Wednesday, August 19, 2015

STOP-KEEP DOING-START

Assalamualaikum
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama yang disayangi.

Topik kali ini akan membicarakan soalan-soalan mudah untuk tingkatkan prestasi. Dari satu aspek, ianya juga suatu cara untuk cermin diri. Terpulang kepada diri sendiri untuk melihatnya daripada aspek yang mana.

Maklum balas amat penting dalam perkembangan profesionalisme. Ianya membantu mengenal pasti dan membangunkan kemahiran yang kita perlukan untuk berjaya dunia & akhirat. Tapi mendapatkan maklum balas dapat membuatkan kita rasa gementar kerana ianya mungkin tidak positif seperti yang diharapkan.

Artikel ini membincangkan 'tool' yang dapat bantu kita kemukakan soalan secara berfokus dan maklum balas yang 'action-based'.

Proses SKS (Stop-Keep Doing-Start) adalah nama kepada 1 set soalan pendek yang digunakan untuk dapatkan maklum balas. Soalannya adalah:
1). What should I stop doing?
2). What should I keep doing?
3). What should I start doing?

Kenapa Proses SKS berkesan?
1). Ianya memantapkan keyakinan.
Soalan-soalan itu membuatkan orang yang ditanya, berfikir secara khusus perkara-perkara yang kita lakukan dengan baik @ bagus. 
Soalan-soalan itu juga menggalakkan mereka menyatakan perkara-perkara yang kita mungkin dapat lakukan dengan lebih baik.

2). Proses ini berbentuk action-focused.
Komen-komen yang diberi, dapat beri gambaran kesan tingkah laku kita ke atas orang lain. Ia juga dapat menjelaskan apa yang kita patut perbaiki.

3). Soalan-soalan ini ringkas dan padat.
Dalam kebanyakan kes, ianya membuatkan orang beri maklum balas yang berkualiti dalam masa yang singkat.

Walaupun Stop-Keep Doing-Start pada awalnya digunakan untuk mendapat maklum balas, kita juga dapat gunakannya semasa memberi maklum balas.

Proses ini paling berkesan jika soalan itu ditanya secara lisan. Ianya tidak dihasratkan untuk menggantikan penilaian formal. Ia cuma komen prestasi.

Bagaimana nak menganalisis hasil proses SKS?
What should I STOP doing?
* Teliti perangai atau sikap yang dicadangkan supaya kita berhenti lakukan.
* Adakah kita faham komen yang diberi? Dan kenapa ianya penting buat orang yang beri pandangan? Dapatkan penjelasan jika perlu.
* Adakah perangai atau sikap itu berkait rapat dengan personaliti kita? Contohnya, kita seorang pendiam, dan kita disarankan untuk jadi peramah. Jadi kita perlu tingkatkan usaha untuk berubah. 
* Apakah peluang-peluang yang akan mengubah pembentukan sikap baru? Bagaimana perubahan sikap ini akan memperbaiki budaya kerja kita? Sering kali terjadi, kita dapat motivasi untuk berubah dengan membayangkan impak positif daripada perubahan itu.

Agak menyedihkan bila mengetahui kita melakukan perkara yang bos atau rakan-rakan kita yang mahu kita berhenti melakukannya. Harus diingat, mereka mungkin melihat perkara itu daripada business perspective, dan tidak membuat kritikan peribadi. Cuba urus atau kawal perasaan kita dan fokus kepada nilai dalam apa yang mereka nyatakan atau sampaikan.

What should I KEEP DOING?
* Senarai semua sikap atau perangai yang digemari oleh rakan-rakan kita.
* Untuk memahami bagaimana kita dapat menerapkannya dalam pelaksanaan tugas, jawab persoalan-persoalan berikut:
1). Adakah terdapat mana-mana pandangan mereka yang memeranjatkan kita? Jika ada, kenapa?
2). Ada tak mana-mana sikap atau perangai yang berkait dengan kita secara emotional. Contohnya, adakah kita mengalami suatu emosi semsa kita 'engaged' dengan mereka?
* Apakah kemahiran-kemahiran khusus yang kita 'develop' sebagai hasil daripada perlakuan itu? Adakah kita menggunakan kekuatan yang kita tidak menyedari mempunyainya? Jika ya, bagaimana kita dapat mengaplikasi kekuatan-kekuatan itu dalam projek atau pelaksanaan tugas yang lain?

