Thursday, September 9, 2010

Balik Beraya Di Terengganu Kite

Pada tahun ini 1431H, giliran beraya di Terengganu pulak. Maksud Bonda, raya pertama di Kuala Terengganu. tahun lepas di Batu Pahat, Johor. Itulah cara Bonda buat giliran. Tiadalah nak gaduh-gaduh suami isteri.

Setiap tahun Bonda akan beraya di kedua-dua negeri, yang bezanya, di mana mula dulu. Mungkin awal-awal perkahwinan Bonda gilirkan mengikut tahun. Lama-lama terfikir, ni tak boleh jadi. Lagi pun belum tentu lagi dapat jumpa bulan Syawal pada tahun depan.

Syukur kepada Allah kerana dapat guna P1 Max di Pulau Kambing, Kuala Terengganu, Terengganu. Bolehlah blogging and surfing.
10 September 2010 (Jumaat), tarikh hari raya pada tahun ini. Bonda bergerak pulang ke Terengganu pada 8 September 2010 (Rabu). Reserve satu hari untuk berpuasa di Kuala Terengganu. Bertolak dari rumah pukul 1.00 petang dan sampai pukul 9.00 malam. Lapan (8) jam perjalanan termasuk rehat dan rawat. Tu kira cepatlah bagi Bonda, pemandu berhemah, haaaa..... Trafik sangat okay, macam bukan nak balik beraya kerana keadaan trafik yang lancar dan terkawal.

Insiden kereta tunggu penumpang (waiting) depan pasaraya Sabasun betul-betul membuatkan Bonda geram. Sakitnya hati dengan orang Terengganu ni (lupa sekejap, diripun orang Terengganu juga). Dia parking di tengah jalan tanpa beri signal berhenti (tak guna hazard light). Buat bodoh pulak tu (memang bodoh pun). Terpaksalah Bonda masuk lane kanan dan Bonda tekan hon kuat-kuat. Puas hati.

Menu berbuka puasa, sata + air susu perisa coklat + kerepok lekor. Lokasi berbuka puasa di stesen minyak Petronas Dungun. Sata tu Bonda beli kat Kemaman (drop by aje). So far hanya kat Kemaman yang ada jual sata (sepanjang yang Bonda tau lah). Warung Aziz Sata menjadi tujuan utama bila nak makan sata. Sedap. Tapi sayangnya tutup pulak. Insya Allah on the way balik ke K. Lumpur Bonda akan singgah sekali lagi. Nasib baiklah ada satu gerai ni yang jual sata, dapatlah makan. Harga? tiga (3) ketul Rm1. Selain sata, dapat juga beli kerepok lekor. Tak banyak, beli cuma RM3 aje. Rasanya tak boleh lawan kerepok lekor K. Terengganu. Kerepok lekor K. Terengganu masih lagi the best sedapnya walaupun dalam negeri yang sama. Pengalaman yang kurang best nya tentang layanan penjualnya. Muka tak ada langsung tanda-tanda nak senyum. Kurang budi bahasalah. Tag line 'Senyum Sokmo' tidak menjadi amalan.

Okaylah, Bonda rehat seketika, sambung di lain entri.

Wednesday, September 1, 2010

Pengalaman Di Unit Penilaian PTK

Bersama dengan bos-bos dan rakan-rakan di Unit Penilaian

Mulai 16 Ogos 2010, Bonda berkhidmat di Unit Dasar, Penyelidikan dan Penandaarasan, Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Bonda mahukan kelainan tugas supaya Bonda mempunyai pelbagai kemahiran, jadi Bonda memohonlah untuk dibuat job rotation. Pada pandangan Bonda, tiga (3) tahun saja berada di satu-satu unit sudah memadai, eloklah bergerak (cari peluang). Dapatkan pengalaman yang pelbagai kerana ia amat berguna dalam laluan kerjaya.

