Tuesday, September 20, 2011

Demokrasi Berparlimen Amalan Malaysia


Entri ni Bonda anggap sebagai cerita ringan-ringan buat anak-anak Bonda yang telah lama meninggalkan alam persekolahan, Sekolah Menengah. Bila tiba bulan Ogos dan September, cerita-cerita kemerdekaan dan kenegaraan seharusnya menjadi antara topik perbualan.

 
Tahukah anda, sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia mengamalkan Demokrasi Berparlimen. Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat dapat melibatkan diri dalam sistem pentadbiran negara. Betul. Rakyat berpeluang membentuk Kerajaan. Caranya melalui pilihanraya. Rakyat bebas memilih perwakilan. Maksudnya, anda sebagai rakyat Malaysia dapat memilih siapakah orang yang anda mahu wakilkan diri anda dalam menentukan pentadbiran negara. Terpulang kepada anda, rakyat Malaysia untuk menyokong, mengekalkan atau menukarkan Kerajaan sedia ada melalui pilihanraya. Oleh itu pastikan anda telah mendaftar sebagai pengundi (bagi yang berumur 21 tahun ke atas) dan jalankan tanggungjawab anda apabila tiba masanya.

Itu menjelaskan maksud demokrasi. Demokrasi Berparlimen bermaksud demokrasi yang ada parlimen lah, maksud yang paling asas. Parlimen Malaysia adalah lambang struktur demokrasi Kerajaan. Parlimen Malaysia adalah badan penggubal undang-undang tertinggi negara. Ia terdiri daripada tiga (3) komponen utama iaitu
1.  Yang Di-Pertuan Agong;
2.  Dewan Negara;
3.  Dewan Rakyat;

Perlembagaan Malaysia menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia. Cerita tentang Yang Di-Pertuan Agong pernah Bonda cerita.  Dewan Negara berperanan merangka rang undang-undang. Manakala Dewan Rakyat pula berperanan sebagai tempat untuk membahaskan rang undang-undang.


Sebelum penubuhan Malaysia (16 September 1963), Parlimen Malaysia dikenali sebagai Parlimen Persekutuan Tanah Melayu. 
 
Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur. Pada ketika itu, seramai 38 Ahli Dewan Negara dan 104 Ahli Dewan Rakyat telah mengangkat sumpah. Pada Parlimen Kedua Belas, keahlian Dewan Negara telah berubah kepada 70 ahli dan 222 ahli bagi Dewan Rakyat.

Rujukan:
http://www.parlimen.gov.my
http://notapismp.blogspot.com
http://pengajianamstpm3202.blogspot.com

Bonda memilih untuk membuat sedikit bacaan berkaitan Demokrasi Berparlimen setelah mendengar ceramah bertajuk Sejarah Kemerdekaan yang disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.

 Ceramah itu telah diadakan pada 14 September 2011 di ofis Bonda. Aktiviti ini adalah sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia. Seronok dengar ceramahnya, macam berada dalam kelas sejarah. Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam adalah bekas profesor di Universiti Malaya. Kemudian beliau dilantik menjadi Rektor Kolej Yayasan Melaka (2006 -2009). Beliau seorang pakar sejarah. Beliau telah menulis lebih kurang 32 buah buku. 

 
Apabila Bonda membaca komen-komen yang kurang menarik tentang diri beliau dalam beberapa blog, kasihan kat dia. Bagi Bonda yang mendengar ceramahnya (setakat ni baru sekali), Bonda tidak merasakan ada agenda lain di sebalik ceramahnya. Bagi Bonda, beliau ikhlas dalam penyampaiannya dan bercakap berdasarkan ilmu, pembacaan dan kajian. Itu pandangan Bonda, terpulang kepada anda untuk bersetuju atau tidak.
So, jumpa lagi di lain entri. Apa yang penting, anda faham maksud Demokrasi Berparlimen amalan Malaysia.

Sunday, September 18, 2011

Laluan Alternatif Batu Pahat, Johor Ke Kuala Terengganu

Sambutan hari raya Bonda pada tahun ini, 2011 yang agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini menyebabkan Bonda mencari-cari maklumat jalan pintas (mungkin) daripada Batu Pahat ke Kuala Terengganu tanpa melalui Kuala Lumpur (itu kebiasaannya) dan juga Segamat. Tahun ini Bonda berada di Parit Sulong, Batu Pahat Johor pada hari raya pertama dan perlu berada di Kuala Terengganu pada hari raya kedua. Itu planning Bonda dengan anak-anak. Suami Bonda ok aje. Laluan ini diberi oleh anak saudara Bonda, suami Liza. Keluarganya tinggal di Temerloh Pahang. Jadi dia biasalah guna laluan ini.