What should I START doing?
* Maklum balas daripada soalan terakhir ini adalah untuk meningkatkan prestasi semasa. Pandangan-pandangan itu dapat membantu kita melihat isu yang kita tidak menyedarinya sehingga kini.
* Teliti perkara-perkara yang dicadangkan untuk kita mula lakukan. Apakah manfaatnya kepada kita dan orang lain?
* Ada atau tidak mana-mana perkara, tugasan atau perangai yang dicadangkan itu membuatkan kita merasa takut atau kurang selesa? Jika ada, adakah kita mengelak daripada melakukannya disebabkan takut gagal? Fikir secara mendalam kenapa kita tidak melakukan perkara itu sebelum ini. Fikirkan apa yang kita dapat lakukan untuk atasinya. 
Jika tidak, kita hanya 'putting things off'. Pelajari bagaimana untuk mengatasi penangguhan.
* Ada atau tidak mana-mana aktiviti yang dicadangkan, memerlukan kemahiran atau informasi yang kita tiada? Jika ya, buat perancangan untuk dapatkan kemahiran yang diperlukan.
* Jika selepas buat refleksi, kita masih kurang memahami kenapa perlu memulakan perkara itu, dapatkan penjelasan daripada orang yang memberi  cadangan itu.

Jika beban kerja kita sudah besar dan dengan menambah tugasan ini membuatkan kita merasa terbeban, pastikan kita membuat keutamaan tugas secara berkesan, supaya kita dapat selitkan cadangan-cadangan bernas dalam penjadualan kita.

Rumusan
Stop-Keep Doing-Start adalah cara mudah untuk kenali diri kita dari pandangan orang disekeliling kita. Kita juga dapat gunakan soalan-soalan Stop-Keep Doing-Start semasa memberi pandangan kepada orang lain, atau dalam sesi pementoran atau bimbingan.

Catatan mama daripada bahan di laman web. Semoga Allah memberi manfaatnya kepada kita. Semua yang baik itu, datangnya daripada Allah.

Saturday, August 8, 2015

Jadilah Diri Mu

Assalamualaikum,
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama yang disayangi.

Sentiasalah dekat dengan ilmu untuk dapatkan ketenangan.

Manusia tidak dicipta secara kebetulan. Allah ciptakan kita, manusia dengan penuh tujuan dan penuh perincian.

Setiap daripada kita ada tujuan dan peranan yang tersendiri. 
Peranan kita di dunia tidak dapat diganti oleh orang lain. Dan kita tidak dapat menggantikan peranan orang lain.

Kita semua tersendiri @ unik, dalam kelas yang tersendiri.

Manusia tidak dicipta secara borong. Tiada ciptaan yang sama.

Dunia tidak lengkap tanpa kita.
Setiap daripada kita ada pentas tersendiri untuk berperanan.

Dalam ilmu sains, fungsi sesuatu objek adalah mengikut bentuknya.
Manusia tidak sama bentuknya. Oleh itu fungsinya juga tidak sama.

Allah ciptakan kita. Allah beri semua kelengkapan kepada kita untuk berjaya. Ini kerana Allah sayang kat kita. Contohnya, ibu bapa berusaha beri keperluan pembelajaran kepada anak mereka supaya anak-anak berjaya.

Allah beri perut. Tapi saiz perut, kita yang buat.

Kita, manusia dicipta untuk berjaya, bukan untuk gagal.

Setiap orang ada kecenderungan.

