Monday, May 23, 2011

Ketibaan Rombongan Pengantin Di Masjid Putrajaya

Tahun 2011, insya Allah Bonda menerima dua orang anak lelaki. Bonda dapat anak lelaki pertama pada 17 April 2011, di Masjid Putrajaya, namanya Zarizi Zaimi. Panggilan manjanya Eg.
Anak lelaki kedua pada bulan Jun nanti, insya Allah.

Pada entri ini Bonda merakamkan sebahagian kecil saat-saat indah yang sempat dirakamkan pada hari tersebut. Bonda seboleh-bolehnya nak letak semua gambar yang diambil sebagai kenangan.
Panjang ceritanya di majlis akad nikah. Oleh itu Bonda akan ceritakan dalam beberapa episod. Cerita-cerita ini sememangnya very personal kerana ianya luahan hati Bonda. Harapan Bonda tulisan ini tidak menyinggung sesiapa. I just want to share one of my very special moments with special people.

Episod 1 : Ketibaan rombongan pengantin di Masjid Putrajaya

Inilah Iffah, pengantin perempuannya.
Walaupun tidur lewat dan terpaksa bangun awal, hasil kerja Aleng Tohara sebagai makeup artist tidak mengecewakan Bonda. Pesanan Aleng, emosi pengantin jangan diganggu kerana ia akan memberi kesan kepada seri wajahnya. Makeup mahal-mahal pun tak guna jika emosi pengantin terganggu. Oleh itu, pada pagi itu (semasa Iffah sedang dimakeupkan) Bonda berusaha untuk tidak mengeluarkan kata-kata "tak siap lagi?" walaupun dalam hati kecil menjerit-jerit suruh siap cepat-cepat kerana tak mahu lewat sampai di masjid.

Syukur, Bonda ada anak saudara yang baik hati, bersedia memberi pinjam pakai kereta Mercerdes nya sebagai kereta pengantin. Terima kasih ya Shahrin. Maklum ajelah hari yang paling istimewa dalam hidup semestinya mahu semuanya cantik sebagai kenangan.

Barang hantaran dibawa bersama ke masjid semasa majlis akad nikah.
Inilah gadis dulangnya. Semua gadis dulang muda remaja. Itu kehendak pengantin. Habislah saudara mara dan rakan taulan yang lebih kurang sebaya dengan pengantin dipelawa menjadi gadis dulang. Terima kasih ya anak-anak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan. 11 dulang daripada pengantin perempuan.

Hantaran dibawa masuk sebelum pengantin perempuan masuk.

Iffah diiring oleh Lily, isteri Shahrin, masuk ke masjid.
Nasib baiklah ada Lily, jika tidak sorang-soranglah Iffah berjalan masuk. Pengapit Iffah dah jadi gadis dulang pulak apabila sampai di masjid. Bonda pulak dah berada dalam masjid untuk melihat-lihat kesediaan tempat. Tak mudahlah menjadi wedding planner untuk perkahwinan anak sendiri, bagi Bonda lah.

Di pintu utama dewan solat, Iffah ditemani oleh Delliya.
Episod seterusnya akan disambung dengan semasa majlis akad nikah. Tungguuuuuuuu

Tuesday, May 17, 2011

Sindrom Empty Nest Pandangan Peribadi

Bonda tertarik dengan tajuk berita "Kaum Ibu Perlu Aktif Elak Sindrom Empty Nest", petikan daripada Utusan On Line pada 8 Mei 2011.
Biasalah cerita yang keluar kat surat khabar mestilah relevan dengan suasana semasa iaitu Hari Ibu.

Sindrom Empty Nest adalah sindrom yang melanda ibu yang kesedihan, kemurungan dan kesunyian akibat ditinggalkan anak yang memulakan kehidupan baru sama ada untuk melanjutkan pelajaran, bekerja atau berkahwin.
Pada pandangan Bonda, tidak semestinya ibu aje yang mengalami sindrom ini. Ayah pun mengalami sindrom ini jugak, cuma pandai cover line aje. Betulkan para bapa?
Kebiasaannya ikatan hubungan ibu - anak lebih rapat. Betulkan para bapa?
Ataupun mungkin dalam alam burung, hanya burung betina @ ibu burung yang kisah tentang anak-anaknya. Mungkin sebab itulah keluarnya sindrom Empty Nest. Lu pikirlah sendiri.

Menurut akhbar itu lagi, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-3 Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2006, masalah mental lebih tinggi dalam kalangan wanita (12.1%) berbanding dengan lelaki (10.4%). Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 14% ibu bapa yang berusia 60 tahun ke atas mengalami kesunyian.

Saranan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil adalah ....... dapat agak tak? Biasalah ayat-ayat standard sempena Hari Ibu .... anggota keluarga terutama anak-anak sentiasalah menghubungi ibu masing-masing walau di mana sahaja mereka berada.