Sebelum ni Bonda di Unit Penilaian selama 4 tahun 5 bulan. Apa yang Bonda dapat sepanjang tempoh itu adalah:
  • ilmu menggubal soalan esei Penilaian Tahap Kecekapan (PTK);
  • ilmu dan kemahiran mengurus bengkel kerja penggubalan soalan esei PTK;
  • kemahiran mengurus bank soalan dan item;
  • ilmu dan kemahiran menggubal panduan bagi calon PTK;
  • ilmu dan kemahiran menggubal rubrik penilaian PTK;
  • kemahiran menggubal instrumen penilaian PTK;
  • kemahiran mengendalikan penilaian PTK di pusat-pusat penilaian;
  • kemahiran mengurus bengkel kerja pemeriksaan skrip jawapan secara berpusat;
  • kemahiran (sikit-sikit) memproses markah calon PTK;
  • kemahiran menyediakan modul latihan;
  • kenalan yang berpangkat besar-besar, komited dan baik hati seperti Pengarah bahagian di KPM, Pengarah institut pendidikan guru, Pengarah JPN, Pengetua cemerlang Jusa C, Guru cemerlang gred khas C
Berkhidmat di Unit Penilaian telah mematangkan Bonda terutamanya apabila bos Bonda bersara. Ini kerana Bonda perlu belajar cepat-cepat dan melakukannya sendiri (tak ada siapa nak bergantung harap) kerana bos baru lambat datang dan masih baru dalam mengendalikan penilaian.

Unit Penilaian PTK - Peningkatan Tahap Kecemasan. Apa taknya kerana setiap bulan ada penilaian PTK yang mesti dikendalikan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semasa PTK dijalankan mengikut kaedah kursus 7 hari atau 5 hari di hotel, sesi penilaiannya melibat penilai dilantik. Kerap terjadi pukul 8 malam ke atas, Bonda masih lagi di pejabat, menalipon penilai untuk dapatkan persetujuan kehadiran di pusat-pusat penilaian. Ni kes di mana ada penilai yang tarik diri di saat akhir atas sebab yang tak dapat dielakkan. Perasaan takut buang jauh-jauh (tinggal seorang diri kat ofis) demi kerana tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Mintak tolong orang? Perkara yang sukar Bonda lakukan kerana Bonda tak suka menyusahkan orang lain. Jika dia hulur bantuan pasti Bonda terima dengan besar hati. Tulah hakikat kehidupan. Banyak airmata yang mengalir.

Sementara ingatan masih segar, Bonda mahu merakamkan sejarah Bonda di BPPK. Bonda bermula di BPPK sebelum ianya wujud lagi, kira-kiranya Bonda ni perintis lah. Sebelum BPPK diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menjadi satu bahagian dalam KPM, satu kumpulan task force ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja pengambilalihan pengendalian PTK daripada dua (2) agensi iaitu Institut Aminuddin Baki dan Bahagian Pendidikan Guru.

Kenapa ada dua pengendali PTK? Ni kerana ada dua bidang yang berbeza iaitu bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan bidang pengurusan dan pentadbiran (P&T). Bidang P&P untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang mengajar di sekolah, institut pendidikan guru, kolej matrikulasi dan juga Institut Aminuddin Baki. Manakala bidang P&T untuk PPP yang bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), dan bahagian-bahagian di KPM.

Mungkin di peringkat awal pelaksanaan PTK, dua agensi ni melaksanakannya sementara menantikan satu bahagian khusus diwujudkan untuk mengendalikan PTK warga KPM. Tapi dua agensi ini tidak melaksanakan PTK untuk semua warga KPM. Ada satu lagi agensi iaitu Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (nama lamanya Bahagian Sumber Manusia). Bahagian ini menguruskan PTK staf sokongan KPM, sebahagian PPP Lepasan Diploma dan sebahagian PPP siswazah. Wah! bersimpang siur.