Allah tidak cipta manusia bodoh tapi kebijaksanaan yang berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh rendah diri dengan manusia. Rendah diri hanya dengan Allah.

Manusia dicipta bukan untuk bersaing atau berlumba.
Hanya perlumbaan dalam kebaikan yang dibenarkan dalam Islam.
Manusia dicipta untuk saling melengkapi.

KENAPA RAMAI MANUSIA GAGAL?
Kerana:
1). Manusia itu tidak jadi dirinya sendiri.
2). Manusia itu tahu kelebihan dirinya tapi tidak keluarkan kelebihan diri semaksimum mungkin.

Kenapa Manusia Itu Nak Jadi Orang Lain?
Kerana dia tak tahu kelebihan dirinya.

Untuk tahu kelebihan diri, perlu ada
1). Ilmu;
2). Guru untuk jadi mentor.

Kenapa Manusia Itu Tak Keluarkan Kelebihan Dirinya Semaksimum Mungkin?
Kerana dia malas untuk gali dan gilap bakat terpendam.
Penyakit malas adalah punca kita gagal. Lawan perasaan malas. Malas adalah satu dosa.

Kita perlu keluar daripada zon selesa kepada zon mencabar.
Dengan ujian, manusia dikeluarkan daripada zon selesa.

Allah tidak pernah letih menguji kerana Allah tidak pernah letih menyayangi kita.

Jangan klon. Jika kita klon, kita tidak dapat jadi numbor 1.
Jadilah diri kita sendiri dengan berlandaskan sifat syukur. Barulah kita dapat jadi nombor 1 dan berjaya.

Diri kita sekarang adalah diri kita yang terbaik.

Hidup jadi sukar jika kita buat perbandingan dan pertandingan antara sesama manusia.

Harga diri kita berbeza dengan harga diri orang lain. Tapi rujukan kita mestilah al-Quran.

Kita perlu menguruskan perbezaan dengan baik dan memanfaatkan persamaan dengan baik.

Sesiapa yang kenali diri sendiri, dia akan kenal Allah.
Kenal sifat mazmumah diri kita.
Kenal aib diri kita.

Siapa pun diri kita, jangan lupa kita tetap hamba Allah & khalifah Allah.
Dengan kenali diri, kita dapat jadi
1). Hamba Allah yang baik & beri kebaikan.
2). Khalifah Allah yang baik & beri kebaikan.

Catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 8 Ogos 2015. 

Tuesday, August 4, 2015

Kembali Kepada Teras

Assalamualaikum.
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama

Ingat ya sayang, bila kita dekat dengan ilmu bermakna kita dekat dengan kebaikan.

Kita adalah musafir. Daripada Allah, kita datang, kepada Allah, kita kembali.

Dalam bermusafir, kita keluar drp kebiasaan, ada keletihan, ada kejemuan, ada kesusahan & keperitan.

Hidup untuk diuji.
Hidup = kembara ujian (masalah).
Hidup untuk hadapi masalah & menyelesaikan masalah.
Bila hadapi masalah, fikirkan bagaimana nak menanganinya.

Masalah setiap orang berbeza-beza, berbeza-beza cara menangani & berbeza-beza keupayaan menanggungnya.

Masalah umpama benang yang sangat kusut. Pesan orang tua-tua, cari punca masalah dan ungkai secara perlahan-lahan.

Apabila rasa lelah/letih & jemu dipertengahan jalan, ingat kembali kenapa kita memulakan perjalanan itu. Itulah cara kembali kepada teras @ back to basic.
Dengan mengingat kembali niat kita, kita akan bertemu dengan keikhlasan. Seterusnya akan bertemu dengan Allah. Disitulah ada kekuatan. Contohnya, rasa duit tidak pernah cukup. Tanya diri, kenapa cari duit?

1). Check niat.
Niat mestilah dikaitkan dengan Allah.
Jika niat tidak dikaitkan dengan Allah, bina niat baru. Kaitkan dengan Allah.
Jika niat tersasar, buat perubahan niat.

