Saturday, May 30, 2015

Kenali Aib Diri

Assalamualaikum & salam sejahtera buat anak-anak mama.

Kenal aib diri adalah suatu kewajiban. Kenapa nak kenali aib diri? Nak bersihkan hati. Kenapa nak bersihkan hati? Nak jumpa @ kembali kepada Allah dengan hati yang sejahtera, nafsu yang tenang.

Bagaimana nak bersihkan hati?
1). Kenal pasti di mana kekotorannya. Apa aibnya.
Berperasaan cantik, berperasaan baik, adalah punca tertutup hijab kepada keaiban diri.

2). Kenali dosa kita.
Banyaknya dosa kita. Sekiranya dosa itu berbau, pasti tiada orang yang mahu dekati kita. Dengan mengenali dosa kita, kita akan merasai kejahilan kita. Rasa tidak berilmu adalah rasa orang yang berilmu.

Petanda orang yang kenal aib diri sendiri:
1). Tidak merasa diri, lebih baik daripada orang lain.
Penyakit takbur dielakkan.

2). Tidak sibuk memperkatakan aib orang.

3). Segera melakukan ibadah.

Bagaimana nak kenal aib diri?
1). Mesti melalui pimpinan & didikan guru yang murshid.
Guru yang murshid bermaksud guru yang ada pandangan mata hati. Guru ini dapat mengesan kelemahan diri kita. Dia bukan saja sampaikan ilmu tapi juga tarbiah.

2). Mesti ada sahabat yang soleh.
Sahabat yang tahu kelemahan kita tapi masih mahu berkawan dengan kita. Sahabat yang dapat beri teguran dengan kasih sayang. Tegurannya memberikan kita rasa bersalah. Dia bukan saja dapat beri teguran tapi juga mendoakan kita tanpa pengetahuan kita.

3). Dengar kritikan daripada musuh-musuh kita.
Kita perlu bezakan kritikan yang benar.

4). Bergaul dengan masyarakat.

Tanda Allah nakkan kebaikan daripada seseorang adalah dengan memberi ilmu yang bermanfaat.

Dengan ilmu itu, kita semakin kenal aib kita. Itulah tanda ilmu yang bermanfaat.

Inilah catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 30 Mei 2015.

Friday, May 23, 2014

Langkah 1 Penulis

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Assalamualaikum.

Hari ni (22/5/2014) ialah hari kedua Bonda berkenalan dengan Encik Mohd Zubil Bahak daripada Universiti Teknologi Malaysia. Encik Mohd Zubil Bahak ialah salah seorang penceramah dalam Kursus Komunikasi dan Penulisan Berimpak Tinggi di INTAN Kluster Inovasi. Dia memberi bimbingan atas tajuk Menjana Idea & Mengurus Maklumat dalam Penulisan. Secara mudahnya dia berkongsi pengalaman dan memberi bimbingan bagaimana menjadi seorang penulis. Tip yang diberi bukan sahaja tentang penulisan tetapi tentang 3 perkara ni iaitu
1. Membaca secara aktif;
2. Membaca secara pantas;
3. Memfokus.

Kalau nak jadi penulis, kita perlu menulis hari-hari (setiap hari!). Tip ni Bonda juga pernah dengar daripada orang lain sama ada dari Malaysia dan juga luar negara (mat saleh). Apa yang saya nak tulis?

Tulislah perkara/ benda/ subjek yang kita suka/ minat. Paling mudah, tulis apa yang kita buat hari-hari. Catatan jurnal/ diari/ luahan rasa kita pada hari itu. Dalam sehari, banyak aktivit yang kita alami. Antara aktiviti tu, mana yang terkesan dihati? Itulah yang ditulis. Tulis aje 5 ayat tentang peristiwa itu. Lakukan setiap hari. Inilah yang Bonda sedang usahakan, melatih diri menulis hari-hari. Semoga ALLAH memberi kekuatan untuk meneruskannya. Tapi yang penting untuk kita meneruskan aktiviti menulis ni (setiap hari) ialah matlamat. Kenapa kita menulis? Kenapa nak jadi penulis?

Kata Iman al-Ghazali: "kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis!" Bonda ni bukannya siapa-siapa untuk dikenali dan diingati apabila Bonda mati nanti. Berapa hari sangatlah orang akan ingat dan nak dikaitkan dengan siapa-siapa pun tak ada. Jadi jawapannya Bonda akan hilang daripada sejarah dengan kematian Bonda. Pepatah Melayu ada menyebut, "harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama." Kenapa orang nak ingat nama kita?

