Monday, June 14, 2010

Penilaian Tahap Kecekapan Melalui Kaedah Pencerapan

Dalam post ini Bonda akan berkongsi maklumat tentang apa yang dimaksudkan dengan PTK kaedah pencerapan. Ianya merupakan suatu kaedah penilaian yang baru dalam PTK dan akan digunapakai kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di Kolej Matrikulasi.

Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ada 2 komponen iaitu kompetensi generik dan kompetensi fungsional. Hanya kompetensi fungsional PPP Kolej Matrikulasi dinilai melalui kaedah pencerapan (observation). Manakala kompetensi generik dinilai melalui kaedah peperiksaan (setakat ni bagi tahun 2010). Pada tahun 2010, kaedah peperiksaan itu dinamakan Penilaian Pemahaman. Penjelasan tentang Penilaian Pemahaman akan diberi pada lain tajuk. Bonda cuma nak fokus kepada kaedah pencerapan saja dalam post ini.

PTK kaedah pencerapan bermaksud kompetensi fungsional PPP Kolej Matrikulasi dinilai melalui kaedah pencerapan. Mulai September 2010, kaedah pencerapan ini akan digunakan bagi calon gred DG 48, DG 52, dan DG 54. Pada tahun 2011 barulah semua PPP Kolej Matrikulasi (daripada gred DG 41 hingga DG 54) akan menggunakan kaedah pencerapan ini. Walau bagaimanapun bagi jawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah Kolej Matrikulasi, kaedah ini tidak terpakai. Pengarah dan Timbalan Pengarah akan menduduki PTK seperti warga PPP gred DG 54 dan DG 52 yang lain (ikut main stream).

Pencerapan ke atas calon PTK dibuat oleh penilai dalaman. Penilai dalaman bermaksud penilai-penilai yang bertugas di tempat yang sama dengan calon. Pelantikan penilai dibuat oleh Panel Penilaian KPM berdasarkan perakuan yang diberi oleh Jawatankuasa PTK Kolej.

Setiap kolej menubuhkan Jawatankuasa PTK Kolej bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PTK di peringkat kolej. Jawatankuasa PTK Kolej dianggotai oleh Pengarah, Timbalan Pengarah, semua Ketua Jabatan, Penyelaras PTK dan staf unit pentadbiran kolej. Skop tugas dan tanggungjawab mereka diperincikan dalam buku panduan pelaksanaan PTK kaedah pencerapan. Deraf awal buku panduan ini disediakan oleh desk officer. So jika anda dilantik sebagai desk officer, anda mesti faham dengan jelas tanggungjawab anda dan lakukan dengan terperinci untuk melayakkan diri digelar pegawai cemerlang. Kewujudan kita adalah untuk memberi sumbangan. Jangan pulak, kehadiran kita sama saja ketiadaan kita, tiada apa-apa kesan kepada orang sekeliling kita.

Penilai dilantik berdasarkan kriteria yang ditentukan. Bonda and the gang menentukan kriteria tu tapi dengan persetujuan mesyuarat. Antara kriterianya, penilai berada pada 1 gred lebih tinggi daripada calon atau penyelia terdekat.

Bagi mengelakkan bias, langkah-langkah berikut diambil:
  1. 1 calon dinilai oleh 2 penilai secara bebas;
  2. Penyelarasan markah dibuat sekiranya beza markah melebihi 10 markah antara 2 penilai;
  3. Penilai ke-3 dilantik sekiranya timbul keraguan pada markah calon iaitu sama ada markah calon terlampau bagus atau sebaliknya;
  4. Selain daripada instrumen penilaian, pencerapan juga akan menggunakan rubrik penilaian yang objektif;
  5. Penilai akan diberi latihan sebelum melaksanakan penilaian/ pencerapan.
Dengan adanya langkah-langkah di atas, diharap tahap kebolehpercayaan dan kesahan markah calon ditingkatkan.

Tempoh pencerapan adalah 1 bulan. Jadual pencerapan dibuat atas persetujuan bersama antara penilai dengan calon mengikut kesesuaian. Pencerapan dibuat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (p&p), temubual, dan juga semakan dokumen. Sekurang-kurangnya 2 kali pencerapan dilakukan oleh 1 penilai ke atas 1 calon.

PTK berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat supaya kualiti perkhidmatan PPP sentiasa cemerlang. Perbincangan selepas pencerapan digalakkan dengan tujuan penambahbaikan. Rubrik penilaian yang digunakan dalam kaedah pencerapan bukan suatu yang rahsia. Apabila ia telah mantap dan diluluskan oleh mesyuarat, ia akan di up load di laman web Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi.

Moral of the story: PTK kaedah pencerapan merupakan suatu penilaian kompetensi calon yang lebih objektif dan berlaku dalam keadaan sebenar (tiada simulasi).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...