2). Check ibadah kita iaitu hubungan dengah Allah & hubungan dengan manusia.
Check solat kita.
Ketika kusut hubungan kita dengan manusia, check hubungan kita dengan Allah.

Dalam hidup, bersandar kepada Allah.
Bila Allah ada, masalah tiada. 
Bermaksud tiada masalah untuk hadapi masalah. Ini kerana kita ada kekuatan untuk hadapi masalah.

Nilai kesabaran terletak pada tamparan pertama ketika kita menghadapi ujian/masalah.

Dalam menuju Allah, jangan gopoh. Lakukan secara beransur-ansur & meningkat.

Bila gagal, bangun semula dengan lebih bijaksana.
Sabar dan diiringi dengan kebijaksanaan.

Kita mintak cepat, Allah beri pada waktu yang tepat.

Kita tak akan dapat dua perkara dalam satu masa. Bila kita dapat satu perkara, kita hilang satu perkara yang lain.

Orang yang berjaya lebih banyak merasai kegagalan.

Kita mengaku kelemahan, semoga Allah beri kekuatan.

Catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 1 Ogos 2015.

Semoga manfaat buat kita.

Saturday, June 27, 2015

Tips Menjemput Rezeki

Assalamualaikum
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Mudahnya Menjemput Rezeki. 
Catatan ini dikongsi bersama oleh rakan-rakan mama dalam group What's App (WA). Sesuatu yang bagus dan baik, sayang sekiranya ia hilang begitu saja (sukar dicari) dalam chatting WA.

Perkara asas dalam menjemput rezeki adalah networking kita dengan Allah. Networking kita dengan Allah mesti luar biasa, barulah rezeki kita luar biasa. Kita penat mencari rezeki tapi kita kurang berusaha untuk menjemput rezeki. Oleh itu fokuskan kepada memperbaiki dan meningkatkan networking kita dengan Allah.

Networking kita dengan Allah:
1). Solat Dhuha
Jika selalunya kita buat 2 rakaat, sekarang tambah bilangan rakaatnya. Semakin lama semakin meningkat.
Selepas solat Dhuha, kita perlu baca surah Al-Waqiah. Surah ini tidak akan membuatkan kita miskin untuk selamanya. Semasa solat Dhuha, rasa getaran kita untuk menjadi apa. Jika ingin jadi jutawan, doalah jadi jutawan berkat.

2). Solat Tahajjud
Bangunlah, tunaikan solat Tahajjud setiap malam. Muhasabah diri dan mintalah pertolongan Allah sebulat-bulatnya. Tambahkan juga bilangan rakaat solat Tahajjud.

3). Baca al-Quran
Bangun pagi, mandi & ambil wuduk, terus baca al-Quran & terjemahan walaupun 1 ayat.
Dengan melakukan aktiviti itu, Allah akan beri kecukupan masa yang melampau kepada kita untuk 1 hari. Jadi tiada istilah "tiada masa".
Contoh, bila tak baca al-Quran dengan alasan banyak kerja, walaupun duduk di rumah sahaja, kita akan rasa cepatnya masa berlalu. Sebabnya tiada keberkatan masa. Seolah-olah kita melakukan sesuatu perkara itu terlalu mengambil masa/ terlalu lama.

4). Berzikir
Zikir "Ya Wahhab" 40,000 kali setiap hari.

5). Solat Berjemaah
Terutama lelaki, solat berjemaah di surau atau masjid. Pergi ke surau/ masjid 10 minit awal sebelum azan.
Orang lelaki digalakkan menghubungi ibu sekurang-kurangnya 5 kali sehari. 

6). Bersilaturrahim
Janganlah kita memutuskan silaturrahim. Maafkan mereka yang pernah sakiti kita dengan hati yang lapang dan tenang.