Meredah laluan alternatif iaitu jalan-jalan kampung, pekan dan bandar daripada Parit Sulong, Batu Pahat Johor ke Kuala Terengganu, telah membuatkan Bonda amat menghargai kehadiran lebuhraya. Perasaan itu wujud kerana Bonda nak cepat-cepat sampai ke kampung Bonda. Jika perjalanan itu berlaku dalam suasana yang lebih santai, pastinya ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Ya lah dapat tenguk dan tinjau permandangan setempat.

Daripada Parit Sulong, Bonda ambil exit Pagoh, menuju ke Kuala Lumpur. Selepas tu, daripada Lebuhraya Plus Kuala Lumpur - Seremban, Bonda ambil exit Jasin. Kita berehat sekejap sambil mengenali Jasin.

Jasin
Jom kita kenali Jasin. Bonda sangkakan Jasin hanyalah pekan atau bandar biasa aje. Rupanya ada daerah yang namanya Jasin dan ada juga bandar yang namanya Jasin. Daerah Jasin terletak dalam negeri Melaka dan bersempadan dengan negeri Johor. Daerah Jasin mempunyai 20 mukim iaitu Ayer Panas, Batang Melaka, Bukit Senggeh, Chabau (Asahan), Chin-Chin, Chohong, Jasin, Jus, Kesang, Merlimau, Nyalas, Rim, Sebatu, Selander, Sempang, Semujok, Serkam, Sungai Rambai, Tedong dan Mukim Umbai.

Daerah Jasin mempunyai dua (2) buah bandar iaitu Bandar Jasin dan Bandar Merlimau, serta 10 buah pekan iaitu Sungai Rambai, Umbai, Bemban, Chin-Chin, Simpang Bekoh, Asahan, Nyalas, Selander, Batang Melaka, dan Kesang Pajak.

Selain daripada sekolah-sekolah rendah dan menengah yang biasa-biasa, Daerah Jasin mempunyai institusi pendidikan yang menarik.
Pendidikan menengah:
  • MRSM Tun Ghafar Baba
  • Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selander
Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA):
  • Politeknik Merlimau
  • Universiti Teknologi MARA
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Kolej Komuniti Selander
Unit Badan Pertahanan:
  • Pusat Lagenda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Asahan

Tempat pelancongan utama dalam Daerah Jasin adalah Gunung Ledang. Maksudnya anda dapat mendaki Gunung Ledang melalui Daerah Jasin. Maksudnya anda dapat mendaki Gunung Ledang melalui Daerah Jasin. Caranya, daripada Asahan Melaka, masuk ke sebelah kanan menuju ke Gunung Ledang. Anda boleh mula dari kolam air di Kampung Asahan. Ni pakcik Google yang bagi tau. Bonda belum pernah sampai kat Gunung Ledang. Selama ni Bonda sangka, jika nak daki Gunung Ledang, kita perlu pergi ke Johor. Naik kat mana, tak tahulah Bonda.

Sambung kembali perjalanan kita. Daripada Jasin, Bonda ikut sign board menuju Selandar.


Daripada Selandar, Bonda menuju Gemenceh. Gemenceh adalah sebuah pekan dalam Daerah Tampin, Negeri Sembilan. Penduduk asal memanggil Pekan Gemenceh sebagai "Simpang" kerana terdapat tiga simpang iaitu Tampin, Gemas dan Gemenceh Lama.
Kat sini ada Maktab Rendah Sains MARA Gemenceh, Institut Tahfiz Al-Quran Gemenceh, Kolej Komuniti Tampin, Gemenceh. Itu yang menarik perhatian Bondalah.

Daripada Gemenceh, Bonda teruskan perjalanan menuju Bahau.

Daripada Bahau, Bonda menuju Kemayan.

Daripada Kemayan, redah aje kerana matlamatnya menuju ke Temerloh.

Tak sabar rasanya nak jumpa Lebuhraya Pantai Timur untuk balik ke Kuala Terengganu.
Bila dah jumpa lebuhraya tu, seronoknya. Bonda ceritakan laluannya sehingga Lebuhraya Pantai Timur ajelah. Selepas tu dah tak mencabar lagi bagi Bonda kerana dah biasa laluannya. 

Semua laluan ni Bonda refer kepada buku ni, 
GPS manual.
So, jumpa lagi di lain entri. Dah penat cerita.

Tuesday, September 6, 2011

Shopping Time Di Kuala Lumpur


Pernah sampai kat sungai yang banyak duit kat Kuala Lumpur? Itulah Sungei Wang Plaza. Memang banyak duit, lubuk emas kerana kat situ banyak kedai kegemaran wanita. Pelanggannya ramai berbangsa Cina dan orang muda-muda sebabnya pakaian yang dijual adalah fesyen anak muda.