BPPK menjadi satu bahagian pada Januari 2007. Sebelum ini Bonda di tempatkan secara pool (tiada jawatan tetap atau jawatan yang diluluskan oleh JPA, kiranya dipinjam sementara) di Unit Pembangunan Manusia dan Latihan (PML), Bahagian Sumber Manusia (BSM). Bonda berempat, tiada kerani, menguruskan PTK bagi gred DG54, DG52, DG48, DG44 dan DGA34 bagi kedua-dua bidang iaitu P&P dan P&T. Untuk gred-gred lain yang dikendalikan oleh BSM, diuruskan oleh sekumpulan pegawai lain. Pada masa tu Bonda pun kurang faham dan gambaran keseluruhan apa yang berlaku pun kurang jelas. Ikut ajelah apa yang diarah. Sebenarnya itu kurang elok. Pandangan Bonda, kita perlu memberi kefahaman dan gambaran keseluruhan apa yang berlaku (what business we are doing) kepada staf baru. Program atau modul orientasi tugas yang berstruktur perlu ada. Insya Allah Bonda akan menghasilkan modul ini apabila dah bertugas di unit baru ni (mungkin ada sedikit ruang untuk difikir-fikirkan).

Proses pelaksanaan penilaian PTK bermula dengan penggubalan soalan. Soalan digubal berdasarkan sukatan. Sukatan dah ada, jadi guna ajelah. Review sukatan? Tak cukup kaki dan tangan. Siapa penggubal soalan? Penggubal adalah warga KPM, ada pengalaman dalam bidang yang akan digubal dan sekurang-kurangnya berada pada satu gred lebih tinggi daripada gred soalan. Dengan kata mudah, jika untuk bidang P&P bagi DG48, penggubalnya adalah guru dan pensyarah gred DG52 ke atas. Jika untuk bidang P&T, penggubalnya adalah pentadbir di sekolah, institusi pendidikan dan pegawai di bahagian KPM.

Mendapatkan penggubal soalan merupakan suatu cabaran. Kenapa? Bengkel penggubalan soalan dijalankan selama 5 hari 4 malam di hotel-hotel. Calon penggubal tak mahu hadir kerana lama sangat tinggalkan pejabat/tempat bertugas. Bagi pihak urus setia bengkel, ianya tak boleh dijalankan sekejap-sekejap kerana bengkel ini termasuk latihan dan hands on. Lagi satu, ianya melibatkan idea. Petik jari, idea tak terus datang. Kos atau tuntutan perjalanan peserta dapat juga dijimatkan.

Pelbagai alasan diberi oleh calon penggubal yang tidak mahu hadir. Mereka keberatan memberi sumbangan fikiran (malas nak fikir untuk menggubal soalan). Mereka tidak sedar sebenarnya mereka menolong rakan-rakan mereka yang akan menduduki PTK dan mereka juga perlu menduduki PTK untuk naik pangkat.

Satu perkara lagi yang menghalang kehadiran calon penggubal adalah bos atau ketua jabatan mereka. Jika bos tak izinkan macam mana mereka nak gubal soalan. Alasan bos mereka adalah penggubalan soalan bukan core business mereka. Teruk betul mentaliti bos tu. Kami seboleh-bolehnya nak sediakan soalan yang berkaitan apa yang calon lakukan sebab itulah penggubalnya perlu ada pengalaman yang berkaitan tugas atau jawatan tu.

Masa mula-mula joint (kerja di ofis) KPM dan berada di Unit Penilaian PTK (Peningkatan Tahap Kecemasan), Bonda memberikan seluruh jiwa raga kepada kerja, tiada istilah cuti, dalam bulan Ramadhan pun terpaksa buat bengkel penggubalan soalan kat hotel. Untuk menarik penggubal, hotel yang berdekatan masjid menjadi pilihan, sesi malam tiada kerana memberi peluang kepada penggubal untuk solat terawih. Ni semua gara-gara soalan mesti ada bila tiba masanya.

Bertugas di bahagian KPM penuh dengan cabaran, kita perlu banyak belajar dan berusaha sendiri. Semuanya baru, tak sama semasa bertugas kat sekolah dulu. Kita mesti banyak berfikir, beri cadangan atau idea kepada bos, bukannya harapkan bos fikirkan bagaimana nak laksanakannya. Pegawai yang bertugas di bahagian/KPM sentiasa dipandang tinggi oleh warga sekolah atau institusi pendidikan. Oleh itu, berkhidmatlah di sekolah dulu lebih kurang 10 tahun sebelum bertukar angin di KPM.