7). Bersedekah
Ini amalan yang sangat dititikberatkan kerana sedekah adalah satu kuasa yang luar biasa. Nak sembuh, nak anak dengar cakap kita, nak kaya dan lain-lain, kita perlu bersedekah. 1 kali memberi, Allah gandakan 10 kali dan boleh digandakan lagi 700 kali.

8). Solat di awal waktu
Panggilan Allah lagi penting daripada segala-galanya.

9). Serahkan sepenuh pergantungan kita kepada Allah.
Jangan mengharapkan manusia di luar sana.

10). Tawakal & usaha
Selalu kita dengar, usaha dulu baru tawakal. Sekarang ubah. Tawakal dulu, baru usaha. Minta bulat-bulat pada Allah, barulah kita berusaha.

4 Amalan Surah Setiap Hari:
1). Surah Yaasin - setiap solat fardu
2). Surah Al-Waqiah - waktu Dhuha
3). Surah Ar-Rahman - waktu Asar
4). Surah Al-Mulk - sebelum tidur

Pesanan penceramah:
1. Minum air kosong/ mineral sebanyak 3 liter sehari.
2. Jika yang perempuan, mulalah pakai stokin sebab penyakit bermula daripada kaki.

Semoga ada manfaat buat kita.

Saturday, June 20, 2015

Cinta Akhirat

Assalamualaikum
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama.

Cinta akhirat adalah fitrah kita kerana kita adalah warga akhirat. Dunia cumalah tempat persinggahan kita yang sebentar sahaja. Jangan cinta kepada tempat singgah ini (dunia). 

Hati kita merindui hari akhirat sekiranya hati kita tidak dicemari. Dengan adanya cinta akhirat, cinta dunia akan terpinggir. Oleh itu, barulah hidup kita beri manfaat.

Dua cinta iaitu cinta dunia dan cinta akhirat, tidak boleh hadir dalam hati. Jika kita cinta dunia, cinta akhirat akan terpinggir. Jika kita cinta akhirat, cinta dunia akan terpinggir. Pilihlah cinta akhirat kerana cinta dunia adalah kepala segala kejahatan.

Dunia diperalatkan oleh syaitan untuk sesatkan manusia. Nafsu tertarik kepada dunia. Apa itu dunia? Dunia adalah perkara yang dekat & singkat. 

Firman Allah, mafhumnya: " Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu - iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semua itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."
(Surah Ali-Imran Ayat 14)

Dunia bawa kepada kekotoran jiwa. Alihkan cinta dunia kepada cinta akhirat. Ini tidak bermakna buang dunia. Tapi gunakan dunia untuk dapatkan akhirat. Dunia jadikan alat, akhirat adalah matlamat. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia.

Tanda-tanda orang cinta akhirat:
1). Mudah memberi.
- pemurah. Mudah memberi apa saja seperti harta, kemaafan, pertolongan, senyuman dan kasih sayang.
- orang yang banyak/ mudah tersenyum, bermakna dia beri kasih sayang.

2). Tabah ketika hadapi musibah.
- ketika hadapi musibah, ingat, azab akhirat lebih besar & siksa daripada azab dunia.
- dengan mengingati azab akhirat yang lebih besar dan lebih siksa, ia akan mengecilkan azab di dunia.
- bila dapat musibah, cakap pada diri 3 perkara ini:
1. Ada pahala yang datang;
2. Ada kafarah (penyucian) kepada dosa-dosa kita;
3. Dapat darjat yang tinggi. Orang yang lebih imannya, lebihlah diujiNya.

3). Tidak lupa diri bila dapat nikmat.
- tidak lupa pemberi nikmat.
- pemberi hadiah lebih utama daripada hadiahnya.

4). Tidak berbangga dengan amalan.
- amalannya dirasakan kecil & sedikit.
- bukan amal ibadah kita yang membolehkan kita masuk syurga tapi rahmat Allah lebih besar.

5). Tidak putus asa dengan dosa.
- sentiasa ada harapan/ pengharapan kita diampunkan oleh Allah. Hanya dosa syirik, Allah tidak ampunkan. Oleh itu, sentiasalah kita bertaubat.