Tanpa Bonda sedari, di lewat usia 40an dan gelaran Mak Mertua was around the corner, sindrom Empty Nest datang menjenguk. Kenapa kata begitu? Perasaan takut kehilangan anak pernah singgah di hati Bonda apabila anak menyatakan hasratnya untuk berkahwin. Bagi Bonda, apabila anak berkahwin, Bonda akan mendapat seorang lagi anak atau mungkin kehilangan seorang anak. Kehilangan anak dalam erti kata masa dia bersama Bonda akan berkurangan. Dia ada komitmen lain, ada 1 lagi famili lain dan ada 1 orang lain yang perlukan perhatiannya. Itulah hakikat yang Bonda berusaha menerimanya. Boleh dikatakan, Bonda tak pernah berpisah dengan anak-anak. Mereka membesar, bersekolah, sambung pengajian dan mula bekerja, semuanya di depan mata Bonda.

Anak sulong Bonda, Iffah dah berkahwin pada 17 April 2011.
Anak ke-2 Bonda, Izzah akan melangsungkan perkahwinan dalam bulan Jun 2011, insya Allah.

Di sini Bonda nak kongsi beberapa artikel mat saleh tentang sindrom Empty Nest.
Artikel 1 : Empty Nest Syndrome My Personal Story
Artikel 2 : Empty Nest Syndrome
Artikel 3 : How to recover from Empty Nest Syndrome

Bila dah baca artikel-artikel mat saleh tu, baru perasaan Bonda kembali tenang dan dapat melihatnya dari sudut yang positif. Rupanya keputusan Bonda tidak jadi renovate rumah bagi menyediakan bilik seorang satu bilik bertepatan dengan cadangan bagaimana kaum ibu melalui sindrom empty nest ini.

So,
jumpa anda di lain entri.

Maafkan Saya Encik Tea Tarik Satu

Entri ini Bonda tulis dengan tujuan menjawab komen yang diutarakan pada entri Sekolah Yang Tiada Homework oleh Encik "tea tarik satu" Bonda doakan semoga ianya dapat menjernihkan pada yang mula nak keruh.

Salam Encik "tea tarik satu".

Mula-mula sekali saya mohon maaf kerana artikel saya itu telah menyingung perasaan Encik "tea tarik satu", semua pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney dan Jabatan Penjara.

Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan usaha murni tuan dan rakan-rakan. Saya kagum dengan kesanggupan tuan dan rakan-rakan untuk berkhidmat di sekolah tersebut kerana ianya merupakan satu cabaran. Pada pandangan saya, bukan calang-calang pendidik yang dapat dan sanggup berkhidmat di situ. Pada pandangan saya, pendidik yang berkhidmat di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney adalah pendidik yang mempunyai tahap kesabaran dan keperihatinan yang tinggi serta kecintaannya kepada profesion keguruan.

Saya mengakui tidak mengetahui sangat tentang tugas dan cabaran pendidik di sekolah tersebut. Apa yang saya tulis hanyalah cerita yang saya baru dengar sekali aje dari mulut sebahagian kecil pendidik itu. Saya membuat andaian saya sendiri terhadap apa yang saya dengar dan faham. Saya juga menyimpan hasrat untuk datang melawat dan tengok sendiri cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan pendidik saya itu di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney. Akan tetapi sehingga setakat ini hajat saya itu belum tercapai.

Berdasarkan pengamatan saya sepanjang beberapa hari saya bekerja bersama-sama dengan rakan pendidik saya daripada Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, saya dapati mereka seorang yang rajin, komited dengan tugas dan suka berkhidmat di sekolah tersebut walaupun penuh dengan cabaran. Itu kesimpulan yang saya buat. Saya harap Encik "tea tarik satu" jangan salahkan mereka. Saya yang buat interpretasi sendiri.

Tujuan saya menulis artikel itu hanyalah sekadar berkongsi cerita yang saya dengar tentang pengalaman pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney. Kami orang luar tak tau sangat ceritanya. Saya cuma highlight cerita atau pengalaman yang saya fikirkan berbeza dengan sekolah biasa-biasa kat luar.

Isu yang saya bincangkan memang tiada kaitan dengan saya. Saya sekadar menulis cerita yang saya dengar dan nak share dengan anak-anak saya aje kerana Pena Bonda adalah diari kehidupan saya.

Satu perkara lagi, saya tak dapat kesan di manakah saya mencatatkan atau menyatakan bahawa para pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney tu "tiada kerja sekadar melepaskan batuk di tangga" seperti yang Encik "tea tarik satu" dakwakan dalam komen itu.

Cabaran berkhidmat di sekolah tersebut sememangnya ada dan besar. Saya taklah pulak menceritakan bagaimana para pendidik di sekolah itu melalui cabaran-cabarannya. Saya memang kagum dan tabik dengan para pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney kerana saya sendiri tak sanggup nak melalui cabaran-cabarannya.

Saya harap entri ini dapat menjernihkan suasana. Saya mohon maaf sekali lagi jika itu yang diminta kerana bukan niat saya untuk menjatuhkan maruah, kreabiliti dan integriti para pendidik di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney dan Jabatan Penjara.

Terima kasih atas komen yang diberi. Ia akan menjadi panduan buat saya agar lebih berhati-hati dan teliti.
Sekian.

Di sini Bonda kepilkan komen yang diutarakan oleh Encik "tea tarik satu" sebagai rekod bukti jika sekiranya komen itu ter "delete".


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...