Rasanya cukuplah buat setakat ini dulu. Insya Allah Bonda sambung lagi di lain entri.

Sunday, August 22, 2010

Kesilapan Calon Penilaian Tahap Kecekapan Menjadi Tauladan

AMARAN! Di sini tiada soalan ramalan PTK DG54, DG52, DG48, DGA38, DGA34, dan AKS 26.
Buang masa aje membaca entri ini jika itu matlamat anda.

Seperti yang Bonda janjikan, kali ini Bonda akan berkongsi informasi tentang kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan oleh calon PTK. Kita ambil iktibar. Bonda tidak pernah jadi pemeriksa, cuma sekadar pernah jadi desk officer yang menguruskannya. Hasil daripada pemerhatian dan tumpang-tumpang dengar rungutan pemeriksa, dapatlah juga tau beberapa isu yang menjadi halangan buat calon.
Bonda beri ulasan ini berdasarkan jawapan calon yang mendapat Aras I dan Aras II (Tidak Melepasi Tahap Kecekapan).

Satu perkara lagi, Bonda hanya sentuh bagi kumpulan AKS 26, DGA34, DGA38, DG48, DG52 dan DG54 sahaja. Kenapa? Kerana penilaian mereka berbentuk esei. Calon boleh tulis apa saja yang dia tau. Ni berbeza dengan objektif, jawapan dah ada kat kertas soalan.

Hasrat Bonda, hasil daripada penulisan ini ...
  1. terdapat peningkatan dalam kualiti jawapan calon PTK KPM;
  2. tiada lagi calon PTK KPM yang mendapat Aras I dan Aras II.
Oleh kerana itulah, entri ini mungkin agak terperinci sikit ulasannya. Nak bagi faham dan jelas.

Isu 1: Tahap Kecekapan (TK)

Pada pandangan Bonda, masih terdapat calon PTK yang kurang faham maksud TK yang sepadan dengan dirinya dan apa perlunya dia faham.
Kompetensi adalah tingkahlaku yang dapat dipamerkan dan dapat membawa ke arah keberhasilan atau kejayaan sesuatu usaha. Kompetensi ini adalah gabungan ilmu + kemahiran + sikap atau nilai dalam kita melaksanakan tugas. Ini dapat digambarkan dengan jelas pada rajah di bawah.


Penilaian PTK dibuat berdasarkan TK seseorang pegawai mengikut gred dan jawatan.
  • TK 4 : Tahap Kecekapan Analisis - bagi gred AKS 26, DGA34, dan DG48.
  • TK 5 : Tahap Kecekapan Sintesis - bagi gred DG52
  • TK 6 : Tahap Kecekapan Penilaian - bagi gred DG54
  • TK 4A : Tahap Kecekapan Analisis-Sintesis (antara anlisis dan sintesis, tapi lebih kepada sintesis) - bagi gred DGA38.

Penjawat gred DGA38 adalah Guru Besar cemerlang. Jadi dia mesti lebih baik daripada Guru Besar gred DGA34.

Analisis, Sintesis dan Penilaian adalah tahap-tahap yang ada dalam Taxonomy Bloom. Anda bolehlah search google untuk dapatkan maksud yang terperinci.

Calon perlu tahu dan faham apa yang dimaksudkan dengan Analisis, Sintesis dan Penilaian. Jadikan ia sebagai panduan dalam menjawab dan mengolah jawapan PTK sama ada bagi Tugasan Individu atau Penilaian Pemahaman. Dengan kata mudah, jawapan calon TK 4, perlulah ada ciri-ciri atau unsur-unsur analisis.

Isu 2: Memahami Kehendak Soalan

Soalan PTK sangat ringkas tetapi padat. Kebiasaannya soalannya satu (1) ayat saja. Soalannya umum kerana ia ditujukan kepada calon yang bertugas dipelbagai organisasi atau institusi (dalam Kementerian Pelajaran lah). Jadi terpulang kepada calon itu sendiri menyesuaikan soalan dan jawapannya mengikut tempat dia bertugas dan tugasnya.