6). Zuhud
- mengurangkan pengambilan yang halal. Yang haram dijauhkan sama sekali.
- tidak mensia-siakan harta. Memanfaatkan harta.
- hati yang lebih yakin kepada Allah daripada apa yang ada di tangan.
- yakin dengan janji Allah.
- bagi orang yang zuhud, susah & senang, pujian & kejian manusia, sama sahaja.

7). Sentiasa optimis dalam hidup.
- ada harapan. Jika ada harapan, jiwa sentiasa hidup.
- bersangka baik.

8). Tidak akan buka aib orang.
- kita yang sebenar adalah semasa kita bersendirian.

9). Tidak stress dengan kehidupan dunia.
- hidup ini penat. Mari berehat dengan ingatkan akhirat.
- jika kita ingat hidup ini sementara, barulah kita dapat hadapi dengan sederhana.

Gunakan check list di atas untuk muhasabah (check) diri sendiri.

Bagaimana nak besarkan cinta akhirat?
Caranya:
1. Dapatkan ilmu tentang akhirat.
- Rasulullah adalah penyampai berita & ilmu. Berita-berita ini ada di dalam al-Quran dan hadis.

2. Pelajari dan baca tafsiran ulamak tentang akhirat.

3. Baca kisah-kisah orang yang yakin dengan janji Allah.

4. Bergaul dengan orang-orang yang soleh.

Tanda kita dapat manfaat daripada ilmu adalah dengan bertambahnya cinta kita kepada akhirat.

Ingat Allah banyak2 supaya harta tidak melalaikan kita.

Catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 20 Jun 2015.

Saturday, May 30, 2015

Kenali Aib Diri

Assalamualaikum & salam sejahtera buat anak-anak mama.

Kenal aib diri adalah suatu kewajiban. Kenapa nak kenali aib diri? Nak bersihkan hati. Kenapa nak bersihkan hati? Nak jumpa @ kembali kepada Allah dengan hati yang sejahtera, nafsu yang tenang.

Bagaimana nak bersihkan hati?
1). Kenal pasti di mana kekotorannya. Apa aibnya.
Berperasaan cantik, berperasaan baik, adalah punca tertutup hijab kepada keaiban diri.

2). Kenali dosa kita.
Banyaknya dosa kita. Sekiranya dosa itu berbau, pasti tiada orang yang mahu dekati kita. Dengan mengenali dosa kita, kita akan merasai kejahilan kita. Rasa tidak berilmu adalah rasa orang yang berilmu.

Petanda orang yang kenal aib diri sendiri:
1). Tidak merasa diri, lebih baik daripada orang lain.
Penyakit takbur dielakkan.

2). Tidak sibuk memperkatakan aib orang.

3). Segera melakukan ibadah.

Bagaimana nak kenal aib diri?
1). Mesti melalui pimpinan & didikan guru yang murshid.
Guru yang murshid bermaksud guru yang ada pandangan mata hati. Guru ini dapat mengesan kelemahan diri kita. Dia bukan saja sampaikan ilmu tapi juga tarbiah.

2). Mesti ada sahabat yang soleh.
Sahabat yang tahu kelemahan kita tapi masih mahu berkawan dengan kita. Sahabat yang dapat beri teguran dengan kasih sayang. Tegurannya memberikan kita rasa bersalah. Dia bukan saja dapat beri teguran tapi juga mendoakan kita tanpa pengetahuan kita.

3). Dengar kritikan daripada musuh-musuh kita.
Kita perlu bezakan kritikan yang benar.

4). Bergaul dengan masyarakat.

Tanda Allah nakkan kebaikan daripada seseorang adalah dengan memberi ilmu yang bermanfaat.

Dengan ilmu itu, kita semakin kenal aib kita. Itulah tanda ilmu yang bermanfaat.

Inilah catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 30 Mei 2015.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...