Tuesday, September 20, 2011

Demokrasi Berparlimen Amalan Malaysia


Entri ni Bonda anggap sebagai cerita ringan-ringan buat anak-anak Bonda yang telah lama meninggalkan alam persekolahan, Sekolah Menengah. Bila tiba bulan Ogos dan September, cerita-cerita kemerdekaan dan kenegaraan seharusnya menjadi antara topik perbualan.

 
Tahukah anda, sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia mengamalkan Demokrasi Berparlimen. Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat dapat melibatkan diri dalam sistem pentadbiran negara. Betul. Rakyat berpeluang membentuk Kerajaan. Caranya melalui pilihanraya. Rakyat bebas memilih perwakilan. Maksudnya, anda sebagai rakyat Malaysia dapat memilih siapakah orang yang anda mahu wakilkan diri anda dalam menentukan pentadbiran negara. Terpulang kepada anda, rakyat Malaysia untuk menyokong, mengekalkan atau menukarkan Kerajaan sedia ada melalui pilihanraya. Oleh itu pastikan anda telah mendaftar sebagai pengundi (bagi yang berumur 21 tahun ke atas) dan jalankan tanggungjawab anda apabila tiba masanya.

Itu menjelaskan maksud demokrasi. Demokrasi Berparlimen bermaksud demokrasi yang ada parlimen lah, maksud yang paling asas. Parlimen Malaysia adalah lambang struktur demokrasi Kerajaan. Parlimen Malaysia adalah badan penggubal undang-undang tertinggi negara. Ia terdiri daripada tiga (3) komponen utama iaitu
1.  Yang Di-Pertuan Agong;
2.  Dewan Negara;
3.  Dewan Rakyat;

Perlembagaan Malaysia menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Cerita tentang Yang Di-Pertuan Agong pernah Bonda cerita.  Dewan Negara berperanan merangka rang undang-undang. Manakala Dewan Rakyat pula berperanan sebagai tempat untuk membahaskan rang undang-undang.


Sebelum penubuhan Malaysia (16 September 1963), Parlimen Malaysia dikenali sebagai Parlimen Persekutuan Tanah Melayu. 
 
Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur. Pada ketika itu, seramai 38 Ahli Dewan Negara dan 104 Ahli Dewan Rakyat telah mengangkat sumpah. Pada Parlimen Kedua Belas, keahlian Dewan Negara telah berubah kepada 70 ahli dan 222 ahli bagi Dewan Rakyat.

Rujukan:
http://www.parlimen.gov.my
http://notapismp.blogspot.com
http://pengajianamstpm3202.blogspot.com

Bonda memilih untuk membuat sedikit bacaan berkaitan Demokrasi Berparlimen setelah mendengar ceramah bertajuk Sejarah Kemerdekaan yang disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

 Ceramah itu telah diadakan pada 14 September 2011 di ofis Bonda. Aktiviti ini adalah sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia. Seronok dengar ceramahnya, macam berada dalam kelas sejarah. Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam adalah bekas profesor di Universiti Malaya. Kemudian beliau dilantik menjadi Rektor Kolej Yayasan Melaka (2006 -2009). Beliau seorang pakar sejarah. Beliau telah menulis lebih kurang 32 buah buku. 

 
Apabila Bonda membaca komen-komen yang kurang menarik tentang diri beliau dalam beberapa blog, kasihan kat dia. Bagi Bonda yang mendengar ceramahnya (setakat ni baru sekali), Bonda tidak merasakan ada agenda lain di sebalik ceramahnya. Bagi Bonda, beliau ikhlas dalam penyampaiannya dan bercakap berdasarkan ilmu, pembacaan dan kajian. Itu pandangan Bonda, terpulang kepada anda untuk bersetuju atau tidak.
So, jumpa lagi di lain entri. Apa yang penting, anda faham maksud Demokrasi Berparlimen amalan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...