Friday, April 20, 2012

Aktiviti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Salam buat rakan taulan dan anak-anak.
Terima kasih kerana sudi datang menjenguk Bonda. Lama betul Bonda menidurkan diri dalam Pena Bonda ini, maaf ya. Malaslah nak celoteh panjang-panjang. Kali ni Bonda nak cerita satu perkara aje, gosip pejabat. 

Penat jugak melayan kehendak bos yang banyak idea. Sebagai tanda sokongannya kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), beliau mengarahkan semua pegawai dan kakitangannya (termasuk dirinya) menghasilkan pantun empat kerat sebanyak 10 rangkap. Tempoh yang diberinya, tidak sampai sebulan. Pantun-pantun ini akan dibukukan sebagai bukti pelaksanaan aktiviti MBMMBI di organisasinya pada tahun 2012. Oleh itu, pantun mestilah ciptaan sendiri. Tension jugaklah jadinya. Hampir semua orang bercakap dan bertanya tentang status penyediaannya.

Hari ni, tarikh akhir penghantaran pantun-pantun itu. Bonda hantar pantun ciptaan Bonda pada hari terakhir. Siapnya awal lagi tapi simpan dulu takut kalau-kalau sempat sedapkan lagi bunyinya. Tapi tak sempat kerana tugas teras yang mendesak dan menimbun. 

Sebelum Bonda kongsikan pantun ciptaan Bonda, Bonda kongsilah dulu sedikit panduan mencipta pantun yang sempat Bonda temui. 
Jika nak cipta pantun, pertama sekali, tulis maksudnya iaitu isi pantun. Lepas tu barulah tulis pembayang. 
Pantun empat kerat adalah bentuk puisi yang terdiri atas empat baris yang bersajak bersilih dua-dua (pola ab-ab). 
Dua baris pertama disebut pembayang dan dua baris berikutnya disebut isi pantun. 
Setiap rangkap pantun akan menjadi lebih cantik dan kemas sekiranya bilangan perkataan dalam setiap baris adalah 4 perkataan saja.
Pantun yang baik mempunyai 8 hingga 12 suku kata sahaja bagi setiap baris.
Seeloknya kita membuat topik atau ada tema terlebih dahulu sebelum mula mengarang pantun.
Contoh 1:
Cantik sungguh si burung merak
Terbang rendah di waktu petang
Jika sampah dibiarkan berserak
Penyakit diundang masalah datang.

Contoh 2:
Daun nipah jangan diarak
Bawa ke ladang di waktu petang
Jika sampah dibiarkan berserak
Penyakit diundang masalah datang.

Tips-tips ni Bonda dapat kat Menjana Minda Positif  dan juga di Teh Ramuan

Inilah pantun ciptaan Bonda.
Sungguh berkuasa si burung hantu
Takluki malam bersama unggas
Amalkan sentiasa tepati waktu
Itu tanda serious bertugas.

Kabil Latif budak aktif
Abangnya Kamal jadi pengawal
Ambil inisiatif jadi proaktif
Perlu diamal sejak awal.

Dalam pantang pakai stokin
Lantai licin tersungkur jatuh
Cakap mesti serupa bikin
Itulah ciri pekerja contoh.

Duduk merenung di tepi tingkap
Sambil makan buah rambutan
Kerja beres fail lengkap
Pengurus cekap jadi sebutan.

Hanya jauhari kenal manikam
Sayangnya jauhari kian hilang
Sukakan ilmu buat tindakan
Minda berkembang prestasi cemerlang.

Makan nasi guna tangan
Makan bersama atas beranda
Jujur ikhlas jadi pegangan
Itu hasrat pelanggan anda.

Tinggi sangat ke Gunung Daik
Penat memanjat berhari-hari
Tugas dibuat sehabis baik
Harus disemat dalam diri.

No plastic bag hari Sabtu
Sila bayar jika perlukan
Tawarkan diri untuk membantu
Itu tanda satu pasukan.

Harga murah harga kilang
Itu kata media massa
Bekerja dengan sikap cemerlang
Pesanan ibu sepanjang masa.

Cantik sungguh Puteri Bongsu
Tapi sayang dan bertunang
Jadi kreatif penyelesai isu
Bos gembira kita senang.

Seingat Bondalah ni lah yang paling banyak pantun yang Bonda cipta. Lega apabila semua dah selesai. Okaylah, cukuplah setakat ini dulu. Lain kali cerita lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...