklah) sebab itulah pembentangan yang lain ditangguhkan dan mungkin perlu disesuaikan berdasarkan hasrat pengerusi.

Satu perkara yang ditegur oleh Dato' Seri KPPM, pihak urus setia tidak datang menemui beliau iaitu tidak memberi taklimat ringkas tentang perjalanan mesyuarat sebelum mesyuarat dijalankan. Jadi perkara ini perlu diambil ingatan (juga apa yang Bonda pelajari ketika bertugas di pejabat) iaitu sekiranya kita adalah pihak urus setia, sebelum mesyuarat, kita perlu berbincang dengan pengerusi tentang perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat. Ini supaya tiada salah faham dan silap tafsiran. Kita juga dapat selaraskan kehendak bos @ pengerusi mesyuarat agar objektif mesyuarat tercapai. Dapat sokongan bos terlebih dahulu. 

Selesailah sudah cerita pengalaman Bonda menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Seri KPPM. Sebelum diakhiri post ini, Bonda nak buat catatan peribadi sikit. Cerita tentang penyediaan slide pembentangan Bonda. Masuk aje ofis pada pagi Isnin tu, Bonda cepat-cepat hantar slide itu secara emel kepada 2nd and top bos Bonda. Untuk top bos, Bonda serahkan juga salinan hardcopy untuk memudah dan mempercepatkan bos menyemaknya. Hasilnya, kedua-dua bos terima dan meluluskan hasil kerja Bonda tanpa sebarang pindaan. Syoknya. Jadi tercapailah target Bonda untuk menyerahkan slide itu kepada pihak urus setia mesyuarat pada hari Isnin. Kawan Bonda yang ditugaskan menyediakan slide pembentangan untuk kertas makluman kedua daripada organisasi Bonda, tidak dapat menyiapkannya pada tarikh yang ditetapkan. Bonda bangga dengan pencapaian diri sendiri. Bonda catat semua ini sekadar mahu menaikkan semangat dan motivasi kerja Bonda kerana ia sering turun naik. Sebagai ingatan, bos perlu dimaklumkan dan kelulusannya perlu diperolehi sebelum kita teruskan langkah selanjutnya. Tahu di mana kedudukan kita sebagai kakitangan dan hormati kedudukan bos, petua untuk mudah bekerja bersama bos.

Oleh itu, kita jumpa lagi di lain waktu. Bonda minta jutaan maaf sekiranya ada yang tersinggung. Jumpa lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...