Dulu, akhir tahun 2010, Bonda kerap datang kemari, menemani anak-anak. Harga pakaiannya dalam bajet Bonda, cantik juga dan mudah di dapati di sini. Tapi lengguh lutut jugalah, masuk kedai keluar kedai, mencari yang sesuai, sepadan dan menarik.

Kat Sungei Wang Plaza ni boleh dapat sehelai blaus atau baju yang cantik dengan harga RM25. Jika datang shopping kat sini, tak perlu risau tentang tempat solat atau surau. Suraunya dah cantik, ada kat tingkat lima (5).

Lokasi

Ini peta lokasinya. Anda boleh juga dapatkan direction daripada pakcik Google Map.
Kebiasaannya Bonda ambil highway Kuala Lumpur - Seremban (menghala ke Kuala Lumpur) daripada rumah Bonda. Selepas bayar tol di Sungai Besi Tol, Bonda akan ambil SMART Tunnel. Ada tol lagi (RM2.00). SMART Tunnel akan mengakhiri laluannya pada dua (2) lokasi iaitu Jalan Sultan Ismail @ Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak @ KLCC. Ambil lorong Jalan Sultan Ismail untuk pergi ke Sungei Wang Plaza. Keluar di penghujung SMART Tunnel, ada traffic light, sebelah kiri ke Times Square dan ke depan sikit, dah sampai ke kawasan Bukit Bintang dan Sungei Wang. Ini sebagai panduan ringkas bagi yang kali pertama nak pergi ke Sungei Wang Plaza daripada tol Sungai Besi.

Jika nak naik monorail pun boleh jugak. Stesyen monorail yang paling hampir adalah Bukit Bintang. Bonda belum pernah guna monorail untuk sampai ke sini, dapat informasi daripada pemerhatian aje. Jika anda guna LRT daripada Seri Petaling atau Ampang, anda perlu turun di stesyen Hang Tuah untuk tukar guna monorail. Itu ajelah yang Bonda tahu kerana itulah laluan Bonda.

Shopping Raya
Pengalaman shopping raya di Sungei Wang Plaza pada tahun ini, 2011 telah memberitahu Bonda sesuatu tentang tempat ini. Walaupun pelanggannya ramai yang bukan muslim, tempat ini sesak, nak masuk dan nak keluar pun sangkut dalam kesesakan trafic. Serik rasanya. Dua kali Bonda kena, kali pertama pada 21 Ramadan dan kali kedua pada 27 Ramadan.


21 Ramadan 1432H (21 Ogos 2011), Bonda pergi shopping raya bersama dengan anak bongsu, Insyirah di Sungei Wang Plaza. Kami bergerak lebih kurang pukul 11.00 pagi Ahad untuk elakkan kesesakan lalulintas dan mudah sikit dapat parking. Kenapa pilih Sungei Wang Plaza? Anak Bonda tu nak cari baju raya moden seperti blaus. Jadi kat Sungei Wang lah banyak pilihannya dan yang penting, dalam bajet Bonda.

Pengalaman yang tak dapat dilupakan adalah pergerakan kereta macam kura-kura daripada parking atas bumbung Sungei Wang Plaza ke bawah.yang mengambil masa 45 minit. Itupun Bonda keluar parking dalam pukul 3.30 petang. Bila sampai ke bawah, sesak lagi dan berebut-rebut lagi untuk sampai ke persimpangan Penjara Pudu atau Balai Polis Jalan Hang Tuah. Serik rasanya.

27 Ramadan 1432H (27 Ogos 2011), Bonda pergi sekali lagi ke Sungei Wang. Kali ni dengan anak ketiga, Ilya. Kami keluar rumah dalam pukul 2.00 petang pada hari Sabtu. Andaian, orang dah ramai balik kampung, jadi jalan kat Bukit Bintang tu tak sesaklah. Tekaan meleset. Hampir sejam sangkut (dah ada kat bawah Sungei Wang Plaza) sebelum dapat masuk parking. Akhirnya Bonda buat keputusan berpatah balik aje kerana pukul 3.00 lebih belum dapat parking kereta lagi, lepas tu pukul 4.30 petang mesti keluar dari parking pulak sebab nak pergi berbuka kat hotel.

Pengajaran yang Bonda dapat, jika nak shopping di Sungei Wang Plaza, hari terbaik adalah hari Ahad sebelum lunch time. Jika tak dapat penuhi, naiklah kenderaan awam.
So itulah pengalaman shopping raya Bonda. Jumpa lagi di lain entri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...