Perlu diingat dan ditegaskan, faham kehendak soalan. Soalan nak apa? Soalan suruh buat apa? Untuk apa?
Tenang dalam membaca soalan. Jangan gopoh atau seronok atau teruja (excited) apabila terlihat perkataan atau istilah yang keluar dalam soalan itu. Situasi ini mungkin berlaku semasa menjawab Penilaian Pemahaman kerana tertekan dengan masa yang ditetapkan.
Apabila jawapan dah terpesong daripada kehendak soalan, tak banyak yang pemeriksa boleh bantu. Semua jawapan yang diberi oleh calon adalah betul selagi ia menepati kehendak soalan. Oleh itu baca dengan teliti dan fahami betul-betul.

Isu 3: Kematangan Kupasan

Dalam PTK, calon perlu membuat penghujahan dan pembuktian bahawa dia melaksanakan tugas itu. Cerita-cerita teori, cerita-cerita apa KPM patut buat, tidak mendapat markah yang tinggi. Teori (ilmu) dikaitkan dengan pelaksanaan, itulah kehendak PTK.
Tidak memadai calon hanya bercerita apa yang dia tau saja. Dia perlu menjelaskan apa yang dia tahu dan lakukan. Guna 5Wives and 1Husband sebagai panduan (What, Who, Where, When, Why, How).
Bila dah berhujah panjang lebar, di hujung penghujahan perlulah juga menjawab persoalan "So What?" bagi setiap isi atau fakta yang dibincangkan.
Elok juga sekiranya calon dapat menyatakan apa penambahbaikannya atau pelan B nya atau apa tindakan seterusnya. Dengan kata mudah (asyik Mudah aje kata), sesuatu yang menunjukkan dia seorang yang proaktif, berpandangan jauh.

Satu perkara lagi yang Bonda ingin sentuh adalah soalan PTK. Ada kalanya soalan yang hampir sama bagi gred yang berlainan. Jawapan calon yang membezakannya. Calon mesti menyesuaikan jawapannya mengikut TK dirinya. Pastinya esei pelajar Tingkatan 3 tidak sama dengan esei pelajar Tingkatan 5 walaupun soalan mereka hampir sama. Renung-renungkanlah.


Isu 4: Persediaan

Di sini Bonda menyarankan agar calon baca dan fahami dasar-dasar KPM terutamanya yang terkini seperti Sekolah Berprestasi Tinggi, Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris, sub-NKRA, Rancangan Malaysia Kesepuluh, 1Murid 1Sukan dan lain-lain lagi. Kaitkan dasar-dasar ini dengan peranan diri dan juga organisasi dalam menjayakan dasar-dasar itu.

Laman web BPPK iaitu http://apps.emoe.gov.my/bppk ada juga menyediakan nota berkaitan entri ini. Panduan menjawab ada diletakkan dalam kategori Taklimat PTK di bawah Informasi. Anda boleh gunakan sebagai panduan.

Pemeriksaan skrip jawapan PTK dibuat dengan menggunakan rubrik. Rubrik tu macam kerangka jawapan. Anda boleh layari laman web bppk, pergi ke Informasi dan klik pada rubrik. Di situ ada rubrik pemeriksaan yang anda bolehlah lihat-lihat.


Isu 5: Keaslian atau Ketulenan Hasil

Bonda juga ingin ingatkan calon PTK agar jujur pada diri. Elakkan sebarang unsur penipuan atau tidak jujur dalam menjawab soalan PTK.

Untuk makluman, pihak Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi (BPPK) pernah ambil tindakan ke atas calon PTK yang didapati meniru atau plagiat. Walaupun skrip jawapan yang disemak banyak dan pemeriksa pun ramai, kuasa Allah menemukan BPPK kepada beberapa kes penipuan dalam PTK. Malu jugak apabila cikgu didapati meniru dalam peperiksaan.

Pesanan terakhir Bonda ......

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...