Orang akan ingat nama kita sekiranya kita ada sumbangan kepada manusia/ masyarakat. Itulah mesej yang mahu disampaikan oleh Iman al-Ghazali. Penulisan ialah suatu sumbangan. Alangkah cantiknya jika penulisan kita itu dapat memberi sumbangan yang bermanfaat kepada manusia. Pahalanya berterusan hingga ke akhirat. Apabila meninggalnya seseorang anak Adam, maka terputuslah dia kecuali 3 perkara iaitu:
1. Doa daripada anak yang solleh;
2. Ilmu yang dimanfaatkan;
3. Sedekah jariah.
Oleh itu, marilah sama-sama bertekad untuk merebut peluang dapatkan pahala daripada ilmu yang dimanfaatkan. 

Cukuplah dulu buat kali ini. In sya ALLAH Bonda akan sambung lagi di lain waktu.

Wednesday, May 21, 2014

Kursus Percuma Penjawat Awam

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.

Subhanallah, Alhamdulillah. Syukur ke hadrat ALLAH Taala. Gembiranya Bonda pada hari ini (21/5/2014). Hari ni Bonda menghadiri kursus di INTAN Cluster Inovasi. Dulu dikenali sebagai INTAN Wilayah Tengah. 

Tajuk kursus adalah Kursus Komunikasi dan Penulisan Berimpak Tinggi. Kursus ni selama 3 hari. Hari ni baru hari pertama tapi Bonda rasa sangat bersyukur kerana dapat menghadirinya. Topik yang dibincangkan pada hari ini adalah
1. Komunikasi Strategik oleh Pn Suzana Ibrahim;
2. Menjana Idea & Mengurus Maklumat dalam Penulisan oleh En Mohd Zubil Bahak

Pengisian kedua-dua topik ini sangat menarik. Banyak ilmu yang Bonda dapat. In sya ALLAH, Bonda akan buat catatannya dalam entri yang lebih khusus. 

Beruntungnya jadi penjawat awam. Subhanallah, Alhamdulillah. Bayaran yang Bonda bayar untuk kursus 3 hari tu cuma RM30 sahaja. Siap diberi minum pagi dan makan tengah hari. Bayaran itu pulak Bonda dapat buat tuntutan daripada Kerajaan. Duit minyak dan tol pun, Kerajaan bayar jugak. Ilmu yang kita dapat tu bukan untuk melaksanakan tugas aje tapi dapat juga untuk kebaikan diri kita juga. Oleh itu jika anda seorang penjawat awam, berusahalah mohon kursus di INTAN. 

Selain daripada dapat ilmu, kita juga dapat kenalan baru daripada agensi/kementerian lain apabila menghadiri kursus di INTAN. Hari ni Bonda dapat 29 orang kenalan baru (tak termasuk penceramah). Kawan-kawan Bonda tu daripada
1. Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang;
2. Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri;
3. Agensi Remote Sensing Malaysia;
4. Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional;
5. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (2 orang);
6. Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi;
7. Kementerian Kesihatan M'sia (Bhg. Perkhidmatan Kejuruteraan);
8. Kolej Matrikulasi Kedah, Kem. Pendidikan M'sia;
9. Jabatan Pengurusan, Hospital Sungai Buloh;
10. Cawangan Pengurusan Projek Kompleks, Jabatan Kerja Raya;
11. Yayasan Waqaf M'sia;
12. Bhg. Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh & Sekolah Kecemerlangan (2 orang);
13. Kem. Kesihatan M'sia (Bhg. Keselamatan & Kualiti Makanan);
14. Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara;
15. Jab. Pendidikan Wilayah K. Lumpur;
16. Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur;
17. Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (2 orang);
18. Bhg. Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan;
19. Jab. Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan;
20. Cawangan Penggubalan Akta, Bhg. Amalan Perubatan;
21. INTAN Kluster Inovasi;
22. Jab. Imigresen M'sia;
23. Jab. Kesihatan Selangor;
24. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah;
25. Uni. Teknologi M'sia, KL;
26. Pejabat Meteorologi Selangor.

Okaylah, cukuplah setakat ini dulu. In sya ALLAH jumpa lain di lain entri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...