Saturday, June 20, 2015

Cinta Akhirat

Assalamualaikum
Segala pujian bagi Allah yang menjadikan kita sebaik-baik umat dan mengurniakan kita segala limpahan nikmat, serta selawat ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW.

Buat anak-anak mama.

Cinta akhirat adalah fitrah kita kerana kita adalah warga akhirat. Dunia cumalah tempat persinggahan kita yang sebentar sahaja. Jangan cinta kepada tempat singgah ini (dunia). 

Hati kita merindui hari akhirat sekiranya hati kita tidak dicemari. Dengan adanya cinta akhirat, cinta dunia akan terpinggir. Oleh itu, barulah hidup kita beri manfaat.

Dua cinta iaitu cinta dunia dan cinta akhirat, tidak boleh hadir dalam hati. Jika kita cinta dunia, cinta akhirat akan terpinggir. Jika kita cinta akhirat, cinta dunia akan terpinggir. Pilihlah cinta akhirat kerana cinta dunia adalah kepala segala kejahatan.

Dunia diperalatkan oleh syaitan untuk sesatkan manusia. Nafsu tertarik kepada dunia. Apa itu dunia? Dunia adalah perkara yang dekat & singkat. 

Firman Allah, mafhumnya: " Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu - iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semua itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."
(Surah Ali-Imran Ayat 14)

Dunia bawa kepada kekotoran jiwa. Alihkan cinta dunia kepada cinta akhirat. Ini tidak bermakna buang dunia. Tapi gunakan dunia untuk dapatkan akhirat. Dunia jadikan alat, akhirat adalah matlamat. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia.

Tanda-tanda orang cinta akhirat:
1). Mudah memberi.
- pemurah. Mudah memberi apa saja seperti harta, kemaafan, pertolongan, senyuman dan kasih sayang.
- orang yang banyak/ mudah tersenyum, bermakna dia beri kasih sayang.

2). Tabah ketika hadapi musibah.
- ketika hadapi musibah, ingat, azab akhirat lebih besar & siksa daripada azab dunia.
- dengan mengingati azab akhirat yang lebih besar dan lebih siksa, ia akan mengecilkan azab di dunia.
- bila dapat musibah, cakap pada diri 3 perkara ini:
1. Ada pahala yang datang;
2. Ada kafarah (penyucian) kepada dosa-dosa kita;
3. Dapat darjat yang tinggi. Orang yang lebih imannya, lebihlah diujiNya.

3). Tidak lupa diri bila dapat nikmat.
- tidak lupa pemberi nikmat.
- pemberi hadiah lebih utama daripada hadiahnya.

4). Tidak berbangga dengan amalan.
- amalannya dirasakan kecil & sedikit.
- bukan amal ibadah kita yang membolehkan kita masuk syurga tapi rahmat Allah lebih besar.

5). Tidak putus asa dengan dosa.
- sentiasa ada harapan/ pengharapan kita diampunkan oleh Allah. Hanya dosa syirik, Allah tidak ampunkan. Oleh itu, sentiasalah kita bertaubat.

6). Zuhud
- mengurangkan pengambilan yang halal. Yang haram dijauhkan sama sekali.
- tidak mensia-siakan harta. Memanfaatkan harta.
- hati yang lebih yakin kepada Allah daripada apa yang ada di tangan.
- yakin dengan janji Allah.
- bagi orang yang zuhud, susah & senang, pujian & kejian manusia, sama sahaja.

7). Sentiasa optimis dalam hidup.
- ada harapan. Jika ada harapan, jiwa sentiasa hidup.
- bersangka baik.

8). Tidak akan buka aib orang.
- kita yang sebenar adalah semasa kita bersendirian.

9). Tidak stress dengan kehidupan dunia.
- hidup ini penat. Mari berehat dengan ingatkan akhirat.
- jika kita ingat hidup ini sementara, barulah kita dapat hadapi dengan sederhana.

Gunakan check list di atas untuk muhasabah (check) diri sendiri.

Bagaimana nak besarkan cinta akhirat?
Caranya:
1. Dapatkan ilmu tentang akhirat.
- Rasulullah adalah penyampai berita & ilmu. Berita-berita ini ada di dalam al-Quran dan hadis.

2. Pelajari dan baca tafsiran ulamak tentang akhirat.

3. Baca kisah-kisah orang yang yakin dengan janji Allah.

4. Bergaul dengan orang-orang yang soleh.

Tanda kita dapat manfaat daripada ilmu adalah dengan bertambahnya cinta kita kepada akhirat.

Ingat Allah banyak2 supaya harta tidak melalaikan kita.

Catatan mama daripada program Islam Itu Indah, radio Ikim FM yang disampaikan oleh Ustaz Pahroi Mohd Joui pada 20 Jun 2015.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...